Pendahuluan
“Sebenarnya, ramai orang tidak suka kepada BN, namun memandangkan pembangkang tidak satu hati untuk bertanding 1 lwn 1 dengan BN, maka rakyat terpaksa mengundi BN juga akhirnya.”
“Saya tidak suka BN, tetapi kerana tidak wujud pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang, saya tutup mata saja mengundi BN.”
“Kenapa pembangkang bersaing sesama sendiri dalam mendepani BN dalam PRU13 nanti? Pasti pembangkang kalah kerana tidak bersatu.”
Begitulah beberapa kenyataan yang saya ketahui daripada beberapa orang, baik secara bersemuka mahupun melalui forum di FB.
Dalam artikel saya yang berjudul, “Rekod Keputusan 1 lwn 1 dalam PRU12” yang saya terbitkan dalam FB, saya menyatakan analisis saya mengenai isu pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang. Post itu telah mendapat respons daripada pembaca yang amat menggalakkan.
Peringkat Parlimen
Dalam PRU12 pada 2008, 8 daripada 25 (32%) kerusi Parlimen di Sabah berlaku pertandingan 1 lawan 1 antara BN dan PKR / Bebas. Kerusi tersebut ialah P167 Kudat, P169 Kota Belud, P177 Beaufort, P178 Sipitang, P184 Libaran, P185 Batu Sapi, P188 Silam dan P189 Semporna. Didapati bahawa tiada satu pun daripada kerusi tersebut yang dimenangi oleh PKR / Bebas walaupun berlaku pertandingan 1 lwn 1 dengan BN. Semua kerusi tersebut dimenangi oleh BN. Jadi teori yang dijaja bahawa dalam PRU13 ini, hanya pertandingan 1 lwn 1 akan memberi kemenangan kepada pembangkang tidak boleh diterima dengan meyakinkan.
Peringkat DUN
Manakala, di peringkat DUN pula didapati bahawa daripada 60 kerusi yang dipertandingkan sebanyak 15 kerusi (25%) merupakan pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan PKR/DAP. Kerusi itu ialah N8 Usukan, N10 Sulaman, N11 Kiulu, N12 Karambunai, N15 Api-Api, N24 Membakut, N18 Petagas, N28 Sindumin, N30 Karanaan, N45 Elopura, N46 Tanjong Papat, N50 Lahad Datu, N51 Kunak, N52 Sulabayan, dan N55 Balung. Daripada 15 kerusi berkenaan, semua kerusi tersebut dimenangi oleh BN. Tiada satu pun rekod yang menunjukkan bahawa pembangkang boleh menang dengan adanya pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang. Melalui pertandingan 1 lwn 1, kita tidak dapat membuat kepastian dengan jaminan 100 peratus bahawa pembangkang boleh memenangi pertandingan tersebut. Yang nyata, semua kerusi sebelum ini yang ada pertandingan 1 lwn 1, dimenangi oleh BN.
Sesuai dengan amalan demokrasi, setiap individu yang layak boleh bertanding dalam pilihan raya. Antara kelayakan menjadi calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ialah:
a. Seorang warganegara dan bermastautin di dalam negeri di mana ia ingin bertanding.
b. Berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada Hari Penamaan Calon.
Manakala, seseorang itu hilang kelayakan sebagai calon seandainya:
1. Didapati atau disahkan sebagai orang yang tidak sempurna akal.
2. Seseorang bankrap yang belum dilepaskan.
3. Seseorang yang memegang “jawatan berpendapatan”.
4. Seseorang itu apabila telah dicalonkan untuk pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau menjadi Ejen Pilihan Raya kepada orang yang telah dicalonkan, dia telah gagal untuk mengemukakan penyata pendapatan perbelanjaan pilihan raya seperti yang dikehendaki oleh Undang-undang dalam masa dan cara yang dikehendaki.
5. Seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan (atau sebelum hari Malaysia, di dalam kawasan-kawasan Sabah atau Sarawak atau Singapura) dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2000.00 dan belum menerima pengampunan.
6. Didapati telah mendapat kewarganegaraan atau telah menggunakan hak kewarganegaraan negara asing atau telah membuat pengakuan taat setia kepada mana-mana negara asing.
7. Seseorang akan hilang kelayakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
(Sumber: Buku Panduan Calon, SPR 2012).
Berdasarkan kepada syarat tersebut, bermakna pertandingan pelbagai penjuru merupakan amalan demokrasi yang perlu dihormati. Amalan demokrasi ini tidak menyekat sesiapa pun untuk bertanding dalam pilihan raya.
Apabila seseorang itu mengatakan, “Saya tidak suka UMNO BN, tetapi kerana tidak wujud pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang, saya tutup mata saja mengundi BN,” sebenarnya tidak menghormati amalan demokrasi.
Orang yang termasuk dalam kategori ini terperangkap secara paksa dengan penjajahan minda. Mereka memaksa diri membuat pilihan terhadap sesuatu yang mereka tidak suka. Minda, jiwa, dan roh mereka terbelenggu. Rakyat Sabah seharusnya keluar daripada penjara minda dan emosi begini.
Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar, demikianlah wujudnya sindrom terjajah dalam minda rakyat Sabah seandainya menerima secara tidak adil ideologi politik yang tidak mereka senangi.
Sehubungan itu, dalam mengatasi masalah ini, setiap pengundi harus menetapkan pendirian di dalam hati masing-masing siapa yang hendak disokong dan diundi. Teliti perjuangan dan manifesto parti-parti yang bertanding. Teliti kredibiliti dan kemampuan calon serta perjuangan masing-masing. Kemudian, dengan pendirian yang teguh itu, berapa orang pun yang bertanding, kita sudah membuat pilihan dengan tepat.
Dalam konteks Sabah, rakyat Sabah perlu membuat pilihan yang tepat. Secara sedar, kita perlu membuat pilihan terbaik untuk menuntut hak Sabah dan rakyatnya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 - kerana kitalah yang patut membela hak kita yang selama ini tidak diperoleh.
No comments:
Post a Comment