Saturday, May 18, 2013

Pilihan Raya yang Bebas dan Adil

Kita memerlukan pilihan raya yang bebas dan adil. Untuk mencapai matlamat ini, badan yang mengendalikannya mestilah bebas, adil, dan bersih. Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberikan tanggungjawab untuk mengurus dan mengendalikan pilihan raya. SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali, hendaklah melaksanakan tugas, fungsi, peranan, dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi. 

2. Sebelum PRU 2013, Bersih menuntut supaya pilihan raya di Malaysia diadakan dengan bersih, adil, dan bebas. Sesungguhnya tuntutan Bersih itu merupakan tuntutan rakyat Malaysia seluruhnya. Terdapat lapan tuntutan Bersih. Sekadar ingatan semula, saya turunkan di bawah ini Lapan Tuntutan Bersih untuk dinilai dan dipertimbangkan semula, sejauh mana tuntutan tersebut berjaya ditunaikan. Lapan tuntutan itu ialah:
  • Bersihkan senarai undi, 
  • Reformasi kepada undi pos, 
  • Gunakan dakwat kekal, 
  • Tempoh kempen minimum 21 hari, 
  • Akses media yang bebas dan adil, 
  • Kukuhkan institusi awam, 
  • Hentikan rasuah 
  • Hentikan politik kotor.
3. Daripada 8 tuntutan itu, kita boleh menilai bahawa hanya 2 sahaja (iaitu reformasi kepada undi pos dan gunakan dakwat kekal) yang nampaknya dilaksanakan. (Itu pun dakwat kekal yang digunakan tidak kekal kerana ia boleh dibersihkan dengan cepat).

4. Tentu saja pihak SPR akan mempertahankan diri daripada segala dakwaan dan tuduhan bahawa SPR tidak bebas, bersih dan adil. Soalnya, adakah SPR benar-benar badan yang bebas dan adil? Adakah pelaksana (pegawai dan kakitangan SPR) itu benar-benar bebas, bersih, dan adil? Sebagai rakyat, kita boleh membuat penilaian sewajarnya. SPR didakwa tidak bebas, adil, dan bersih dalam melaksanakan tugas mengendalikan pilihan raya sehingga terdapat unsur-unsur penipuan, khususnya dalam PRU 2013 yang baru berlalu. 

5. Di sisi undang-undang, petisyen pilihan raya boleh dikemukakan. Pihak yang berkenaan boleh mengemukakan petisyen tersebut untuk mencabar dan mempertikaikan keputusan PRU yang diumumkan SPR. Dalam konteks ini, pegawai dan kakitangan SPR harus tidak berpihak. Pegawai dan kakitangan SPR haruslah berintegriti. Hal ini demikian kerana SPR merupakan badan bebas, adil, dan bersih. 

6. Seharusnya, Kerajaan yang dibina adalah kerajaan yang adil, bertanggungjawab, amanah, dan demokratik. Jika berlaku penipuan (dalam apa pun bentuk) dalam pilihan raya, rakyat berhak  untuk menyatakan pendirian mereka dengan tegas dan utuh. Rakyat berhak untuk menuntut pilihan raya yang adil, bersih, dan bebas. Untuk merealisasikan harapan ini, rakyat perlu menggunakan saluran undang-undang. 

7. Rakyat tidak harus berdiam diri. Untuk menggerakkan kesedaran itu, pemimpin pelbagai lapisan haruslah berganding bahu dan bekerjasama untuk memimpin rakyat ke arah pilihan raya yang adil, bersih, dan bebas. Perhimpunan aman sebagai asas untuk menyatakan protes merupakan salah satu pilihan yang baik yang boleh dilakukan oleh rakyat. Ini bertujuan untuk menunjukkan solidariti pilihan raya yang adil dan bersih. 

No comments:

Post a Comment