Apa pandangan anda mengenai dua perkataan ini, iaitu Abad dan Adab?
Abad
2. Abad berbicara tentang masa. Kita masing-masing mempunyai masa lalu, masa kini, dan masa depan. Masa lalu telah kita tinggalkan dan tidak mungkin kembali lagi. Kita belajar dan mengambil iktibar daripada masa lalu kita. Kita belajar menghargainya. Kita belajar mencipta sempadan. Kita bertekad menghargai kesempatan. Kita berjanji tidak mengulangi kesilapan. Kita berjuang membetulkan kesilapan.
3. Demikian halnya dengan masa depan. Masa depan itu belum pasti. Walau bijak macam mana pun kita, pasti kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Namun, masa depan tidak pernah berakhir. Masa depan kita akan tetap bermula. Dengan itu, kita perlu merancang dengan teratur dan bersungguh-sungguh. Yang menentukan kejayaan perancangan itu, hanya Yang Maha Esa.
4. Ibarat kita menanam benih, kita tidak berupaya sedikit pun memastikan benih itu tumbuh. Yang membenarkan benih itu tumbuh bukan baja yang kita berikan. Yang menumbuhkan benih itu adalah Tuhan itu sendiri. Tuhan menumbuhkan benih, tetapi kitalah yang memastikan sama ada benih itu dibiarkan tumbuh bersama semak atau tidak. Kitalah yang bertanggungjawab membersihkannya.
5. Sesungguhnya, yang pasti, adalah masa kini. Masa kinilah yang kita perlu fikirkan dan ambil tindakan. Jika kita berbeban berat, atasi beban berat itu dengan sebijak yang mungkin, tanpa berputus harapan. Kita berusaha dengan gigih dan tekun. Pasti kita akan berasa lega apabila kita berjaya melangkah untuk satu episod perjalanan.
Adab
6. Adab berbicara tentang jati diri atau identiti kita. Ia merujuk kepada karakter kita. Adab adalah karakter terpuji dan mulia. Orang yang beradab ialah orang yang berhemah. Orang yang berhemah ialah orang yang berhikmat. Orang yang berhikmat akan hidup di mana pun dia berada. Untuk itu, adab adalah perkara utama yang perlu diperkasakan.
7. Adab bukan sahaja berkaitan dengan kesopanan dan kesusilaan, tetapi adab adalah berkaitan dengan integriti kita. Orang yang berintegriti adalah orang yang beradab. Marilah kita memupuk nilai integriti dan adab itu dalam diri kita masing-masing. Nilai integriti dan adab itu adalah sejagat. Ia diperlukan di mana saja.
ABAD dan ADAB
8. Walaupun kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud masing-masing, namun, saya sebenarnya mencipta akronim bagi perkataan yang indah dan menarik ini. Tahukah anda apakah akronim bagi ABAD dan ADAB itu? Akronim itu adalah seperti berikut:
- ABAD: Anda Buat Anda Dapat
- ADAB: Anda Dapat Anda Buat
9. Anda buat, anda pasti akan mendapat. Tiada apa-apa yang anda akan dapat jika anda tidak melakukan sesuatu. Masa yang menentukannya. Mungkin pada ketika ini, apa yang kita buat itu belum berjaya menghasilkan sesuatu, tetapi pada akhirnya, setiap yang kita buat itu, pasti ada impaknya. Apa yang kita buat akan membawa pengaruh yang besar kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara kita.
10. Apabila sesuatu itu anda sudah berjaya mendapatnya, maka anda perlu membuatnya lagi sehingga ia membawa impak yang lebih besar. Marilah kita terus berjuang dengan bersungguh-sungguh membawa impak kepada kehidupan insan. Dengan ABAD dan ADAB, pasti kita akan membawa cahaya terang.
No comments:
Post a Comment