Thursday, March 21, 2013

Masalah Kemiskinan Membelenggu Rakyat Sabah

Masalah kemiskinan yang membelenggu rakyat Sabah menjadi isu kritikal sejak sekian lama. Walaupun Sabah sudah merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1963, namun penguasaan Malaya ke atas Sabah mengakibatkan Sabah tidak merdeka. Sabah seolah-olah berada di bawah penjajahan Malaya kerana Sabah tidak menentukan nasibnya sendiri seperti mana yang berlaku ke atas sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Sebahagian tetamu tekun mendengar ceramah 
2. Penindasan Malaya ke Sabah dan Sarawak berlaku dengan penuh licik dan zalim apabila Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya daripada sebuah "negara" kepada sebuah "negeri". Kenapa ini dilakukan? Tujuannya adalah semata-mata untuk menguasai ekonomi Sabah dan Sarawak yang kaya itu.

3. Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 merupakan salah satu pendekatan politik Malaya yang bijak untuk membolehkan wilayah Malaya diperluaskan. Dengan menggunakan nama Persekutuan Malaysia, maka Malaya akhirnya berjaya menguasai Sabah dan Sarawak. Wilayah Malaya bertambah daripada 11 negeri menjadi 13 negeri (dengan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri) dan juga beberapa Wilayah Persekutuan. 

4. Secara perlahan-lahan, status Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya daripada sebuah negara kepada sebuah negeri, iaitu sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya. Secara logik kita boleh katakan bahawa nama baru bagi Malaya adalah Malaysia. Inilah ketidakadilan politik yang dilakukan ke atas Sabah dan Sarawak. Perkara ini perlu dibetulkan dan dipulihkan. Pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 perlu dilakukan.

5. Sesungguhnya, kekayaan Sabah tidak dinikmati oleh rakyatnya kerana kekayaan itu dikuasai oleh pemerintah Malaya.  Pembangunan fizikal dan infrastruktur asas di Sabah, misalnya, masih berada pada tahap yang rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Malaya. Semua ini dilakukan kerana pemerintah Malaya memberi keutamaan kepada negeri-negeri di Malaya sedangkan rakyat Sabah diabaikan dan akhirnya rakyat menderita. Walaupun tidak dinafikan ada peruntukan kewangan diberikan kepada Sabah, tetapi peruntukan itu terlalu sedikit berbanding dengan hasil kekayaannya yang diambil oleh Malaya. Yang diberi hanyalah sekadar pengabur mata. Ketidakadilan ini sengaja dilakukan dalam tempoh 50 tahun penubuhan Malaysia. Justeru, rakyat Sabah dan Sarawak perlu berubah.

Sdr. Latip menyerahkan borang keahlian STAR
6. Situasi begini dirasai oleh rakyat Sabah, khususnya penduduk Kg. Nalapak, Kota Marudu. Pada 19 Mac 2013, seramai 35 orang ahli BN dari Kg. Nalapak, dalam kawasan N4 Matunggong (Bahagian P168 Kota Marudu) menyertai parti STAR dalam satu majlis ringkas dan sederhana, yang didahului dengan ceramah pendidikan hak-hak rakyat Sabah yang saya berikan. Penyertaan ahli-ahli BN dari Kg. Nalapak, Kota Marudu itu diketuai oleh Sdr. Latip.  Borang penyertaan itu diserahkan kepada Sdr. Majamis Timbong, AMT STAR. 

7. Dalam ucapan ringkas, Sdr. Latip menegaskan bahawa rakyat Sabah perlu bangun untuk mendapatkan kembali hak mereka. Beliau menjelaskan bahawa rakyat di Kg. Nalapak amat tertarik dengan perjuangan STAR dan mahu ikut sama berjuang untuk mendapatkan hak rakyat Sabah. Mereka ingin menikmati pembangunan yang selama ini kurang dinikmati.

8. Kg. Nalapak, Kota Marudu merupakan kawasan perbukitan yang subur. Kebanyakan tanah di sini telah dan sedang diusahakan dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah. Namun, masalah infrastruktur asas jalan raya yang teruk menyukarkan penduduk kampung untuk memasarkan hasil pertanian.