Friday, March 22, 2013

Kemampuan Memilih

Demokrasi membenarkan rakyat membuat pilihan. Setiap lima tahun, rakyat berdepan pilihan raya bagi menentukan siapakah parti yang memerintah kelak. Daripada beberapa siri pilihan raya di Sabah, rakyat Sabah sesungguhnya mempunyai kemampuan memilih yang tidak boleh diperkecilkan. Rakyat Sabah menukar kerajaan dan memilih kerajaan baru yang mereka kehendaki.
Sabah sebagai sebuah Negara

2. Kezaliman dan penindasan politik sesungguhnya telah berlaku ke atas Sabah sejak sekian lama. Sesudah itu kita meraba dalam kegelapan, kerana pelita ilmu kita dipadamkan. Pelita itu tidak pernah bernyala lagi. Pelita ilmu itu dibiarkan lapuk dan binasa. Namun, sifat ilmu tidak pernah mengalah. Sekalipun ia ditutup dan disembunyikan seketika, pelita itu tetap berharga. Ia pasti dicari, diselongkar, dibongkar, digilapkan kembali. 

3. Rakyatlah yang melakukan pembongkaran itu melalui pendidikan sejarah yang mereka terima. Walaupun sejarah palsu diterbitkan dan diperluaskan dari setiap sudut, namun apabila sejarah sebenar didedahkan, rakyat tidak lagi mampu berdiam diri, sebaliknya berjuang untuk mendapatkan pemulihan, pembebasan, dan pemulangan hak - yang sepatutnya diterima dan diperoleh.

4. Nasionalisme dan patriotisme rakyat Sabah untuk Sabah tercinta ini cuba dipudarkan berdekad lamanya. Pemecahan politik dilakukan ke atas parti-parti politik di Sabah. Sektor ekonomi Sabah pula dikuasai dengan pelbagai cara. Sabah tetap di bawah cengkaman mereka yang berkuasa di seberang sana.

Infrastruktur yang amat teruk di Sabah
5. Kini, sesudah kita sedar, kita lalu membuka mulut, seakan-akan menyesal, namun nasi sudah menjadi bubur. Maka kita pun bertanya, "Kenapakah Sabah diturunkan tarafnya dari sebuah negara kepada sebuah negeri?", "Siapakah yang melakukannya?" “Mendalam sungguh kesannya”, “Rakyat Sabah ketinggalan dan menderita”.

6. Begitu kita bertanya dari dari individu ke individu, dari keluarga ke keluarga, dari komuniti ke komuniti, dari rumah ke rumah, dari tamu ke tamu, dari kumpulan ke kumpulan, dan kita pun berjaya menemukan jawapannya. Yang jelas jawapannya ialah penurunan taraf itu dilakukan secara sengaja dan sedar oleh pemerintah Malaya.

7. Sejak Sabah diturunkan tarafnya dari sebuah negara merdeka dan berdaulat kepada sebuah negeri, seperti mana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, IGC, keadaan kita semakin teruk bukan sahaja dari segi politik, tetapi terlebih dari segi ekonomi.

8. Dari segi politik, misalnya, wibawa politik kita berkecai apabila kepimpinan politik kita dikuasai politik Malaya. Walaupun kita boleh mengatakan bahawa pemimpin politik kita bukan begitu, namun jika diteliti secara mendalam, kuasa politik kita jelas terbelenggu. Kebebasan memerintah untuk kebaikan Sabah tidak dapat ditunaikan kerana bukan itu kehendak Malaya.

Infrastruktur yang amat teruk di Sabah
9. Dari segi ekonomi pula, pembangunan fizikal kita menyedihkan. Keadaan infrastruktur kita begitu teruk berbanding di Semenanjung. Semua ini terjadi kerana fokus pembangunan bertumpu di Malaya sedangkan kita di Sabah cuma memperoleh sisa, apabila semuanya sudah ada di sana barulah diberikan kepada kita, padahal yang mengayakan mereka adalah hasil kita dari Sabah.  Hal ini tidak seharusnya berlaku dan kita perlu menolak tindakan seperti ini.

10. Rakyat Sabah harus mendapat wibawa dan haknya kembali. Rakyat Sabah harus menikmati hasil ekonominya dengan sebaik-baiknya.

11. Merasai keperitan dan penderitaan ekonomi sekian lama, biarlah rakyat sendiri membuat pengadilan dan penilaian, dan undi diberikan kepada pembela yang memberikan harapan untuk Sabah. Hal ini hanya boleh terjadi apabila Sabah berdikari sendiri.


No comments:

Post a Comment