Isu pemerintah Malaya yang menurunkan taraf Sabah dan Sarawak dari sebuah negara kepada sebuah negeri pada 27 Ogos 1976 merupakan persoalan yang amat mustahak diselesaikan satu kali untuk selama-lamanya.
DS Anwar tidak setuju Deklarasi Tambunan |
2. Pungutan suara ke atas rakyat Sabah harus dibuat untuk mengetahui sama ada rakyat Sabah bersetuju di bawah kawalan ("penjajahan") Malaya ataupun bebas menentukan pemerintahannya sendiri di bawah konsep "1 negara 2 sistem". Bagaimanakah hal ini boleh dilakukan? Salah satu caranya ialah melalui PRU. Justeru, PRU 2013 ini perlu dijadikan sebagai referendum (pungutan suara) bagi tujuan ini.
3. Apabila Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya dari sebuah negara ke sebuah negeri, penjelasan pemerintah Malaya tidak lagi sesuai kerana sekalipun berjela-jela hujah diberikan untuk mewajarkan kezaliman dan penindasan politik itu, ia tidak berguna lagi kerana perkara itu sudah berlaku.
4. Namun, setiap individu Sabahan harus menyedari kesan dan akibat daripada tindakan tersebut dengan tujuan setiap individu Sabahan bangkit mempertahan dan berjuang mendapatkan hak.
5. Sesungguhnya, penurunan taraf itu telah menimbulkan pelbagai kesan dan akibat yang buruk ke atas Sabah sehingga hidup rakyatnya berada dalam kesengsaraan dan kemiskinan berterusan. Hasrat perbincangan ini sudah tentu bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bertindak untuk memulihkan kedudukan Sabah itu sendiri. Berikut dinyatakan sebahagian kesan dan akibat daripada tindakan zalim dan menindas tersebut.
Kesan dan Akibat Penurunan Taraf Sabah Sebagai Negara
1. Sabah kehilangan kemerdekaan.
Dengan penurunan taraf Sabah sebagai sebuah negara, Sabah sebenarnya kehilangan kemerdekaannya sendiri. Sabah kehilangan kuasa untuk menikmati kemerdekaannya dan menentukan pembangunan yang dihasratkan. Sebaliknya, Sabah dikawal oleh Malaya melalui pelbagai cara yang dibenarkan undang-undang, supaya Sabah tidak mampu berdikari. Ini bererti, Sabah harus selamanya berada di bawah kawalan Malaya, pada hal, Sabah merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat seperti mana yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ini bererti Sabah mempunyai sistem pemerintahannya sendiri. Ia mempunyai autonomi dan autonomi itu perlu dipatuhi.
2. Ekonomi Sabah dikaut dan dibawa ke Malaya
Sabah dianugerahkan kekayaan oleh Tuhan. Bumi Sabah makmur dan subur. Sabah merupakan pengeluar utama minyak dan gas di Malaysia. Selain itu, hasil-hasil bumi yang lain begitu banyak keluar dari perut bumi Sabah. Malangnya, hasil kekayaan Sabah tersebut dikaut dan dibawa ke Malaya untuk menguntungkan Malaya yang terdiri daripada 11 buah negeri. Sabah menjadi miskin apabila kekayaannya diambil dan dibawa ke Malaya untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pengurusan. Melalui kajian Bank Dunia, Sabah didapati negeri yang paling miskin di Malaysia. Bagaimanakah hal ini terjadi sedangkan Sabah itu kaya-raya? Secara logiknya, dalam konteks ini kekayaan Sabah itu tidak dinikmati oleh rakyat Sabah tetapi dinikmati oleh Malaya.
3. Agihan ekonomi tidak adil
Melalui Persekutuan Malaysia, sesudah Sabah diturunkan tarafnya dari sebuah negara ke sebuah negeri, agihan ekonomi tidak adil dan setara telah berlaku. Jika menurut Perjanjian Malaysia 1963, taraf Malaya, Sabah, dan Sarawak itu adalah sama rata dan sama taraf, sedangkan apabila Sabah dan Sarawak turun tarafnya, ia terletak di bawah kuasa Malaya atas nama Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi dalam membentuk Persekutuan Negara Malaysia. Ini bermakna Malaysia terdiri daripada gabungan negara dan bukannya terdiri daripada gabungan negeri. Dengan pelaksanaan penurunan taraf ini, hanya sedikit peruntukan kewangan diberikan kepada Sabah. Bukan sahaja kerana jumlah negeri yang membahagikan Kumpulan Wang Yang Disatukan bertambah sehingga 13 negeri dan 1 wilayah persekutuan (berbanding 3 negara), tetapi juga kerana kewangan Malaysia dikawal oleh Malaya. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk mengawal dan mengurus kewangannya sendiri.
4. Fokus pembangunan tidak bertumpu di Sabah
Dengan berjayanya Malaya menurunkan taraf Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara menjadi sebuah negeri, maka segala pembangunan bertumpu dan berpusat di Semenanjung. Hasil kekayaan Sabah digunakan untuk membangunkan Malaya. Ini bererti fokus pembangunan tidak bertumpu di Sabah. Polisi pemerintah Malaya ialah Dahulukan Semenanjung Kemudiankan Sabah. Memang tidak dinafikan peruntukan kewangan diberikan kepada Sabah, namun berbanding dengan peruntukan yang dikhususkan untuk Semenanjung, peruntukan kewangan untuk Sabah adalah sedikit, padahal Sabah merupakan penyumbang hasil yang banyak. Tentu sekali tindakan ini tidak adil dan tidak patut dilakukan.
5. Pengenalan polisi tidak adil kepada Sabah
Sesudah Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya menjadi setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung, Malaya memperkenalkan polisi pemusatan kuasa. Malaya berkuasa memperkenalkan pelbagai polisi, undang-undang, dan seumpamanya yang memberi faedah kepada mereka. Malaya, misalnya memperkenalkan dasar kabotaj, iaitu dasar pengangkutan yang tidak adil dan sesuai untuk Sabah dan Sarawak. Dasar ini membuat ekonomi Sabah lembab; harga barang mahal di Sabah berbanding Semenanjung. Selain itu, Malaya berkuasa memperkenalkan dasar pembangunan yang tidak menguntungkan Sabah, sebaliknya menguntungkan Malaya kerana berhasrat mengukuhkan penguasaan Malaya ke atas Sabah. Ini termasuklah pengenalan agensi persekutuan di Sabah, seperti RISDA, FELCRA, Felda, dan sebagainya - yang fungsinya bertindih dengan agensi kerajaan negeri yang sudah sedia ada di Sabah.
6. Pengekalan kuasa Malaya menjadi keutamaan
Projek IC Mahathir seperti yang diakui dalam RCI |
Selain itu, dengan turunnya taraf Sabah dan Sarawak sebagai negara, maka kuasa berada di tangan Malaya atas nama Persekutuan Malaysia. Malaya harus memikirkan secara licik dan bijaksana untuk terus mencengkam dan menguasai Sabah kerana kekayaan ekonominya. Untuk mencapai hasrat tersebut pelbagai tindakan dilakukan. Ini termasuklah Projek IC yang bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing walaupun mereka baru sahaja berada di Sabah. Malah lebih teruk lagi Projek IC itu dilakukan untuk mengekalkan kuasa politik UMNO BN di Sabah . Selain itu, manipulasi kependudukan terus dilakukan apabila wujud bangsa baru yang disebut "Melayu", iaitu mereka yang diberi kerakyatan songsang melalui Projek IC. Untuk kekal berkuasa, Malaya (menerusi SPR) menambah kerusi parlimen (166 kerusi) dan DUN di Malaya (445 kerusi) sedangkan di Sabah dan Sarawak bilangannya sedikit, iaitu Sabah (kerusi Parlimennya hanya 25 dan kerusi DUN pula hanya 60), sementara Sarawak pula (kerusi Parlimennya hanya 31 dan kerusi DUN pula hanya 71).
Rumusan
Pemulihan status Sabah tidak mungkin dapat dicapai seandainya tiada usaha ke arah itu dilakukan. Usaha itu pula memerlukan komitmen politik rakyat Sabah kerana selama ini perkara tersebut tidak dilakukan oleh Kerajaan BN. Pihak kerajaan yang dikuasai oleh UMNO BN tidak mahu melakukan pemulihan tersebut kerana ini tidak akan menguntungkan mereka.
Pemulihan status Sabah harus menjadi keutamaan rakyat Sabah seluruhnya. Rakyat Sabah harus sedar bahawa kuasa memilih berada di tangan mereka. Gunakanlah kuasa itu sebaik-baiknya semasa mengundi.