Kuasa rakyat amat penting diberikan perhatian kerana tanpa kuasa itu sesuatu pemerintah tidak dapat didirikan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Pilihan raya merupakan salah satu saluran khusus untuk membolehkan kerajaan dibentuk. Justeru, rakyat yang telah berdaftar sebagai pemilih akan menentukan siapakah kerajaan yang memerintah. Kerajaan baru dibentuk apabila parti yang bertanding dalam PRU itu memenangi kerusi terbanyak daripada semua kerusi yang dipertandingkan. Di Sabah, 60 kerusi DUN dipertandingkan, sementara di peringkat Parlimen pula 25 kerusi menjadi rebutan.
2. Untuk mencapai hasrat murni ini, rakyat mengundi calon yang diketengahkan oleh parti-parti berdaftar selain calon tanpa parti yang disebut calon Bebas. Pilihan raya tersebut dikendalikan oleh sebuah badan bebas dan berkecuali. Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan urusan pilihan raya di peringkat DUN dan Parlimen. Ini bererti, pemilih berdaftar bertanggungjawab dan berperanan untuk mengundi calon yang mewakili mereka di kawasan pilihan raya (DUN dan Parlimen).
Politik Sabah
Politik Sabah penuh dengan kontroversi dan berliku sifatnya apabila sudah empat kali kerajaan baru dibentuk di Sabah sejak tahun 1963 lagi, iaitu bermula dari Perikatan Sabah (1963-1976), diikuti Berjaya (1976-1985), PBS (1985-1994), dan UMNO BN (1994 hingga kini). Ini sekali gus menunjukkan sifat kedinamikan rakyatnya dalam memilih kerajaan baru. Rakyat Sabah mempunyai cita rasa dan aspirasi tersendiri dalam memilih kerajaan yang memerintah mereka di Sabah. Penganalisis politik meramalkan PRU 2013 ini, sekali lagi kerajaan baru akan dibentuk di Sabah.
2. Terdapat 3 aspek utama yang boleh dijadikan panduan oleh setiap pengundi untuk memilih wakil rakyat yang sesuai dalam PRU 2013 ini, iaitu perjuangan, parti, dan calon. Diharapkan melalui perkongsian ringkas di bawah ini, panduan tersebut akan menjadi asas pertimbangan yang wajar sebelum mengundi kelak. Tumpuan perbincangan ini berkisar hanya di Sabah, khususnya di kawasan N5 Tandek dan Parlimen P168 Kota Marudu.
Perjuangan Parti
Perjuangan adalah perkara penting yang perlu diketahui oleh setiap pemilih. Perjuangan di sini merujuk secara khusus pada perjuangan parti dan perjuangan individu calon yang bertanding. Untuk itu, dalam PRU 2013 ini, setiap pengundi perlu mengetahui dengan jelas apakah perjuangan parti dan calon yang bertanding kelak.
2. Rakyat berhak mengetahui dengan jelas perjuangan tersebut kerana perjuangan itu menunjukkan hala tuju parti yang membawa mereka ke arah kecemerlangan untuk lima tahun akan datang. Dalam hubungan ini, setiap parti yang bertanding berusaha memberikan kefahaman kepada rakyat dengan tujuan mendapat sokongan undi semasa pilihan raya.
3. Setiap parti mendakwa bahawa perjuangan mereka sebenarnya berteraskan kepentingan rakyat. Berikut ini saya kemukakan pandangan saya sepintas lalu mengenai perjuangan beberapa parti.
Perjuangan UMNO BN di Sabah
Perjuangan UMNO BN di Sabah telah diketahui dengan jelas memandangkan parti ini telah menjadi kerajaan sejak tahun 1994 lagi.
2. Rakyat Sabah pasti mengingat lagi bagaimana caranya UMNO BN di Sabah membentuk kerajaan selepas PRU 1994, iaitu melalui "rampasan kuasa" apabila tiga orang wakil rakyat PBS (yang ketika itu merupakan pembangkang selepas parti itu keluar dari BN sebelum pilihanraya 1990) keluar daripada PBS dan menyertai UMNO, iaitu Datuk Rubbin Balang, Datuk Lajim Hj. Ukin, dan Hj. Zaini Mat Isa (Adun dilantik).
3. Dalam konteks PBS, rakyat kini menilai bahawa PBS merupakan parti komponen BN yang kehilangan kepercayaan majoriti rakyat apabila parti politik tersebut keluar masuk BN yang membuktikan trend politik Sabah yang sentiasa berubah. Kepakaran lompatannya mencipta sejarah kerana menjadi peneraju dalam membawa sebuah parti keluar masuk BN.
4. Sebagai kerajaan, UMNO BN telah berpeluang menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka untuk mentadbir negeri ini. Malangnya, pentadbirannya dipenuhi dengan pelbagai dakwaan penyelewengan, rasuah, kronisme, urus tadbir yang lemah, dan pelbagai masalah politik, ekonomi, dan sosial ekoran daripada penguasaan Malaya ke atas Sabah.
5. Kerajaan UMNO kekal memerintah di Sabah kerana Projek IC Mahathir yang memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing yang telah memastikan undi mereka diberikan kepada UMNO BN. Kerajaan UMNO BN di Sabah pasca 1994 telah berjaya merosakkan dan memporakporandakan Sabah dalam banyak hal. Kerajaan UMNO ini akan tetap melaksanakan Agenda Malaya (yang berhasrat mengawal dan menguasai Sabah).
6. Untuk hal ini, rakyat Sabah perlu berfikir dengan matang sama ada terus mengundi UMNO BN dan mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan di Sabah pada PRU 2013 ini. Jika mereka mengundi UMNO BN, bererti mereka membenarkan dan mengizinkan kerosakan ke atas Sabah terus berlaku.
Perjuangan PKR / PR
PRU 2008 menunjukkan era bermulanya sistem dua parti di Malaysia, dengan wujudnya gabungan parti Pakatan Rakyat sebagai lawan bagi BN. Walaupun PR telah menunjukkan kemampuannya di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Selangor sebagai kerajaan baru menggantikan BN, namun di Sabah, Pakatan Rakyat yang diterajui PKR masih gagal menawan hati rakyat keseluruhannya.
2. Dalam PRU 2013, ini PR dijangka akan bertanding di kesemua 60 kerusi DUN Sabah dan 25 kerusi Parlimen (seperti yang diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Keputusan ini menunjukkan minat dan keinginan yang begitu kuat (baca: ketamakan) PR ke atas Sabah.
3. Perjuangan Agenda Malaya merupakan teras perjuangan PKR / PR di Sabah. Walaupun pelbagai istilah digunakan untuk menawan hati rakyat Sabah, tetapi yang jelas parti ini akan meneruskan penguasaan Malaya ke atas Sabah.
Perjuangan Parti STAR
Parti STAR yang berdaftar di Sarawak telah secara rasminya membuka Sabah Chapter pada 6 Januari 2012. Parti STAR Sabah Chapter diterajui Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Bapa Pejuang Hak-hak Rakyat Sabah walaupun baru setahun lebih beroperasi telah mendapat sambutan di luar dugaan daripada rakyat Sabah apabila lebih 300,000 keahlian diterima.
2. Perjuangannya adalah untuk menuntut hak-hak Sabah seperti mana yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, cadangan Suruhanjaya Cobbold, cadangan Jawatankuasa IGC, selain menuntut 7 Agenda Borneo.
3. Parti STAR bekerjasama dengan USNO Baru membentuk Pakatan Borneo Bersatu (UBA). Parti STAR merupakan parti lokal yang bakal bertanding di kebanyakan kawasan DUN dan Parlimen yang boleh dimenangi.
Perjuangan Calon
Calon yang bertanding dalam PRU sebenarnya bertanding atas tiket parti tertentu ataupun Bebas. Sudah pasti dalam hal ini, perjuangan calon adalah berteraskan perjuangan parti. Rakyat akan memilih calon berdasarkan perjuangan parti, selain perjuangan calon itu sendiri mengikut konteks kawasan yang ditandinginya.
2. Pada masa yang sama kredibiliti, keupayaan, dan kebolehan calon dinilai oleh rakyat dari semua segi. Walaupun ada kelebihan wakil rakyat sedia ada, apabila dipilih semula mempertahankan kerusi itu, namun rakyat sudah mengetahui apa yang dilakukan oleh wakil rakyat tersebut sebelum ini. Dengan sendirinya, segala kelemahan mahupun kecemerlangan yang dilakukannya akan kelihatan dengan jelas. Segala penyelewengan, rasuah, ketirisan, urus tadbir yang lemah akan terbuka dan rakyat akan menilai wakli rakyat berkenaan.
3. Secara khusus di N5 Tandek dan P168 Kota Marudu, pelbagai isu yang terjadi seperti isu tanah, pembangunan, ketidakadilan, dan kelemahan yang berlaku akan dinilai dengan saksama oleh rakyat.
4. Harapan rakyat kepada calon baru yang berteraskan Agenda Borneo adalah amat tinggi untuk membawa perubahan seperti mana yang diperjuangkan oleh parti yang diwakilinya.
Manifesto Pilihan Raya
Perjuangan parti dan calon boleh dilihat dalam manifesto parti masing-masing.
Rumusan
Sesungguhnya, dalam PRU 2013 ini rakyat akan membuat pilihan. Daripada pemerhatian terhadap perkembangan politik semasa, pertandingan pelbagai penjuru akan berlaku di kebanyakan kawasan. Paling tidak, sekurang-kurangnya ada 3 penjuru akan bertanding, iaitu antara BN, PR, dan Star / UBA. Sekiranya, SAPP bersendirian tanpa bergabung dengan UBA, maka bertambah lagi pilihan rakyat semasa mengundi nanti. Rakyat perlu membuat pilihan dengan bijak.
PRU 2013 ini, pasti rancak dan sengit tentunya.
PRU 2013 ini, pasti rancak dan sengit tentunya.
No comments:
Post a Comment