Thursday, March 7, 2013

Berimpak

1. DILAHIRKAN dalam keluarga petani sara diri, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pada 25 Ogos 1967 di Kg. Longob, Kota Marudu, Sabah. Memulakan pendidikan rendah di SK Masalog, Kota Marudu ketika berumur 10 tahun dan hanya sempat bersekolah tiga tahun kerana umur sudah lanjut ketika memulakan persekolahan.

2. Saya mendapat kemalangan jalan raya pada Ogos 1981, ketika saya berumur 14 tahun, yang mengakibatkan kaki kiri saya diamputasi. Tuhan mengasihi saya kerana kemalangan ini tidak mengorbankan saya sekalipun kini sudah bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU). Kekurangan fizikal tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha demi membawa impak dan perubahan kepada diri, keluarga, komuniti, negeri, dan negara pada keseluruhannya. Dengan pelbagai kepayahan untuk meneruskan pelajaran, komitmen untuk berubah dan berjaya diusahakan dengan tabah.

3. Saya meyakini bahawa kuasa Tuhan tidak pernah terbatas. Yang kelihatan mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Tuhan. Ramai yang skeptical dengan keadaan dan kebolehan saya kerana memandang hanya pada kekurangan fizikal saya semata-mata ekoran kemalangan itu. Ditukarkan-Nya kemalangan menjadi kemenangan bagi insan seperti saya.

4. Pendidikan menengah saya di SMK Kota Marudu (1980 hingga 1984) dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, kemudian ke SMK Arshad, Kota Belud pada tahun 1985-86 dalam Tingkatan 6 Rendah dan Atas.



5. Saya berjaya melanjutkan  pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam (BPA (Hons)) pada tahun 1987 di Universiti Utara Malaysia, Kedah atas tajaan biasiswa Yayasan Sabah, yang ketika itu diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, sebagai Pengarah. Saya berjaya menamatkan pengajian ijazah pertama saya pada tahun 1991.

6. Saya memulakan kerjaya saya dalam bidang pendidikan pada Mac 1992 sebagai Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Kota Marudu dan berlanjutan sehingga Mei 1995. Dengan minat yang mendalam dalam profesion keguruan, akhirnya saya mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Gaya pada 1995/96 dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

7. Saya ditempatkan semula bertugas di SMK Kota Marudu pada 1 Ogos 1996 selepas tamat pengajian ikhtisas itu. Mengajar adalah kurnia saya. Selain memberikan motivasi dan dorongan, saya menggunakan potensi lain pada saya untuk membangun komuniti, iaitu saya mengasah bakat saya sebagai penulis. Saya menghasilkan buku-buku motivasi, novel, cerpen, puisi, dan esei-esei kritikan. Karya-karya saya diterbitkan di pelbagai majalah, surat khabar, dan buku. Beberapa karya (cerpen) saya diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

8. Atas inisiatif berterusan, bahawa pembelajaran itu bersifat sepanjang hayat, sambil bekerja, saya mengambil ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah dan tamat pada tahun 2002. Pengajian ini dibiayai sendiri hasil daripada pinjaman bank. Inisiatif itu pula berterusan sehingga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah. Namun, dengan pelbagai hambatan, saya terpaksa menangguhkan pengajian. Mudah-mudahan ini akan dapat diteruskan kelak, selagi nyawa di kandung badan.

9. Saya dipindahkan bertugas ke Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Sabah sebagai Penolong Pengarah pada 1 Mei 2002. Kemudian selepas hampir 8 tahun di Sektor Pengurusan Akademik, saya bertukar ke Sektor Jaminan Kualiti pada 16 April 2010.

10. Ibarat sirih kembali ke gagang, saya kembali bertugas di sekolah, iaitu di SMK Bengkongan, Kota Marudu pada 1 Mac 2012 sebagai Penolong Kanan Pentadbiran. Pada malam 1 Mac 2012 (Pukul 12.50 Pagi), sekali lagi saya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tuaran - Kota Kinabalu. Jika bukan kerana kasih Tuhan, Yang Maha Kuasa, pasti saya terkorban dalam kemalangan tersebut. Saya yakin, Tuhan, pasti mempunyai rencana yang indah kepada saya untuk lebih berimpak.

11. Saya mengakhiri perkhidmatan saya di SMK Bengkongan, Kota Marudu apabila meletakkan jawatan 24 jam berkuat kuasa 1 Mac 2013.

12. Saya sudah berkeluarga dan dikurniai empat orang anak (3 lelaki dan seorang perempuan).

Cukup dahulu pengenalan diri saya.

No comments:

Post a Comment