Suara rakyat suara keramat
Pilihan rakyat perlu dihormat
Suara rakyat suara keramat
Penipuan pilihan raya tetap digugat
Rakyat bersuara tanda semangat
Mandat rakyat perlu diangkat
Kota Marudu
19 Mei 2013
Puisi singkat berjudul "Suara Rakyat Suara Keramat" ini didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab mereka mengundi untuk menentukan kerajaan baru. Keputusan PRU 2013 telah pun diumumkan dengan 133 kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), sementara Pakatan Rakyat (PR) pula mendapat 89 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Ini bermakna terdapat perbezaan 44 kerusi yang dimenangi oleh BN.
2. PRU 13 didakwa dipenuhi dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan. Ini termasuklah dakwaan bahawa terdapat pengendalian PRU oleh pegawai dan kakitangan SPR di beberapa kawasan yang tidak telus dan bebas. Dengan kata lain pelaksanaan PRU-13 adalah tidak bersih, adil, dan bebas. Bahkan, penggunaan politik wang atau rasuah untuk membeli undi dilakukan dengan berleluasa (sekalipun sukar dibuktikan).
3. Sebanyak 27 kerusi telah dikenal pasti oleh PR yang didakwa terlibat dalam penipuan dan PR akan mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan tersebut. Bagi kerusi ini PR mendakwa mempunyai bukti yang kukuh dan mencukupi bahawa di kawasan itu wujudnya penipuan. Bagaimana pula di kawasan lain yang memang ada penipuan, tetapi sukar dibuktikan?
4. Buat pertama kalinya dalam sejarah politik di negara ini, undi popular Pakatan Rakyat (sebagai pembangkang) mengatasi undi popular yang diperoleh oleh BN (sebagai pemerintah). Daripada 11,257,147 pengundi berdaftar, sejumlah 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih PR di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN. Manakala di peringkat DUN pula, daripada 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi yang lebih tinggi berbanding BN, iaitu 4,879,699 undi berbanding 4,513,997 undi kepada BN.
5. Dari satu segi, keputusan ini bermakna BN sebenarnya tidak mendapat mandat rakyat keseluruhan untuk membentuk kerajaan Putrajaya kerana lebih ramai yang menyokong PR dari segi sokongan undi individu atau disebut juga sebagai undi popular. Namun, dari segi bilangan kerusi, PR kalah sebanyak 44 kerusi. Malaysia mengamalkan sistem first past the post, iaitu memilih wakil rakyat berdasarkan undi majoriti mudah bagi kerusi yang dipertandingkan.
6. Datuk Ahmad Zahid Hamidi dalam tulisannya di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, “Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.”
7. Kenyataan Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri ini bongkak dan diktator sifatnya. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan tersebut kerana kenyataan itu seolah-olah bermaksud rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya di negara ini patut berhijrah ke negara yang mengamalkan sistem single transferable vote supaya rakyat boleh mengamalkan kepercayaan politik mereka.
8. Sesungguhnya, rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan hak itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin harus mendengar suara rakyat dan rakyat diberikan ruang dan peluang untuk bersuara. Beliau sepatutnya menghormati hak tersebut. Rakyat mempunyai kuasa untuk menuntut keadilan dan mendapat keadilan yang sewajarnya. Apabila berlaku penipuan dalam pilihan raya, maka rakyat berhak menentang penipuan itu. Rakyat sebenarnya inginkan keadilan ditegakkan di bumi Malaysia ini. Kerajaan yang dibina atas penipuan harus ditentang habis-habisan.
9. Kita akui bahawa Malaysia mengamalkan sistem `first past the post’ - satu sistem yang diwarisi dari United Kingdom dan kebanyakan negara Komanwel yang lain turut mengamalkannya. Sistem ini merujuk pada parti-parti politik yang bertanding di kawasan pilihan raya memilih hanya seorang wakil bagi setiap kawasan pengundian yang mengambil kira prinsip undi majoriti mudah. Memandangkan kita mengamalkan sistem tersebut, maka kita menghormati dan menerima sistem itu selagi belum diubah.
10. Suara rakyat suara keramat merupakan suara rakyat Malaysia yang inginkan keadilan pilihan raya sepenuhnya. Kita tidak pernah berkompromi dengan penipuan pilihan raya. Isunya sekarang bukan isu undi popular Pakatan Rakyat yang melebihi BN, tetapi isu penipuan pilihan raya yang dilakukan dengan sengaja. Suara rakyat suara keramat ini bukan mendewa-dewakan sistem single transferable vote - walaupun ada asas untuk kita bersuara demikian.
11. Sehubungan itu, saya menggesa agar kita bersatu mendapat keadilan. Rakyat tidak harus berdiam diri dan menerima bulat-bulat keputusan yang tidak adil dan penuh dengan penipuan. Apabila rakyat bersuara dan tidak berdiam diri bukan bermakna kita tidak boleh menerima kekalahan, tetapi rakyat bertindak menyatakan protes mereka secara aman kerana kita tidak menerima penipuan dalam pilihan raya.
12. Di manakah moralnya sebuah kerajaan yang dibina atas penipuan? Apakah gunanya sebuah kerajaan yang dibina atas ketidaktelusan dan ketidakbenaran? Di mana kesedaran moral pemimpin itu? Ini bererti rakyat perlu bersuara dengan berani untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran.
No comments:
Post a Comment