Friday, March 8, 2013

Urus Tadbir Yang Baik (Good Governance)



Kritikan membina tidak harus dianggap meletakkan kita dalam keadaan terancam atau diancam. Banyak sekali perkara yang perlu ditambah baik. Setiap saat rakyat menuntut kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan, keberkesanan, integriti, urus tadbir yang baik, dan seumpamanya. Bukan sahaja kerana rakyat merupakan pembayar cukai yang menginginkan setiap ringgit yang diberikan itu berbaloi tetapi juga harus mempunyai nilai tambah dalam kecekapan dan keberkesanan.


2. Untuk maju ke hadapan, kita perlu rajin dan berdisiplin. Tiada ruang lagi untuk orang berpeluk tubuh itu menikmati kehidupan yang lebih baik kerana orang yang berbuat demikian bukan sahaja tidak boleh bersaing, tetapi tidak dapat memperbaiki hidupnya dengan lebih sempurna.


3. Rakyat memerlukan perkhidmatan yang cekap. Sistem penyampaian harus berkesan dan pantas dan dilakukan dengan teliti. Pemimpin masyarakat dalam pelbagai peringkat harus jujur, ikhlas, dan bersungguh-sungguh dalam memberikan perkhidmatan pentadbiran yang baik dan sempurna.


4. Urus tadbir yang baik (good governance) merupakan salah satu keperluan utama di Tandek. Tandek berpotensi menjadi lokasi progresif untuk pelbagai projek pembangunan fizikal dan minda. Projek pembangunan perlu dijalankan dengan penuh komitmen. Projek tersebut perlu diurus dengan mengikuti piawaian (Standard of Procedure) yang sebenar. 

5. Ketirisan perlu dielakkan seminimum yang boleh kerana masalah inilah yang menyebabkan kualiti projek pembangunan yang dilaksanakan tidak memuaskan. 

6. Dalam hal ini, integriti adalah perkara yang amat mustahak diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat, baik pelaksana projek mahupun penerima projek.

No comments:

Post a Comment