Saturday, March 23, 2013

Kezaliman dan Penindasan Politik

Kezaliman dan penindasan politik telah dan sedang berlaku ke atas Sabah dan Sarawak. Pelakunya tidak lain dan tidak bukan, pemerintah Malaya yang secara sedar dan sengaja melakukan tindakan tidak demokratik apabila Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara merdeka telah diturunkan tarafnya dari sebuah negara ke sebuah negeri pada 27 Ogos 1976. 

2. Kezaliman dan penindasan politik ini telah membutakan minda rakyat Sabah dan Sarawak kerana kelicikan permainan politik pemerintah Malaya yang sengaja meletakkan Sabah dan Sarawak berada dalam kegelapan sejarah. Keadaan ini berlanjutan sehingga kini dan kesannya sudah semakin kronik dan serius. 

3. Dalam mana-mana negara merdeka dan berdaulat yang diikat dengan perjanjian yang sah, pemerintahnya berusaha mendaulatkan undang-undang dan Perlembagaan masing-masing. Sesungguhnya, Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London mengikat secara sah setiap pihak yang terlibat dalam menandatangani perjanjian tersebut, iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah, selain British.

Ilustrasi: Gambar diambil daripada rakan FB
4. Namun, lain pula kejadiannya di Malaysia ini apabila Perjanjian Malaysia 1963, Memorandum 20 Perkara (bagi Sabah), Memorandum 18 Perkara (bagi Sarawak), keputusan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan cadangan Suruhanjaya Cobbold tidak dipatuhi malah diabaikan dan diputar belit dengan penuh licik. Di manakah kewibawaan pemerintah yang adil dan demokratik di Malaysia ini? Adakah Perjanjian didaulatkan?

5. Sejak peristiwa penurunan taraf Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara pada 27 Ogos 1976, rakyat Sabah tidak berpeluang mendapat pengetahuan sejarah yang mencukupi apabila sejarah kemerdekaannya sendiri pun dipudarkan dalam pendidikan Sejarah Malaysia. 

6. Sesungguhnya, penekanan seimbang mengenai sejarah kemerdekaan negara yang membentuk persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, tidak dinyatakan dengan jelas dalam pendidikan Sejarah, sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Pendidikan Sejarah yang diberi penekanan cuma sejarah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang merdeka daripada British pada 31 Ogos 1957. Manakala kemerdekaan negara Singapura (pada 3 Jun 1959, Sarawak pada 22 Julai 1963,  Sabah pada 31 Ogos 1963) disenyapkan. Malah, proses penting sejarah kemerdekaan  Sabah dan Sarawak tidak ditekankan dan diajar dengan penuh meyakinkan.

7. Dalam konteks, dewasa ini, sesudah Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada tahun 1965, tumpuan pendidikan Sejarah seharusnya melibatkan Malaya, Sarawak, dan Sabah. Untuk mengetahui hal ini lebih lanjut, kita boleh meneliti buku teks Sejarah di sekolah rendah dan sekolah menengah, selain meneliti dokumen rujukan utama, iaitu Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

8. Sememangnya, kita mengakui bahawa pendidikan Sejarah amat mustahak dan signifikan dalam kalangan rakyat untuk melahirkan warganegara yang patriotik dan mempunyai semangat kewarganegaraan yang tinggi. Menyedari kepentingan sejarah kepada setiap warganegara, maka Kementerian Pelajaran Malaysia, misalnya, telah mewajibkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM  bermula pada tahun 2013. Namun langkah penting ini tidak ada ertinya kepada rakyat Malaysia, khususnya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak apabila fakta mengenai sejarah Sabah dan Sarawak itu tidak dibetulkan dan diperincikan dalam Sejarah Malaysia itu sendiri. Sudah tentu tindakan dan komitmen politik seterusnya adalah untuk meneliti fakta sejarah Sabah dan Sarawak dalam pendidikan Sejarah Malaysia. 

9. Pengetahuan kebenaran sejarah tentang status Sabah sebagai sebuah "negara" telah membuka minda dan jiwa rakyat. Rakyat Sabah kini berjuang untuk mendapat keadilan. Meneliti gerakan kesedaran rakyat Sabah yang meluas apabila pengetahuan sejarah sebenar didedahkan, kini Persekutuan Malaysia sedang berada di lorong kehancuran kerana membenarkan kezaliman dan penindasan politik berleluasa ke atas Sabah dan Sarawak atas nama Kerajaan Pusat.

10. Maka, sebelum Persekutuan Malaysia ini hancur, maka status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara seharusnya dipulihkan dan dikembalikan. Politik bersifat dinamik. Rakyatnya tidak akan selamanya berdiam diri apabila kebenaran telah diperoleh.Rakyat Sabah seharusnya bangun mendapatkan haknya melalui saluran undi. 

No comments:

Post a Comment