Wednesday, March 20, 2013

Misi Jelajah Tagibang Berjaya

Misi Jelajah Tagibang diadakan pada 16 dan 17 Mac 2013 oleh kepimpinan STAR N5 Tandek bersama Bahagian P168 Kota Marudu. Seramai 10 orang terlibat dalam misi yang saya ketuai sendiri. Turut memimpin dalam rombongan ini ialah Sdr. Majamis Timbong, AMT STAR, serta Ps. Lucin Muyat dan para pejuang yang lain. Misi Jelajah Tagibang kali ini berjaya, sekurang-kurangnya dalam usaha mendekati  dan merasai keperitan kehidupan masyarakat terpencil. 

2. Perjalanan ke Tagibang seharusnya melalui Jalan Ranau kerana Jalan Gana ke Tagibang tidak boleh digunakan kerana terputus. Kenapa jalan tersebut masih tidak diperbaiki sehingga kini, merupakan persoalan utama - yang sekali gus menunjukkan tahap keprihatinan pihak Kerajaan BN kepada nasib rakyat di kawasan N5 Tandek.

3. Kami bertolak ke Ranau melalui jalan pintas Kota Belud. Tiba di Pekan Ranau sekitar 5.30 petang selepas kira-kira 2 jam perjalanan dari Kota Marudu. Di Pekan ini, kami sempat menjamu selera sebelum bertolak ke Tagibang menyeberangi Sungai Kapuakan. Berhenti di Seberang Sungai Kapuakan, kami berehat seketika selepas lebih kurang sejam perjalanan dari Pekan Ranau. Perjalanan ke sini amat meletihkan kerana keadaan jalan raya yang amat teruk. Mujurlah tidak hujan kerana jika hujan, pasti kesukaran yang lebih teruk akan kami lalui. 

Papan tanda "Selamat Datang Ke SK Tagibang"
4. Dari Sungai Kapuakan melalui jalan balak, kami menuju ke Kg. Tagibang melalui jalan tanah merah tanpa batu kerikil, apalagi diaspal. Jalannya sempit, berlubang, dan bengkang-bengkok. Akhirnya, kami tiba di Padang SK Tagibang kira-kira jam 9.00 malam selepas lebih kurang 1 jam perjalanan darat dari Sungai Kapuakan. 

5. Di sini, saya sempat berbual dengan beberapa orang kampung termasuk Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK serta beberapa orang kampung yang lain yang ingin tahu tujuan kehadiran kami di kampung terpencil ini. Saya menjelaskan tujuan kehadiran kami hanyalah semata-mata untuk memberikan ceramah pendidikan dan perjuangan menuntut hak rakyat Sabah. 

6. Pada malam ini, saya sempat  juga berbual dengan salah seorang penduduk kampung yang menyatakan bahawa YB DSP Dr. Maximus Ongkili juga ada datang melawat di Kg. Tagibang, tetapi menaiki helikopter. "Dia tidak merasai kesusahan melalui jalan menuju ke tempat kami," kata orang kampung itu.

7. Beberapa orang kampung yang lain berkata, "Hidup kami amat susah. Jalan raya ke tempat kami amat tidak sempurna. Tiada kemudahan klinik di sini. Bagaimana kalau kami sakit?"  Perkhidmatan klinik bergerak atau doktor udara merupakan salah satu perkhidmatan kesihatan di sini, namun perkhidmatan doktor udara  sudah lama tidak datang ke Tagibang. Kali terakhir datang ialah pada November 2012.

8. Kami dibenarkan menginap di rumah tetamu, walaupun pada awalnya kami cuma meminta kebenaran untuk berkhemah di padang SK Tagibang. Kami dilayan dengan amat baik. Di rumah tetamu, kami berbual dengan Cikgu Jawatan Bungas, salah seorang guru veteran berasal dari Kg. Tingkalanon, Tandek. Cikgu itu juga meminjamkan pelita kepada kami.

Melayani orang kampung semasa makan tengah hari
8. Pada pagi 17 Mac 2013, semasa sesi kebaktian di gereja SIB Tagibang, saya sempat melayani jemaah melalui kesaksian peribadi saya yang mencabar dan penuh liku dan mendorong jemaah agar tetap tabah dan tekun dalam mendepani setiap cabaran hidup dan memohon pimpinan dan perlindungan Tuhan.

9. Pelayanan khutbah di mimbar seterusnya dilaksanakan oleh Ps. Lucin Muyat. Perkongsiannya amat mendorong jemaah agar tetap berfikiran terbuka dan matang. Ps. Lucin berkongsi pentingnya perubahan mentaliti dan sikap dalam kalangan jemaah. 

10. Sesi ceramah kesedaran hak-hak Sabah dan sejarah pembentukan Malaysia, selain perjuangan menuntut hak Sabah diadakan pada 17 Mac, sekitar jam 1.00 tengah hari sebaik selesai makan tengah hari.  Walaupun hidangan tengah hari hanya sederahana sahaja, namun, saya melihat sambutan penduduk kampung yang amat baik. Baik kanak-kanak mahupun remaja dan dewasa, semuanya sempat dilayani dan diberi makan. 

Para peserta begitu tekun mendengar ceramah pendidikan. 
11. Walaupun keadaan yang panas dan suasana sempit di tempat ceramah, para pendengar tetap tekun mendengar ceramah saya yang turut dibantu oleh Sdr. Majamis. Ceramah pendidikan berjaya menghimpunkan tidak kurang 50 orang dewasa.

12. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan kampung yang menyambut kami dengan mesra dan terbuka. Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Sidang SIB Tagibang, Dkn. Militon yang amat membantu kelancaran sesi ceramah pendidikan. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Kg. Tagibang dan Pengerusi JKKK Tagibang yang turut menghulurkan bantuan.




i-TANDEK

Sesungguhnya, Wilayah Tandek memerlukan reformasi dari pelbagai segi khususnya dari segi politik, ekonomi, sosial, teknologi, akademik (PESTA), dan seumpamanya. Perubahan harus berlaku secara terancang, berfokus, dan dilaksanakan dengan penuh komitmen. 

2. Pada masa yang sama, perubahan perlu diurus dengan jelas dan meyakinkan. Hala Tuju Pembangunan Tandek harus dikenal pasti dan dirancang serta dilaksanakan. Sehubungan itu, Pengurusan Pembangunan untuk perubahan dan pembaharuan wajar diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif bersepadu demi masa depan rakyat yang lebih baik.

3. Untuk membolehkan Wilayah Tandek berdaya saing, maju, progresif, dan seimbang, rakyat Tandek tanpa mengira keturunan, bangsa, dan agama perlu berubah dari segi pemikiran, budaya kerja, etika, tindakan dan seumpamanya. Hanya dengan reformasi minda dan tindakan demikian, kita boleh melihat wajah Tandek yang baru.

4. Horizon  pemikiran kita harus berubah ke arah yang lebih baik setiap saat. Tindakan positif perlu dilakukan setiap masa. Semangat ingin berubah dan mengejar kebaikan wajar berada pada tempat yang tinggi dan sepatutnya. 

5. Saya tawarkan i-TANDEK kepada Rakyat Tandek pada keseluruhannya untuk membawa Tandek lebih maju dan berdaya saing di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi. Wilayah Tandek memerlukan gagasan yang jelas bertunjangkan nilai korporat yang mantap ini.

6. Dalam mendepani PRU 2013 ini, saya gagaskan i-TANDEK sebagai teras nilai strategik yang saya perjuangkan untuk membawa Wilayah Tandek berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan wilayah-wilayah yang lain.

Apakah itu i-TANDEK?
Ilustrasi: Gambar diambil dari Google.
Logo i-TANDEK  sedang diusahakan. 
i-TANDEK merupakan akronim bagi i (Insan, Intelektual, Ilmu, Inisiatif, Inovatif), Telus dan Tulus (Transparent), Amanah (Integrity), Nilai Tadbir yang Baik (Good Governance), Demokratik (Democratic), Efektif dan Efisen (Effective and Efficiency), dan Kebertanggungjawaban (Responsibilities). 

Secara sepintas lalu, saya kemukakan penjelasan ringkas mengenai akronim ini seperti berikut:

(Insan, Intelektual, Ilmu, Inisiatif, Inovasi)
Apabila kita menyebut "i" dengan sendiri kita ingat akan insan, intelektual, ilmu, inisiatif, inovasi, dan seumpamanya. I juga merujuk kepada "individu" - atau "saya" - yang menekankan kepentingan dan fungsi insan atau individu dalam setiap perkara. Ia bukan menekankan sikap individualistik tetapi sebaliknya menekankan  kebertanggungjawaban peribadi demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Dewasa ini, untuk kekal kompetetif dan progresif, rakyat Tandek memerlukan insan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang pelbagai dan berguna. Modal insan ini bukan sahaja mempunyai ilmu semata-mata, tetapi bijaksana dalam merancang dan melaksanakan setiap agenda untuk kepentingan bersama. Setiap rakyat adalah modal insan yang amat berharga. Insan itu sudah tentu mempunyai intelektual yang rasional, positif dan kreatif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan inovasi yang membanggakan. Dalam hubungan ini, peranan institusi pendidikan amat penting dalam membina modal insan yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, dan berakhlak mulia. 

T (Telus dan Tulus)
Tulus dan Telus bukan sahaja merujuk kepada nilai positif semata-mata, tetapi merujuk kepada orientasi tindakan (action-oriented). Kegagalan sesuatu program terjadi kerana mereka yang terlibat tidak telus dan tulus. Perkara-perkara yang negatif tidak diakui, malah disembunyikan dengan pelbagai helah. Akibatnya, apabila pemimpin dan rakyat tidak telus dan tulus maka berlakulah kehilangan keyakinan dan kepercayaan. Organisasi lumpuh kerana tidak dipercayai. Individu hilang wibawa kerana tidak dipercayai dan diyakini.

Dalam konteks pelaksanaan projek pembangunan, misalnya, ketelusan dan ketulusan adalah mustahak. Nilai projek perlu dinyatakan dengan telus. Projek pembangunan perlu dilaksanakan secara telus dan tulus. Untuk kekal berdaya maju, rakyat Tandek, khususnya, dan Sabah amnya harus bertindak berasaskan prinsip undang-undang. Keadilan dalam melaksanakan pembangunan harus menjadi keutamaan. Dalam hal ini, hati yang rela diperbaharui dan dimurnikan adalah amat penting kerana hati merupakan teras bagi nilai ketelusan dan ketulusan ini.

A (Amanah / Integrity)
Integriti adalah merujuk kepada kejujuran. Setiap insan perlu mendokong nilai amanah atau integriti ini kerana nilai inilah yang akan memastikan sesuatu peranan, fungsi, dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan dedikasi. Pelbagai penipuan, rasuah, dan penyelewengan terjadi kerana tiadanya sikap amanah atau integriti dalam diri seseorang insan. Sehubungan ini, dalam membawa Wilayah Tandek ke mercu kecemerlangan pembangunan, setiap pemimpin dalam masyarakat, daripada wakil rakyat, pemimpin komuniti, dan rakyat keseluruhannya hendaklah berpegang teguh kepada integriti.

N (Nilai Tadbir yang Baik /Good Governance)
Urus Tadbir yang Baik (Good Governance) perlu dilaksanakan oleh setiap organisasi dan institusi, khususnya yang terdapat di Wilayah Tandek. Pihak pelaksana dasar perlu melaksanakan pengurusan pentadbiran dengan cekap dan berkesan. Etika kerja dan budaya kerja yang berteraskan kecemerlangan dan hasil harus dititikberatkan oleh setiap pekerja awam. Sistem penyampaian harus diperkemaskan dan diperbaiki untuk membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan. Inilah yang akan dilaksanakan untuk membawa Tandek dan rakyatnya menikmati kehidupan yang lebih baik.

D (Demokratik)
Demokratik merupakan nilai penting dalam masyarakat yang menekankan toleransi dan kesaksamaan dan keadilan. Tindakan demokratik akan memberi ruang dan peluang kepada setiap orang untuk berubah dan mencapai kemakmuran tanpa sekatan. Sesungguhnya, masyarakat Tandek terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Untuk kekal harmoni, makmur, dan berdaya saing, masyarakat Tandek harus berpegang kepada prinsip demokratik yang memberi penekanan kepada merit dan usaha. Kecemerlangan bangsa dan wilayah Tandek bergantung kepada usaha berterusan dan bersepadu oleh pelbagai lapisan masyarakat. Peluang sama rata untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang lebih tinggi haruslah dijadikan keutamaan. Dalam hal ini, masa depan rakyat perlu dilindungi dan dibangunkan.

E (Efektif dan Efisien)
Keberkesanan dan kecekapan kerja dituntut oleh setiap masyarakat moden. Masa harus dijimatkan dalam pelaksanaan pelbagai urusan. Perkhidmatan kepada rakyat harus berada pada tahap yang cemerlang. Untuk memberi kepuasan kepada pelanggan, iaitu rakyat, perkhidmatan yang cekap dan berkesan diperlukan. Sehubungan itu, pembangunan komuniti perlu dilakukan dengan efektif dan efisien.  Justeru, kepantasan bertindak dan berdaya saing dalam mendepani perubahan harus disubur dan dimekarkan.

Kebertanggungjawaban 
Kebertanggungjawaban adalah perkara yang signifikan dan relevan bagi individu dan organisasi. Pemimpin perlu bertanggungjawab dalam setiap perkataan mahupun tindakan. Kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik apabila semua pihak bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja dengan penuh dedikasi. Misalnya, jika berlaku rasuah atau penyelewengan, pelaku mesti bertanggungjawab. Kebertanggungjawaban itu harus menjadi nadi kepimpinan pemimpin.

7. Sesungguhnya, i-TANDEK merupakan tujuh teras nilai korporat yang akan digunakan untuk mereformasikan Tandek. Program i-TANDEK akan dirangka kerana program ini akan melengkapkan generasi Tandek seterusnya untuk berfikir dan bertindak dengan penuh wibawa dalam pelbagai wadah. Pelbagai projek boleh dirangka selaras dengan tujuh teras nilai pengupayaan insan ini.

Rumusan
Kesimpulannya, i-TANDEK bukan sahaja merujuk kepada akronim nilai, tetapi juga merujuk program bina upaya insan. Dalam hubungan ini, Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) berteraskan moral dan nilai yang tinggi amat diperlukan oleh Wilayah Tandek. i-TANDEK adalah salah satu inisiatif yang akan saya laksanakan kelak.

Dalam hal ini penubuhan institusi dan akademi bina upaya masyarakat Tandek akan dilakukan. Golongan yang lemah dibantu dan diupayakan melalui pelbagai program. Pelan Tindakan untuk Tandek yang Membangun sedang dan akan dirangka dan dilaksanakan. Beri peluang kepada saya untuk merealisasikan impian menjadi kenyataan.

Di depan kita, masa depan yang lebih cerah sedang menanti. Mari bersama saya dalam merealisasikannya. Ingat i-TANDEK ingat rakyat, ingat saya kerana i-TANDEK diilhamkan oleh rakyat, dari rakyat, dan untuk rakyat.