Monday, April 22, 2013

Manifesto Calon STAR N5 Tandek



Manifesto merupakan gagasan yang ingin dicapai oleh calon. Sebagai pejuang dan calon STAR bagi kawasan DUN N5 Tandek, saya akan melaksanakan Manifesto Induk STAR seperti yang telah dimaklumkan. Sebagai tambahan, saya juga mempunyai manifesto sendiri. Berikut ini saya kemukakan Manifesto saya untuk diteliti dan diberikan pandangan. 

VISI 
N5 Tandek yang Progresif, Adil, Seimbang, dan Berdaya Maju

MISI 
Pulihkan Hak, Selesaikan Masalah, dan Majukan Tandek.

MATLAMAT

  • Memenangi kerusi N5 Tandek
  • Memperjuangkan hak-hak rakyat dan autonomi Sabah
  • Mengembalikan keyakinan rakyat
  • Melaksanakan pembaharuan, menyelesaikan masalah dan membangunkan Tandek

NILAI STRATEGIK
i-TANDEK
I: inovatif /intelektual
T: Telus dan Tulus 
A: Amanah 
N: Nilai Urus Tadbir yang Baik 
D: Demokratik
E: Efektif dan Efisien 
K: Kebertanggungjawaban. 

TERAS STRATEGIK 
  • Membina masyarakat Tandek yang inovatif dan berintelektual.
  • Mengupayakan masyarakat Tandek untuk bertindak secara telus dan tulus.
  • Menyuburkan nilai amanah atau integriti dalam diri setiap warga supaya lahir masyarakat yang mementingkan kejujuran, keikhlasan, dan kebertanggungjawaban.
  • Mewibawakan warga Tandek dengan urus tadbir yang baik di setiap organisasi dan institusi dengan penekanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berstandard. 
  • Memekarkan nilai-nilai demokratik dalam kalangan warga Tandek tanpa mengira latar belakang agama, kaum, dan budaya
  • Melonjakkan budaya dan etika kerja berteraskan kecemerlangan, usaha, dan merit, iaitu mewujudkan bangsa yang berorientasikan kecekapan, dan keberkesanan.
  • Memperkasakan nilai dan semangat kebertanggungjawaban dalam setiap warga Tandek.

FOKUS TINDAKAN STRATEGIK 
PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN
  • Memohon supaya Tandek dijadikan sebagai Daerah Kecil 
  • Mewujudkan pusat khidmat sehenti di N5 Tandek bagi mendengar dan menangani isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat di N5 Tandek.
  • Menuntut kepada kerajaan supaya kawasan pilihan raya (dahulunya N6 Langkon) diwujudkan semula.
  • Mencari penyelesaian dan melaksanakan penambahbaikan jalan raya yang sempit dan sesak khususnya di kawasan Pekan Kota Marudu.
  • Melaksanakan reformasi bagi memilih keanggotaan Ahli Majlis Daerah Kota Marudu melibatkan pelbagai lapisan kepimpinan dan profesional

EKONOMI
  • Menubuhkan Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) mengikut potensi ekonomi di lima zon iaitu Zon Utara, Tengah, Barat, Timur, dan Selatan dalam usaha meningkatkan keupayaan rakyat dalam kegiatan ekonomi.
  • Menggalakkan pelaburan dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan membangunkan tanah rakyat dalam pertanian tanaman kontan, getah, kelapa sawit, kelapa, dan lain-lain
  • Mengenal pasti dan menggalakkan pembinaan pusat-pusat pelancongan baru dan menaik taraf pusat pelancongan sedia ada;
  • Mengusulkan kepada kerajaan untuk mewujudkan pelabuhan Kastam di Kota Marudu dalam usaha untuk melonjakkan kegiatan ekonomi.

SOSIAL 
  • Sejajar dengan kedudukan bangsa Kimaragang sebagai bangsa majoriti di N5 Tandek, maka landmark Kimaragang dan masyarakat pelbagai kaum yang lain di N5 Tandek akan diwujud dan dipromosikan;
  • Mewujudkan Pusat Ilmu Komuniti dan menaiktaraf Perpustakaan yang sedia ada – dalam usaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
  • Menyalurkan bantuan kepada badan-badan agama, orang kurang upaya, warga emas, dan orang yang memerlukan sesuai dengan polisi Kerajaan STAR.
  • Memastikan syarat-syarat perlindungan alam sekitar seperti mana yang ditetapkan dalam undang-undang sedia ada dipatuhi.
  • Menambahbaik kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, dan kemudahan elektrik.
  • Menyelesaikan masalah permohonan tanah berdasarkan polisi tanah Kerajaan STAR.

TEKNOLOGI, INFORMASI, KOMUNIKASI, BELIA
  • Memperkasa produk dan perkhidmatan berasaskan ICT 
  • Mewujudkan Young Traders Market di peringkat N5 Tandek sejajar dengan Manifesto Induk STAR
  • Membuka pusat-pusat sukan mini dan rekreasi bagi belia dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan belia yang dinamik dan maju. 

AKADEMIK
  • Bekerjasama dengan pelbagai institusi dan organisasi pendidikan untuk memaju bidang pendidikan di N5 Tandek melalui penubuhan kolej komuniti, kolej swasta / kolej awam;
  • Mewujudkan dana pendidikan Rakyat Tandek

PELAN TINDAKAN (12 BULAN) YANG PERTAMA SELEPAS DIPILIH)
Pelan tindakan untuk memastikan manifesto mula dilaksanakan
  • Menubuhkan Majlis penasihat / think tank yang dianggotai pemimpin veteran, pemimpin masyarakat dan agama, golongan professional untuk meneliti pelbagai isu dan masalah serta polisi yang kurang berkesan dan mencadangkan penyelesaian
  • Menubuhkan dan mengaktifkan pangkalan data komunikasi untuk menggalakkan penglibatan NGO, pemimpin masyarakat, ahli perniagaan, dan komuniti keseluruhannya dalam membawa perubahan kepada N5 Tandek.
  • Melawat ke semua kampung di kawasan N5 Tandek untuk mendengar isu dan masalah rakyat dalam usaha untuk mendapatkan input bagi merangka pelan pembangunan (blueprint) 5-10 tahun N5 Tandek yang lebih menyeluruh.
  • Menubuhkan Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) di 5 zon.

Untuk mengetahui latar belakang saya secara ringkas dan padat, berikut saya nyatakan biodata saya:


BIODATA CALON
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1967 
Tempat Lahir: Kg. Longob, Kota Marudu
Status: Berkahwin ( 4 orang anak).

Kelulusan Akademik
  • Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan (UMS, 2002).
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam dengan kepujian (UUM, 1991).
  • Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah (Maktab Gaya, 1996).

Pengalaman Perkhidmatan 
  • Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih selama 3 tahun setengah (1992-1995);
  • Guru Siswazah Terlatih selama 6 tahun (1996-2002);
  • Penolong Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Sabah (Sektor Pengurusan Akademik dan Sektor Jaminan Kualiti) selama lebih 10 tahun (2002-2012); dan
  • Penolong Kanan Pentadbiran (1 Mac 2012- 28 Februari 2013).
  • Sebagai pemimpin NGO, beliau terlibat dalam pelbagai kegiatan, antaranya sebagai penceramah, pembentang kertas kerja, kolumnis surat khabar dan menulis beberapa buah buku;
  • Kini menerajui Kelab Penulis Kadazandusun Murut (Penulis KDM). 

Mengamalkan Kod Etika 
  • Memperkukuh dan mengamalkan etika dan integriti pada tahap yang tertinggi.
  • Komited kepada agenda rakyat.
  • Berjiwa rakyat dan mendahulukan rakyat
  • Melaksanakan keadilan sosial tanpa mengira kaum, agama, dan bahasa.

Sunday, April 21, 2013

Kimaragang dan Kerusi N5 Tandek dalam PRU 2013



Saya berbangsa Kimaragang. Kedua-dua ibu bapa saya anak jati Tandek yang berbangsa Kimaragang. Dilahirkan di Kg. Longob, Kota Marudu 46 tahun yang lalu. Berpeluang mendapat ijazah pertama dalam bidang Pentadbiran Awam dengan Kepujian dari UUM pada tahun 1991. Kemudian mendapat ijazah kedua dalam bidang Sarjana Pengurusan Pendidikan dari UMS pada tahun 2002, selain mendapat kursus ikhtisas dalam bidang perguruan dengan mendapat Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 1996.

2. Lebih 70% masyarakat di N5 Tandek terdiri daripada orang Kimaragang. Ini bererti Tandek merupakan tanah tumpah Kimaragang. Tandek merupakan sebahagian Wilayah Kimaragang.

3. Perlu saya tegaskan bahawa saya tidak pernah menonjolkan semangat kesukuan dan tidak akan memulakannya. Saya mewakili N5 Tandek yang terdiri daripada pelbagai kaum. Saya bukan hanya mewakili Kimaragang.

4. Namun begitu, sebagai salah seorang yang berbangsa Kimaragang, saya ingin katakan bahawa dalam PRU 2013 ini, hanya satu saja orang Kimaragang yang bertanding di DUN N5 Tandek. Selama ini, tuntutan supaya N5 Tandek diserahkan semula kepada orang Kimaragang kini sudah terbuka. Maruah politik orang Kimaragang perlu dipulihkan. Peluang tersebut sudah terbuka pada tahun 2013 ini.

5. Saya juga bersedia dan mampu mewakili rakyat berbilang kaum di N5 Tandek ini di DUN Sabah.

Terserahlah kepada orang Kimaragang dan masyarakat pelbagai kaum yang lain untuk membuat keputusan.

Ini kalilah
Kita ambil balik

Wednesday, April 3, 2013

Kenapa Wilayah Kota Marudu Miskin?

Keluasan Kota Marudu
Daerah Kota Marudu mempunyai keluasan 1,917 kilometer persegi. Ingin saya tegaskan untuk ke sekian kalinya, walaupun ia sudah diketahui dengan jelas, bahawa daerah ini terletak di Sabah, bukannya terletak di Semenanjung Malaysia. Dengan keluasan ini, pemerintah Malaya telah menilai dan memperlakukan rakyat Kota Marudu dengan begitu rendah, zalim dan menindas dari segi politik dan ekonomi kerana pemerintah Malaya hanya memperuntukkan dua kawasan ADUN (N4 Matunggong dan N5 Tandek) dan seorang 1 Ahli Parlimen (P168 Kota Marudu), walaupun keperluan lebih 100,000 rakyatnya sama dengan keperluan mana-mana rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia itu.

2. Jika Kota Marudu berada di Malaya, pasti dengan keluasan 1,917 kilometer persegi ini, pemerintah UMNO BN yang ada sekarang ataupun pemerintah baru (misalnya Pakatan Rakyat) yang menguasai Putrajaya Malaya, akan benar-benar memberi perhatian sepenuhnya kepada wilayah itu. Ini memang pasti dan jelas sekali.

3. Jika Daerah Kota Marudu berada di Malaya, pasti daerah ini akan mendapat sekurang-kurangnya 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen. Itu pun tidak cukup lagi. Pasti pemerintah Malaya akan memberikan tumpuan dari segi politik, ekonomi, dan sosial. Dengan keluasan 1,917 kilometer persegi, Daerah Kota Marudu akan mendapat dua orang Raja ataupun TYT, dan dua orang Menteri Besar ataupun Ketua Menteri selain daripada jumlah kerusi DUN dan Parlimen yang dinyatakan. Namun, Daerah Kota Marudu bukannya terletak di Malaya, tetapi di Sabah, dan kerana itu pemerintah Malaya tidak perlu memberi perhatian.
Peta Kawasan Parlimen P168 Kota Marudu

4. Rakyat Sabah tidak berdaya kerana mereka dikuasai oleh pemerintah Malaya. Hal ini demikian kerana rakyat Sabah mengizinkan dan membenarkan hal ini berlaku. Yang mengurus dan mentadbir Sabah ialah pemimpin yang dikuasai dan dikawal oleh pemerintah Malaya. Memandangkan minda rakyat Sabah dikuasai ataupun dijajah, pemerintah Malaya hanya perlu peduli sedikit saja untuk mengurus dan menangani rakyat Kota Marudu, Sabah ini.

5. Dengan polisi penjajahan yang diamalkan oleh Malaya, rakyat Sabah kekal dikuasai dan dikawal seperti penjajah mengawal tanah jajahannya. Malah UMNO BN mengatakan bahawa Sabah tetap berada dalam genggaman atau simpanan tetap mereka. Ini bererti Pemerintah Malaya boleh mengawal dan memperlakukan rakyat Sabah dengan sesuka hati mereka.

6. Persoalannya, pada ketika rakyat Sabah sudah mempunyai peluang keemasan dan harapan untuk mendapat hak mereka, adakah rakyat Sabah masih tidak menggunakan kuasa undi mereka yang amat berharga itu? Sudah tentu, rakyat Sabah berubah setelah mendapat pendidikan ini.

Kota Marudu Layak Mendapat 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen
Saya bukan bercakap secara teori ataupun berangan-angan. Penyataan saya ini benar berdasarkan kerangka pemikiran dan standard pemerintah Malaya.  Saya boleh memberikan bukti dengan jelas bahawa Kota Marudu layak mendapat 55 ADUN dan18 Ahli Parlimen.

Batu Sumpah Peringatan
yang tidak dipeduli Malaya
2. Malah dengan keluasan 1,917 kilometer persegi itu, Kota Marudu layak mendapat dua orang Raja/TYT dan dua orang Ketua Menteri / Menteri Besar.


Keluasan Daerah Kota Marudu Melebihi Gabungan Keluasan Perlis dan Pulau Pinang

Sedarkah kita bahawa keluasan muka bumi Wilayah Kota Marudu ini lebih besar daripada gabungan Perlis dan Pulau Pinang? Muka bumi Negeri Perlis mempunyai keluasan 821 km persegi dan Pulau Pinang pula mempunyai 1,039 km persegi. Jika keluasan kedua-dua Negeri ini digabungkan, maka keluasannya cuma 1,860 km persegi sahaja.

2. Perlis mempunyai seorang Raja, seorang Menteri Besar, 15 ADUN, dan 3 Ahli Parlimen. Sementara Pulau Pinang pula mempunyai seorang TYT Yang Dipertua Negeri, seorang Ketua Menteri, 40 ADUN, dan 15 Ahli Parlimen. Ini bererti dengan keluasan 1,860 km persegi di Semenanjung, pemerintah Malaya memberikan perhatian dengan memperuntukkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen.

3. Kenapa tidak perkara yang sama dilakukan ke atas Sabah? Kenapa tidak pemerintah Malaya mewujudkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen di wilayah Kota Marudu ini? Mungkin angka ini terlalu besar dan kita mahu supaya ia dikecilkan lagi kepada separuh sahaja. Jika separuh saja pun, keluasan Kota Marudu boleh mendapat sekurang-kurangnya 22 kawasan DUN dan 9 kawasan Parlimen.

4. Inilah bukti yang cukup jelas betapa kuatnya penguasaan atau pengawalan Malaya ke atas Sabah sehingga seluruh wilayahnya menjadi miskin dan mundur padahal Sabah kaya-raya. Pemerintah Malaya, iaitu UMNO BN memang tidak adil, tidak peduli kepada hak-hak asasi rakyat Sabah.

Di Manakah Keadilan Untuk Sabah?
Di manakah keadilan parti UMNO BN ke atas rakyat Sabah? Jika di Semenanjung, UMNO BN akan memberikan perhatian bagi setiap inci tanahnya supaya rakyatnya menikmati pentadbiran dan pengurusan yang lebih cekap, tetapi di Sabah, UMNO BN memberikan perhatian terhadap setiap ringgit hasil bumi Sabah supaya kekayaan di Sabah itu dikaut dan dibawa ke Malaya supaya setiap inci wilayahnya dapat dibangunkan.

2. Demikian pula, walaupun Pakatan Rakyat belum menguasai Putrajaya, tetapi rakyat Sabah sudah mengetahui polisi mereka terhadap Sabah. Mereka akan tetap melaksanakan Agenda Malaya, iaitu agenda menguasai kekayaan Sabah untuk kepentingan Malaya. Rakyat Sabah harus menyedari hal ini dengan matang dan berjuang mendapat hak asasinya. Melalui kuasa undi, rakyat Sabah boleh mendapat hak mereka apabila kerajaan baru dibentuk di Sabah dalam PRU 2013 dan pembangunan akan dapat dijalankan dengan lebih baik.

Pengurusan dan Pembangunan Wilayah
Sedarkah kita bahawa Kerajaan Negeri Perlis menyediakan RM253.79 juta untuk Bajet 2013 membabitkan RM181.65 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM72.14 juta bagi pembangunan? Pulau Pinang pula menyediakan Bajet pada 2013 sebanyak RM1,133,946,841 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan?

Betapa teruknya jalan di Kota Marudu
2. Dengan keluasan 1,860 km persegi bagi negeri Perlis dan Pulau Pinang, jumlah keseluruhan bajet pada tahun 2013 adalah sebanyak RM1,387,736,841. Ini bermakna setiap satu kilometer persegi wilayah ini terdapat  peruntukan sebanyak RM746,095.00. Dengan peruntukan sebanyak itu apakah tidak mungkin wilayah itu membangun dengan baik? Kita boleh menjawabnya dengan mudah. Peruntukan ini belum mengambil kira peruntukan daripada Kerajaan Pusat. 

Apabila Peruntukan Wilayah Kota Marudu Sebanyak RM1,387,736,841
Menurut kajian Bank Dunia, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia. Kajian lain pula menjelaskan bahawa salah satu daripada 5 daerah termiskin di Sabah adalah Daerah Kota Marudu.

2. Persoalannya, kenapakah Wilayah Kota Marudu miskin? Kenapakah Kota Marudu lambat membangun dari segi fizikal dan modal insan? Tahukah kita bahawa kemsikinan di Wilayah Kota Marudu terjadi kerana polisi pemerintah Malaya yang memiskinkan Sabah? Tahukah kita bahawa Kota Marudu mundur kerana kurangnya peruntukan bagi program pembangunan dan peruntukan mengurus bagi Wilayah Kota Marudu?

3. Jika kita mengambil kira kayu ukur pemerintah Malaya yang memberi peruntukan kepada wilayahnya, maka ini bermakna sekurang-kurangnya bajet tahunan untuk Wilayah Kota Marudu adalah RM1,387,736,841. Namun ini tidak terjadi kerana pemerintah Malaya yang menzalimi Sabah yang mengaut ekonominya.

4. Apabila Wilayah Kota Marudu menerima bajet tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM1,387,736,841 apakah tidak mungkin Wilayah ini membangun dengan pesatnya? Pasti kita boleh memberikan pembangunan dengan sebaik-baiknya. Inilah kelebihannya apabila kita mendapat kuasa memerintah sendiri, dan bukannya berada di bawah jajahan Malaya.

5. Tahukah kita berapakah bajet negeri Sabah pada tahun 2013? Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Bajet 2013. Soalnya berapa peruntukan yang diberikan untuk Wilayah Kota Marudu? Sesungguhnya, Kerajaan UMNO BN tidak pernah menjelaskan bajet untuk Wilayah Kota Marudu. Malah penyediaan bajet tahunan tidak pernah berasaskan Wilayah tetapi berasaskan Kementerian.  

6. Mari kita lihat hal ini secara purata bagi setiap satu kilometer persegi. Jika mengambil kira jumlah keluasan Sabah secara keseluruhannya seluas 73,620 kilometer persegi, maka purata peruntukan bagi 1 km persegi di Sabah adalah sebanyak RM55,528.00 sahaja. Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan untuk Wilayah Kota Marudu secara puratanya adalah RM106,447,921.76 kerana keluasannya sebanyak 1,917 km persegi. Perkiraan ini hanyalah purata sahaja. 

7. Bandingkan RM106,447,921.76 dengan Bajet Negeri Perlis dan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM1,133,946,841, berapa banyak bezanya?

Rumusan

Rakyat Sabah, khususnya rakyat Kota Marudu perlu bertindak untuk mendapatkan hak-hak asasi mereka. PRU 2013 ini amat penting dalam hal ini.