Saya berbangsa Kimaragang. Kedua-dua ibu bapa saya anak jati Tandek yang berbangsa Kimaragang. Dilahirkan di Kg. Longob, Kota Marudu 46 tahun yang lalu. Berpeluang mendapat ijazah pertama dalam bidang Pentadbiran Awam dengan Kepujian dari UUM pada tahun 1991. Kemudian mendapat ijazah kedua dalam bidang Sarjana Pengurusan Pendidikan dari UMS pada tahun 2002, selain mendapat kursus ikhtisas dalam bidang perguruan dengan mendapat Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 1996.
2. Lebih 70% masyarakat di N5 Tandek terdiri daripada orang Kimaragang. Ini bererti Tandek merupakan tanah tumpah Kimaragang. Tandek merupakan sebahagian Wilayah Kimaragang.
3. Perlu saya tegaskan bahawa saya tidak pernah menonjolkan semangat kesukuan dan tidak akan memulakannya. Saya mewakili N5 Tandek yang terdiri daripada pelbagai kaum. Saya bukan hanya mewakili Kimaragang.
4. Namun begitu, sebagai salah seorang yang berbangsa Kimaragang, saya ingin katakan bahawa dalam PRU 2013 ini, hanya satu saja orang Kimaragang yang bertanding di DUN N5 Tandek. Selama ini, tuntutan supaya N5 Tandek diserahkan semula kepada orang Kimaragang kini sudah terbuka. Maruah politik orang Kimaragang perlu dipulihkan. Peluang tersebut sudah terbuka pada tahun 2013 ini.
5. Saya juga bersedia dan mampu mewakili rakyat berbilang kaum di N5 Tandek ini di DUN Sabah.
Terserahlah kepada orang Kimaragang dan masyarakat pelbagai kaum yang lain untuk membuat keputusan.
Ini kalilah
Kita ambil balik