Wednesday, April 3, 2013

Kenapa Wilayah Kota Marudu Miskin?

Keluasan Kota Marudu
Daerah Kota Marudu mempunyai keluasan 1,917 kilometer persegi. Ingin saya tegaskan untuk ke sekian kalinya, walaupun ia sudah diketahui dengan jelas, bahawa daerah ini terletak di Sabah, bukannya terletak di Semenanjung Malaysia. Dengan keluasan ini, pemerintah Malaya telah menilai dan memperlakukan rakyat Kota Marudu dengan begitu rendah, zalim dan menindas dari segi politik dan ekonomi kerana pemerintah Malaya hanya memperuntukkan dua kawasan ADUN (N4 Matunggong dan N5 Tandek) dan seorang 1 Ahli Parlimen (P168 Kota Marudu), walaupun keperluan lebih 100,000 rakyatnya sama dengan keperluan mana-mana rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia itu.

2. Jika Kota Marudu berada di Malaya, pasti dengan keluasan 1,917 kilometer persegi ini, pemerintah UMNO BN yang ada sekarang ataupun pemerintah baru (misalnya Pakatan Rakyat) yang menguasai Putrajaya Malaya, akan benar-benar memberi perhatian sepenuhnya kepada wilayah itu. Ini memang pasti dan jelas sekali.

3. Jika Daerah Kota Marudu berada di Malaya, pasti daerah ini akan mendapat sekurang-kurangnya 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen. Itu pun tidak cukup lagi. Pasti pemerintah Malaya akan memberikan tumpuan dari segi politik, ekonomi, dan sosial. Dengan keluasan 1,917 kilometer persegi, Daerah Kota Marudu akan mendapat dua orang Raja ataupun TYT, dan dua orang Menteri Besar ataupun Ketua Menteri selain daripada jumlah kerusi DUN dan Parlimen yang dinyatakan. Namun, Daerah Kota Marudu bukannya terletak di Malaya, tetapi di Sabah, dan kerana itu pemerintah Malaya tidak perlu memberi perhatian.
Peta Kawasan Parlimen P168 Kota Marudu

4. Rakyat Sabah tidak berdaya kerana mereka dikuasai oleh pemerintah Malaya. Hal ini demikian kerana rakyat Sabah mengizinkan dan membenarkan hal ini berlaku. Yang mengurus dan mentadbir Sabah ialah pemimpin yang dikuasai dan dikawal oleh pemerintah Malaya. Memandangkan minda rakyat Sabah dikuasai ataupun dijajah, pemerintah Malaya hanya perlu peduli sedikit saja untuk mengurus dan menangani rakyat Kota Marudu, Sabah ini.

5. Dengan polisi penjajahan yang diamalkan oleh Malaya, rakyat Sabah kekal dikuasai dan dikawal seperti penjajah mengawal tanah jajahannya. Malah UMNO BN mengatakan bahawa Sabah tetap berada dalam genggaman atau simpanan tetap mereka. Ini bererti Pemerintah Malaya boleh mengawal dan memperlakukan rakyat Sabah dengan sesuka hati mereka.

6. Persoalannya, pada ketika rakyat Sabah sudah mempunyai peluang keemasan dan harapan untuk mendapat hak mereka, adakah rakyat Sabah masih tidak menggunakan kuasa undi mereka yang amat berharga itu? Sudah tentu, rakyat Sabah berubah setelah mendapat pendidikan ini.

Kota Marudu Layak Mendapat 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen
Saya bukan bercakap secara teori ataupun berangan-angan. Penyataan saya ini benar berdasarkan kerangka pemikiran dan standard pemerintah Malaya.  Saya boleh memberikan bukti dengan jelas bahawa Kota Marudu layak mendapat 55 ADUN dan18 Ahli Parlimen.

Batu Sumpah Peringatan
yang tidak dipeduli Malaya
2. Malah dengan keluasan 1,917 kilometer persegi itu, Kota Marudu layak mendapat dua orang Raja/TYT dan dua orang Ketua Menteri / Menteri Besar.


Keluasan Daerah Kota Marudu Melebihi Gabungan Keluasan Perlis dan Pulau Pinang

Sedarkah kita bahawa keluasan muka bumi Wilayah Kota Marudu ini lebih besar daripada gabungan Perlis dan Pulau Pinang? Muka bumi Negeri Perlis mempunyai keluasan 821 km persegi dan Pulau Pinang pula mempunyai 1,039 km persegi. Jika keluasan kedua-dua Negeri ini digabungkan, maka keluasannya cuma 1,860 km persegi sahaja.

2. Perlis mempunyai seorang Raja, seorang Menteri Besar, 15 ADUN, dan 3 Ahli Parlimen. Sementara Pulau Pinang pula mempunyai seorang TYT Yang Dipertua Negeri, seorang Ketua Menteri, 40 ADUN, dan 15 Ahli Parlimen. Ini bererti dengan keluasan 1,860 km persegi di Semenanjung, pemerintah Malaya memberikan perhatian dengan memperuntukkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen.

3. Kenapa tidak perkara yang sama dilakukan ke atas Sabah? Kenapa tidak pemerintah Malaya mewujudkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen di wilayah Kota Marudu ini? Mungkin angka ini terlalu besar dan kita mahu supaya ia dikecilkan lagi kepada separuh sahaja. Jika separuh saja pun, keluasan Kota Marudu boleh mendapat sekurang-kurangnya 22 kawasan DUN dan 9 kawasan Parlimen.

4. Inilah bukti yang cukup jelas betapa kuatnya penguasaan atau pengawalan Malaya ke atas Sabah sehingga seluruh wilayahnya menjadi miskin dan mundur padahal Sabah kaya-raya. Pemerintah Malaya, iaitu UMNO BN memang tidak adil, tidak peduli kepada hak-hak asasi rakyat Sabah.

Di Manakah Keadilan Untuk Sabah?
Di manakah keadilan parti UMNO BN ke atas rakyat Sabah? Jika di Semenanjung, UMNO BN akan memberikan perhatian bagi setiap inci tanahnya supaya rakyatnya menikmati pentadbiran dan pengurusan yang lebih cekap, tetapi di Sabah, UMNO BN memberikan perhatian terhadap setiap ringgit hasil bumi Sabah supaya kekayaan di Sabah itu dikaut dan dibawa ke Malaya supaya setiap inci wilayahnya dapat dibangunkan.

2. Demikian pula, walaupun Pakatan Rakyat belum menguasai Putrajaya, tetapi rakyat Sabah sudah mengetahui polisi mereka terhadap Sabah. Mereka akan tetap melaksanakan Agenda Malaya, iaitu agenda menguasai kekayaan Sabah untuk kepentingan Malaya. Rakyat Sabah harus menyedari hal ini dengan matang dan berjuang mendapat hak asasinya. Melalui kuasa undi, rakyat Sabah boleh mendapat hak mereka apabila kerajaan baru dibentuk di Sabah dalam PRU 2013 dan pembangunan akan dapat dijalankan dengan lebih baik.

Pengurusan dan Pembangunan Wilayah
Sedarkah kita bahawa Kerajaan Negeri Perlis menyediakan RM253.79 juta untuk Bajet 2013 membabitkan RM181.65 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM72.14 juta bagi pembangunan? Pulau Pinang pula menyediakan Bajet pada 2013 sebanyak RM1,133,946,841 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan?

Betapa teruknya jalan di Kota Marudu
2. Dengan keluasan 1,860 km persegi bagi negeri Perlis dan Pulau Pinang, jumlah keseluruhan bajet pada tahun 2013 adalah sebanyak RM1,387,736,841. Ini bermakna setiap satu kilometer persegi wilayah ini terdapat  peruntukan sebanyak RM746,095.00. Dengan peruntukan sebanyak itu apakah tidak mungkin wilayah itu membangun dengan baik? Kita boleh menjawabnya dengan mudah. Peruntukan ini belum mengambil kira peruntukan daripada Kerajaan Pusat. 

Apabila Peruntukan Wilayah Kota Marudu Sebanyak RM1,387,736,841
Menurut kajian Bank Dunia, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia. Kajian lain pula menjelaskan bahawa salah satu daripada 5 daerah termiskin di Sabah adalah Daerah Kota Marudu.

2. Persoalannya, kenapakah Wilayah Kota Marudu miskin? Kenapakah Kota Marudu lambat membangun dari segi fizikal dan modal insan? Tahukah kita bahawa kemsikinan di Wilayah Kota Marudu terjadi kerana polisi pemerintah Malaya yang memiskinkan Sabah? Tahukah kita bahawa Kota Marudu mundur kerana kurangnya peruntukan bagi program pembangunan dan peruntukan mengurus bagi Wilayah Kota Marudu?

3. Jika kita mengambil kira kayu ukur pemerintah Malaya yang memberi peruntukan kepada wilayahnya, maka ini bermakna sekurang-kurangnya bajet tahunan untuk Wilayah Kota Marudu adalah RM1,387,736,841. Namun ini tidak terjadi kerana pemerintah Malaya yang menzalimi Sabah yang mengaut ekonominya.

4. Apabila Wilayah Kota Marudu menerima bajet tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM1,387,736,841 apakah tidak mungkin Wilayah ini membangun dengan pesatnya? Pasti kita boleh memberikan pembangunan dengan sebaik-baiknya. Inilah kelebihannya apabila kita mendapat kuasa memerintah sendiri, dan bukannya berada di bawah jajahan Malaya.

5. Tahukah kita berapakah bajet negeri Sabah pada tahun 2013? Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Bajet 2013. Soalnya berapa peruntukan yang diberikan untuk Wilayah Kota Marudu? Sesungguhnya, Kerajaan UMNO BN tidak pernah menjelaskan bajet untuk Wilayah Kota Marudu. Malah penyediaan bajet tahunan tidak pernah berasaskan Wilayah tetapi berasaskan Kementerian.  

6. Mari kita lihat hal ini secara purata bagi setiap satu kilometer persegi. Jika mengambil kira jumlah keluasan Sabah secara keseluruhannya seluas 73,620 kilometer persegi, maka purata peruntukan bagi 1 km persegi di Sabah adalah sebanyak RM55,528.00 sahaja. Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan untuk Wilayah Kota Marudu secara puratanya adalah RM106,447,921.76 kerana keluasannya sebanyak 1,917 km persegi. Perkiraan ini hanyalah purata sahaja. 

7. Bandingkan RM106,447,921.76 dengan Bajet Negeri Perlis dan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM1,133,946,841, berapa banyak bezanya?

Rumusan

Rakyat Sabah, khususnya rakyat Kota Marudu perlu bertindak untuk mendapatkan hak-hak asasi mereka. PRU 2013 ini amat penting dalam hal ini.