Gunung Kinabalu lambang semangat juang rakyat Sabah |
Walaupun sejarah telah
mencatat dengan jelas bahawa Sabah merupakan sebuah negara merdeka pada 31 Ogos
1963, namun masih ada pihak yang cuba menafikan kebenaran itu dengan menyatakan
bahawa Sabah sebenarnya hanya merupakan sebuah negeri dalam erti kata sama
taraf dengan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.
2. Persekutuan Tanah
Melayu (PTM) ditubuhkan pada tahun 1948 menggantikan Malayan Union yang
diperkenalkan oleh British pada tahun 1946. Persekutuan Tanah Melayu terdiri
daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor,
Pahang, dan Negeri Sembilan. Setiap negeri di bawah PTM ini mempunyai entiti yang
berasingan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Hal ini demikian kerana
semasa penjajahan British, negeri-negeri ini sudah wujud terlebih dahulu dan
mempunyai pemerintahannya sendiri.
3. Berikutan dengan itu,
rakyat Sabah didedahkan dengan dua konsep yang saling bertentangan sehingga
menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pihak yang kurang matang dan tidak jelas
mengenai hal ini kerana kekurangan informasi. Pertama, Sabah sebagai sebuah negara dan kedua, Sabah sebagai sebuah negeri.
Konsep “Negara” dan “Negeri”
Untuk memahami isu ini
dengan jelas, eloklah difahami maksud konsep “negara” dan “negeri” itu terlebih
dahulu.
2. Dalam bahasa Inggeris
dan beberapa bahasa Eropah lain, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada
sebuah “negara” ataupun “negeri” adalah sama iaitu perkataan state. Jadi dalam keadaan ini, perkataan
state akan diterjemahkan sama ada
sebagai "negeri" atau "negara" mengikut konteks.
3. Di Malaysia, istilah “negara”
dan “negeri” berbeza kerana “negara” merujuk pada “Persekutuan Malaysia”,
sedangkan “negeri” merujuk pada negeri-negeri yang ada di Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah, dan Sarawak. Lebih daripada itu, di Malaysia konsep “negara” dan
“negeri” ini mempunyai “tahap”, iaitu “negara” itu lebih besar (berada di atas),
sedangkan “negeri” itu lebih kecil (berada di bawah).
Peta Malaysia: Terdiri dari Malaya, Sabah, Sarawak |
- Adakah Malaysia terdiri daripada gabungan negara ataupun terdiri daripada gabungan negeri?
- Adakah Sabah dan Sarawak merupakan sebuah “negara” ataupun sebuah “negeri”?
Status Sabah dan Sarawak Sebagai Negara
Sejarah membuktikan
bahawa Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh
empat pihak yang mewakili negara yang berasingan, iaitu Malaya, Singapura,
Sarawak, dan Sabah. Proklamasi pembentukannya dilakukan pada 16 September 1963
di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
2. Keempat-empat negara
ini mempunyai entiti yang berasingan, iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang
terdiri daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor,
Pahang, dan Negeri Sembilan; Singapura, Sarawak dan Sabah.
3. Berdasarkan Perjanjian
Malaysia itu, memang jelas bahawa Persekutuan Malaysia yang baru dibina itu adalah
terdiri daripada gabungan Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Empat pihak yang
menandatangani perjanjian itu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mewakili Persekutuan
Tanah Melayu ataupun Malaya; Lee Kuan Yew mewakili Singapura, Stephen Kalong
Ningkan mewakili Sarawak; dan Tun Fuad Stephen mewakili Sabah.
4. Mari kita fahami
dengan jelas bahawa Perjanjian Malaysia bukan ditandatangani oleh 11 ketua negeri
/ kerajaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak,
dan Sabah. Persekutuan Tanah Melayu hanya satu.
5. Isu yang mengelirukan
ialah nama bagi Sabah dan Sarawak pada ketika itu, iaitu sama ada “negara”
ataupun “negeri” kerana Sabah dan Sarawak telah merdeka daripada British,
tetapi belum ada kerajaan baru dibentuk berasaskan pilihan raya sebelum
Perjanjian Malaysia ditandatangani di London. Berdasarkan sejarah, selepas Sarawak
merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, status Sarawak
dan Sabah ini adalah sebuah "negara". Status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah “negara”
itu boleh dilihat dalam pelbagai bukti dokumen.
6. Singapura kemudiannya
dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 9 Ogos 1965 dan menjadi sebuah negara republik. Tunku Abdul Rahman
mengeluarkan Singapura dari Malaysia dengan alasan untuk menangani isu
penentangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang sering
menimbulkan isu rasa tidak puas hati terhadap keistimewaan Bumiputera.
Perjuangan Mendapatkan Hak
Dengan merebaknya
pendidikan sejarah Sabah yang sebenar dalam kalangan masyarakat Sabah mutakhir
ini, rakyat Sabah telah sedar bahawa status Sabah sebenarnya adalah “negara” dan
bukannya “negeri”.
2. Dengan pendidikan sejarah
Sabah yang diterima, kebangkitan rakyat menuntut hak yang sepatutnya mereka
terima pasti membawa tsunami politik di Sabah dalam PRU 2013 ini. Rakyat
meyakini bahawa Kerajaan Sabah yang baru akan dibentuk kelak.
Logo Parti STAR |
3. Namun begitu, dengan
jatuhnya taraf Sabah dan Sarawak daripada sebuah “negara” kepada “negeri”
keadaan kita semakin bercelaru. Rakyat Sabah tidak seharusnya keliru dengan penggunaan
istilah “negara” dan “negeri”.
4. Saya ingin menegaskan
bahawa sama ada istilah “negara” ataupun “negeri” digunakan untuk Sabah dan
Sarawak, istilah itu sebenarnya tidak akan mengubah status dan kedudukan Sabah
dan Sarawak sebagai sebuah entiti yang berasingan yang berdaulat dan merdeka
yang sama taraf dengan Malaya.
5. Sebelum Singapura
dikeluarkan daripada Malaysia, yang jelas kepada kita ialah Persekutuan
Malaysia itu terdiri daripada empat bukan terdiri 13 (gunakan apa saja
istilahnya, sama ada negara / negeri - itu tidak penting) – yang jelas
Persekutuan Malaysia itu terdiri daripada Malaya, Singapura, Sarawak, dan
Sabah. Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia, maka
Persekutuan Malaysia itu kini terdiri daripada Malaya, Sarawak, dan Sabah.
6. Bermula daripada 27
Ogos 1976, status Sabah telah ditukar dari sebuah “negara” kepada sebuah “negeri”.
Istilah “negeri” untuk Sabah terus digunakan sehingga kini. Memandangkan
nama negeri sudah digunakan sebagai satu keselarasan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, namun rakyat Sabah tidak boleh menerima bahawa Sabah sama
taraf dengan negeri-negeri di Malaya (Semenanjung Malaysia). Yang jelas ialah
Sabah dan Sarawak dan Malaya adalah sama taraf dan sebagai rakan kongsi dalam
Persekutuan Malaysia.
7. Kepada rakyat Sabah,
sama-samalah kita berjuang untuk mendapatkan hak kita. Hak kita ialah Sabah dan
Malaya dan Sarawak adalah sama taraf. Sabah bukan sama taraf dengan
negeri-negeri di Malaya, walaupun Sabah itu telah diturunkan taraf dan namanya kepada
negeri.
Penjelasan seperti di atas sangat menarik perhatian saya sebagai rakyat Sabah yang cintakan Sabah, tidak kira ianya sebagai berstatus Negara/Negeri sepertimana yang telah dijelaskan oleh saudara.
ReplyDeleteNamun, saya ingin bertanya kepada saudara beberapa soalan yang mungkin saudara boleh kongsikan di dalam blog saudara.
Soalan 1
Pada awalnya, dalam Persekutuan Malaysia (Tahun 1963) , Malaya memiliki 104 kerusi parlimen, Singapura 15 kerusi parlimen, Sabah 16 kerusi parlimen dan Sarawak 24 kerusi parlimen. Adakah pembahagian kerusi ini sudah jelas menunjukkan Singapura, Sarawak dan Sabah hanya digabungkan dengan persekutuan Malaya? Sekiranya dianggap sebagai rakan kongsi sama taraf kerusi parlimen sepatutnya ~ 40 kerusi untuk setiap negara/negeri? Persekutuan Malaya sudah memiliki kerusi parlimen sebanyak 67% daripada jumlah keseluruhan kerusi parlimen Malaysia, dan peratusan tersebut bukan sahaja lebih daripada cukup untuk menjadi kerajaan malah ianya membenarkan kerajaan membuat perlembagaan Malaysia.
Soalan 2
Rumusan kronologi di atas:-
09 Julai 1963 - MA63 ditandatangani di London
22 Julai 1963 - Sarawak Merdeka
31 Ogos 1963 - Sabah Merdeka
Perasaan "ingin tahu" timbul apabila melihat tarikh kemerdekaan Sarawak/Sabah. Adakah sejurus selepas kemerdekaan tersebut pihak British telah "handing over" kesemua pentadbiran mereka kepada Sarawak/Sabah? Ataupun, hanya selepas 16 September 1963? Bagaimana pula dengan Yang Dipertua Negara dan Ketua Menteri? Adakah jawatan mereka wujud pada 31 Ogos 1963 atau 16 September 1963?
Sekian, terima kasih dan salam sejahtera.
Sudah 5 tahun tidak berjawab
Delete