Friday, May 17, 2013

Komitmen Berjuang

Where the willingness is great, the difficulties cannot be great.
Niccolo Machiavelli 

Salah satu daripada komen yang saya terima daripada rakan sepejabat ketika saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan ialah, "Bad decision". Kata-kata itu diungkapkannya pada 28 Februari 2013, sehari sebelum saya meletakkan jawatan pada 1 Mac 2013. 

2. Kini, sesudah 13 hari berlalunya PRU-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, kata-kata itu masih berkumandang di telinga saya. Berbaur dengan suara hati sendiri, kata-kata itu ternyata berkuasa memberi saya warna untuk saya palitkan dalam kamus keyakinan saya: Keputusan meletakkan jawatan untuk berkhidmat kepada rakyat bukan keputusan buruk tetapi keputusan terpuji. 

3. Saya telah membakar jambatan dan tak mungkin lagi berpatah balik semula ke pangkal jalan kerana jambatan baru telah saya bina merentangi masa depan yang belum pasti. Di mana ada kemahuan yang besar, di situ tiada kesukaran yang besar. Keyakinan ini terpahat kukuh dalam hati saya untuk melangkah dengan tabah, sabar, dan tekun.

4. Hidup saya dipenuhi mukjizat. Mendapat kemalangan maut pada 13 Ogos 1981, ketika saya berumur 14 tahun merupakan salah satu mukjizat yang luar biasa dalam hidup saya. Kemalangan maut kedua pula terjadi pada 1 Mac 2012. Di situ pun anugerah Tuhan tidak terbatas dalam hidup saya. Saya masih dibiarkan-Nya bernafas sehingga kini. Ini memberi kekuatan baru dan segar kepada saya betapa besarnya kasih Tuhan dan kasih itu tidak mungkin dirampas daripada saya. Saya akan tetap berusaha berasaskan potensi yang saya ada untuk berkhidmat, berjuang, dan melayani dengan sepenuh hati. 

5. Tekad saya adalah untuk meneruskan perjuangan dan perkhidmatan kepada rakyat dan pelanggan dengan penuh dedikasi. Komitmen berjuang ini tidak akan pudar. Kata Zig Ziglar, "It was character that got us out of bed, commitment that moved us into action, and discipline that enabled us to follow through" - amat tepat menggambarkan pendirian saya mengenai hal ini. 

6. Malah tidak lupa saya dengan kata-kata Vince Lombardi, "The quality of a person's life is in direct proportion to their commitment to excellence, regardless of their chosen field of endeavor."

7. Walaupun saya tinggalkan kerjaya perguruan saya yang saya bina hampir 20 tahun lamanya, namun saya akan membina kerjaya yang baru. Saya perlukan rangkaian untuk merealisasikan impian ini. Rangkaian perhubungan itu kini saya nantikan.  Siapa dan di manakah itu?