Saturday, March 30, 2013

Pemulihan Status Sabah Sebagai Negara

Usaha yang mesti dan wajar kita lakukan kini adalah untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Kita tahu bahawa sejak 27 Ogos 1976, iaitu lebih kurang 37 tahun yang lalu, status Sabah sebagai sebuah negara itu telah diturunkan tarafnya menjadi sebuah negeri, yang setaraf dengan negeri-negeri di Malaya. 

2. Tindakan zalim dan menindas oleh pemerintah Malaya ini pasti tidak boleh kita terima. Penurunan taraf itu tidak pernah dipersetujui oleh rakyat Sabah. Penurunan taraf itu juga tidak pernah dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah mahupun di Parlimen. 
Ilustrasi gambar diambil dari Google

3. Mari kita nilai hal ini dengan baik-baik. Pemerintah Malaya sememangnya zalim dan menindas Sabah dari segi politik apabila Perjanjian Malaysia 1963, Memorandum Perkara 20, Keputusan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), cadangan Suruhanjaya Cobbold tidak didaulatkan dan dipatuhi, padahal Malaysia mencanangkan Rukun Negara. Rukun Negara yang keempat menyebut "Kedaulatan Undang-undang". Di manakah kedaulatan undang-undang kita? Siapakah lagi yang menghormati dan menghargai perjanjian dan undang-undang jika bukan pemerintah yang kemudiannya diikuti oleh rakyat seluruhnya? 

4. Penurunan taraf ini pasti tidak mudah untuk diubah semula, dalam erti kata menjadikan Sabah sebagai  sebuah negara. Sabah akan kekal dalam Persekutuan Malaysia. Memandangkan sejak 27 Ogos 1976, Persekutuan Malaysia itu adalah terdiri daripada gabungan negeri dan wilayah persekutuan, maka konsep itu akan kekal. Namun, status dan kedudukan Sabah sebagai sebuah negara itu boleh dipulihkan melalui kerajaan baru yang bakal dibentuk dalam PRU 2013 ini. 

Persoalan Penting
Apabila kita bercakap mengenai pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara, banyak persoalan yang timbul. Misalnya, apakah maksudnya pemulihan status Sabah sebagai negara? Kenapakah status itu perlu dipulihkan? Siapakah yang memulihkan status itu? Bilakah masa yang sesuai untuk memulihkan status tersebut? Bagaimanakah status itu dipulihkan? 

Apakah maksudnya pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara?

Pemulihan Sabah sebagai sebuah negara, secara ringkasnya bermaksud mengembalikan erti "negara yang merdeka dan berdaulat" kepada Sabah. 

2. Negara merujuk pada suatu wilayah di bumi ini yang diperintah dan diatur oleh suatu kerajaan yang mempunyai kuasa dari segi politik, ekonomi, sosial, ketenteraan, keselamatan dalam ngeri, kerakyatan dan kewarganegaraan, kebudayaan, dan sebagainya. Kerajaan tersebut adalah bebas dan tidak terletak di bawah pemerintahan kerajaan lain. 

3. Secara ringkas, Negara boleh dilihat daripada tiga aspek, iaitu aspek budaya, aspek geografi dan aspek politik. Dalam bahasa Inggeris, kata yang digunakan untuk merujuk kepada negara ialah nation, country dan state. Ini bererti memberikan kemerdekaan sepenuhnya kepada Sabah tanpa kawalan daripada Malaya. 

4. Ia juga merujuk pada pemulihan rakan kongsi sama taraf dengan Malaya dalam Persekutuan Malaysia. Mahukah rakyat Sabah menikmati kemerdekaannya sendiri? 

Kenapakah status itu perlu dipulihkan?
Status Sabah perlu dipulihkan kerana Sabah kini seolah-olah dijajah oleh Malaya dengan menggunakan nama Persekutuan Malaysia. Kekayaan Sabah dikaut dan diangkut ke Semenanjung Malaysia kerana polisi Malaya yang ingin mendahulukan Malaya dan membelakangkan Sabah. Sabah tidak menikmati sepenuhnya kemerdekaannya kerana dikawal oleh Malaya, khususnya dari segi kewangan, sistem pemerintahan, sistem ekonomi, dan sebagainya. 

2. Lebih daripada itu, budaya Sabah / Borneo tidak sama dengan budaya Malaya. Sehubungan itu, tidak semua sistem yang digunakan di Malaya sesuai di Sabah. Jarak antara Sabah dengan Malaya terlalu jauh sehingga menyulitkan pengurusan dan pentadbiran. Sabah tidak bebas memerintah sendiri mengikut acuan Sabah dan keperluan rakyat Sabah. 

3. Seharusnya, Sabah memerintah sendiri tanpa kawalan penuh daripada Malaya kerana itulah jaminan yang diberikan ketika membentuk Persekutuan Malaysia.

Siapakah yang memulihkan status itu?
Tanggungjawab untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara itu adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat. 

2. Seperti yang kita alami sendiri, selama ini Kerajaan UMNO BN tidak melaksanakannya dan tidak akan melaksanakannya. Pakatan Rakyat yang juga dari Malaya mempunyai mentaliti yang sama. 

3. Harapan baru untuk rakyat Sabah tetap ada. Harapan itu disandarkan kepada parti-parti lokal yang memperjuangkan hak-hak Sabah seperti parti STAR dan parti-parti tempatan di bawah gabungan Pakatan Borneo (UBA). Ini bermakna rakyat Sabah harus membentuk kerajaan yang baru. 

4. Kerajaan yang baru dibentuk itu akan melaksanakan agenda pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara. Maksudnya, rakyat Sabahlah yang bertanggungjawab dalam memilih kerajaan Sabah yang baru. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Bilakah masa yang sesuai untuk memulihkan status itu?
Kalau bukan sekarang bila lagi? Masa yang terbaik adalah masa ini, iaitu masa PRU 2013 ini. Rakyat Sabah harus mempertimbangkan dengan penuh matang akan peluang dan kesempatan yang ada untuk melakukan pembaikan. 

2. Kesilapan telah berlaku. Kesilapan itu perlu dibetulkan. Memilih kerajaan adalah tanggungjawab utama rakyat. Dalam hal inilah, rakyat Sabah perlu menyandarkan harapan kepada Parti STAR dan parti-parti gabungan dalam Pakatan Borneo (UBA) kerana parti-parti ini berjuang untuk mendapatkan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 dan berjuang memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. 

Bagaimanakah status Sabah dipulihkan?
Untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, kerajaan baru perlu dibentuk di Sabah pada PRU 2013 ini. Kerajaan baru ini seterusnya akan melaksanakan autonomi pemerintahannya sendiri seperti mana yang diperjuangkan oleh parti STAR dan parti-parti tempatan yang lain di bawah gabungan UBA. 

2. Autonomi itu dilaksanakan berdasarkan prinsip 1 negara 2 sistem, iaitu hanya ada satu negara (iaitu Malaysia), tetapi sistem pemerintahan di Sabah diatur dan dipilih oleh kerajaan Sabah sendiri. 

3. Apabila kerajaan STAR / UBA memerintah Sabah akan dibahagikan kepada 5 Wilayah seperti mana yang diamalkan semasa pemerintahan British dahulu. Wilayah-wilayah ini mempunyai sistem pemerintahannya sendiri.

Rumusan
Rakyat Sabah seharusnya berganding bahu dalam mencapai pemulihan bagi Sabah. Hal ini boleh dicapai melalui komitmen politik untuk mengubah kerajaan di Sabah. Hak rakyat Sabah harus dipulangkan. Sabah harus dibebaskan daripada kawalan Malaya melalui pemerintahan 1 negara 2 sistem.

Mari kita semua berperanan.