Perhimpunan merupakan suatu keperluan dalam masyarakat yang progresif dan berdaya maju. Dalam mana-mana organisasi atau institusi, perhimpunan ditetapkan sebagai suatu aktiviti tersusun dan terancang, malah menjadi acara rasmi bulanan organisasi berkenaan.
2. Di sekolah, perhimpunan merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh pentadbir sekolah dengan tujuan untuk menghimpunkan semua pelajar dan guru. Lazimnya, perhimpunan itu diadakan sekali seminggu.
3. Kenapakah perhimpunan sekolah itu perlu diadakan? Pertama, pihak pentadbir sekolah akan menyampaikan mesej atau amanat penting kepada warga sekolah agar mereka mengetahui informasi semasa. Kedua, para peserta perhimpunan akan sentiasa sedar tentang tugas, peranan, dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha meningkatkan imej organisasi atau institusi tersebut.
4. Dalam mana-mana masyarakat bertamadun, perhimpunan digalakkan kerana perhimpunan itu berupaya mewujudkan semangat kerjasama, selain menggambarkan kekuatan suara kolektif agar pihak tertentu mendengar suara itu dengan prihatin dan rendah hati. Lebih daripada itu, perhimpunan itu diadakan untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi penganjur dan peserta supaya keadaan akan bertambah lebih baik daripada sebelumnya. Inilah yang dikatakan perubahan.
5. Senario ini terpakai dalam konteks gerakan kesedaran sivil dan politik di negara ini. Seharusnya, perhimpunan aman digalakkan kerana perhimpunan itu akan meningkatkan kesedaran politik dan iltizam pemimpin dalam membawa perubahan besar kepada masyarakat dan negara. Dengan itu, politik kita bertambah mantap, matang dan berimbang. Kemantapan dan kematangan berpolitik akan mewujudkan sistem politik yang lebih adil, demokratik, dan berintegriti.
6. Sesungguhnya, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) membenarkan rakyat berhimpun secara aman. Matlamat Akta ini adalah untuk memastikan:
"Selagi wajar untuk berbuat demikian, bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau menyertai perhimpunan, secara aman dan tanpa senjata, dan
"Bahawa penggunaan hak untuk menganjurkan perhimpunan atau menyertai perhimpunan, secara aman dan tanpa senjata adalah tertakluk hanya kepada sekatan-sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat dalam suatu masyarakat demokrasi demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain."
Datuk Ahmad Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri |
6. Menyedari hakikat ini, perhimpunan aman untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya adalah wajar dilakukan. Pandangan ini, pasti mendapat reaksi pro dan kontra kerana masing-masing berpegang kepada pendirian politik yang berbeza. Di satu pihak membantah perhimpunan aman kerana dikhuatiri akan mengganggu ketenteraman awam dan keamanan negara; di pihak yang lain pula menyokong perhimpunan aman kerana perhimpunan tersebut bertujuan menyampaikan suara dan aspirasi rakyat, malah melalui perhimpunan itu aktiviti ekonomi akan bertambah lebih aktif.
7. Dalam konteks PRU 2013 yang baru berlalu, ada dakwaan bahawa penipuan pilihan raya telah berlaku. Untuk membuktikan adanya perbuatan penipuan tersebut, pihak yang mendakwa perlu mengemukakan petisyen pilihan raya. Walaupun dakwaan penipuan itu memerlukan bukti dan bukti itu pula perlu diserahkan di mahkamah, namun, proses mahkamah itu terlalu lambat dan "senyap" sifatnya berbanding dengan aktiviti berhimpun itu sendiri.
Perhimpunan aman |
9. Memandangkan perhimpunan aman dibenarkan undang-undang, maka tidak ada alasan kenapa perhimpunan aman untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya tidak diadakan dengan tertib dan berhemah serta mematuhi undang-undang negara.