Monday, May 20, 2013

Penipuan dalam Pilihan Raya


Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia mengamalkan sistem pilihan rayanya yang tersendiri yang dikendalikan oleh badan bebas yang dinamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dilihat dari segi sistem, sebenarnya sistem pilihan raya kita memang digubal dengan baik, lengkap, dan menyeluruh selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi yang kita amalkan. Ia juga adil dan saksama yang boleh diterima oleh semua parti atau pihak yang bertanding dalam pilihan raya.

2. Pengalaman SPR melaksanakan pilihan raya di Malaysia bukanlah baru. Di peringkat Parlimen, misalnya, SPR sudah mengadakan 13 kali pilihan raya. Ini bererti sistem tersebut sudah 13 kali dilaksanakan dan kerana itu ia sentiasa dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memastikan keadilan dan kebenaran tetap terpelihara.

3. Tetapi, saya percaya, isu yang kita depani sekarang ini bukanlah isu sistem pilihan raya kita, tetapi orang yang melaksanakan sistem itu, iaitu orang-orang SPR itu sendiri.   Ini pula tidak menyeluruh tetapi sebaliknya hanya segelintir orang yang terlibat. Sudah tentu dakwaan ini memerlukan bukti kerana tanpa bukti yang kukuh dan sahih, dakwaan itu boleh dianggap sebagai suatu "pembunuhan karakter" dengan mempersoalkan integriti seseorang. 

4. Kata-kata Sdr Marcus Shapie yang memberi komen terhadap salah satu pos saya dalam FB, ada benarnya. Katanya, "Pada hemat saya, proses pemilihan SPR itu sudah cantik. Modus operandinya sudah betul-betul adil dan saksama. Namun demikian, saya tidak menolak kemungkinan [adanya] operasi pelencongan dari sistem oleh 'orang-orang tertentu', di 'kawasan-kawasan terpilih', pada 'masa-masa yang sesuai', dan 'pencerobohan keselamatan undi pos dan undi awal'... jika matlamat [itu adalah] untuk memenangkan sesuatu pihak secara terdesak. Saya percaya dalam politik ia menghalalkan cara walau tindakan itu haram dan menyalahi etika dan dogma keadilan dalam demokrasi."

5. Keraguan dan ketidakyakinan kita terhadap segelintir pelaksana sistem pilihan raya kita memang berasas kerana bagaimana mungkin kita berasa yakin akan integriti pelaksana SPR bahawa mereka itu tidak bias, telus, bersih, dan adil, sedangkan ada antara mereka yang menjadi ahli parti politik, khususnya UMNO yang mempunyai anutan politik yang berbeza dengan lawan mereka?


6. Tegasnya, isu kita ialah penipuan yang didakwa berlaku di beberapa kawasan sehingga kawasan yang didakwa itu menyumbang kepada kemenangan BN. Kemenangan itu telah membolehkan BN membentuk kerajaan di Putrajaya walaupun majoriti rakyat (yang dilihat melalui undi individu atau undi popular) menolak BN. Dakwaan ini perlu dibuktikan. Walaupun PR telah mengenal pasti 27 kerusi Parlimen yang ada unsur-unsur penipuan, proses undang-undang perlu dipatuhi. Dakwaan wujudnya penipuan itu perlu dibuktikan di mahkamah kerana kita ada undang-undang. Mahkamah kita perlu telus, adil, dan bersih. 

7. Sesungguhnya, seperti yang saya katakan dalam salah satu entri blog saya yang berjudul Suara Rakyat Suara Keramat, saya menyatakan bahawa, "Kerajaan yang dibina atas penipuan perlu ditentang habis-habisan." Ini merupakan nilai sejagat. Nilai ini perlu kita perjuangkan kerana ia membawa faedah kepada sesiapa saja tanpa mengira kepercayaan atau ideologi politik. Siapa juga kerajaan, jika ia dibina atas penipuan, perlu ditentang habis-habisan kerana ia akan membawa kesan negatif kepada keseluruhan rakyat dan negara. Keadilan dan kebenaran perlu ditegakkan. Negara hancur jika kerajaannya dibina atas penipuan. Kiranya negara kita tidak hancur. Kiranya kerajaan kita bukan dibina atas penipuan.  


No comments:

Post a Comment