Wednesday, March 20, 2013

i-TANDEK

Sesungguhnya, Wilayah Tandek memerlukan reformasi dari pelbagai segi khususnya dari segi politik, ekonomi, sosial, teknologi, akademik (PESTA), dan seumpamanya. Perubahan harus berlaku secara terancang, berfokus, dan dilaksanakan dengan penuh komitmen. 

2. Pada masa yang sama, perubahan perlu diurus dengan jelas dan meyakinkan. Hala Tuju Pembangunan Tandek harus dikenal pasti dan dirancang serta dilaksanakan. Sehubungan itu, Pengurusan Pembangunan untuk perubahan dan pembaharuan wajar diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif bersepadu demi masa depan rakyat yang lebih baik.

3. Untuk membolehkan Wilayah Tandek berdaya saing, maju, progresif, dan seimbang, rakyat Tandek tanpa mengira keturunan, bangsa, dan agama perlu berubah dari segi pemikiran, budaya kerja, etika, tindakan dan seumpamanya. Hanya dengan reformasi minda dan tindakan demikian, kita boleh melihat wajah Tandek yang baru.

4. Horizon  pemikiran kita harus berubah ke arah yang lebih baik setiap saat. Tindakan positif perlu dilakukan setiap masa. Semangat ingin berubah dan mengejar kebaikan wajar berada pada tempat yang tinggi dan sepatutnya. 

5. Saya tawarkan i-TANDEK kepada Rakyat Tandek pada keseluruhannya untuk membawa Tandek lebih maju dan berdaya saing di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi. Wilayah Tandek memerlukan gagasan yang jelas bertunjangkan nilai korporat yang mantap ini.

6. Dalam mendepani PRU 2013 ini, saya gagaskan i-TANDEK sebagai teras nilai strategik yang saya perjuangkan untuk membawa Wilayah Tandek berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan wilayah-wilayah yang lain.

Apakah itu i-TANDEK?
Ilustrasi: Gambar diambil dari Google.
Logo i-TANDEK  sedang diusahakan. 
i-TANDEK merupakan akronim bagi i (Insan, Intelektual, Ilmu, Inisiatif, Inovatif), Telus dan Tulus (Transparent), Amanah (Integrity), Nilai Tadbir yang Baik (Good Governance), Demokratik (Democratic), Efektif dan Efisen (Effective and Efficiency), dan Kebertanggungjawaban (Responsibilities). 

Secara sepintas lalu, saya kemukakan penjelasan ringkas mengenai akronim ini seperti berikut:

(Insan, Intelektual, Ilmu, Inisiatif, Inovasi)
Apabila kita menyebut "i" dengan sendiri kita ingat akan insan, intelektual, ilmu, inisiatif, inovasi, dan seumpamanya. I juga merujuk kepada "individu" - atau "saya" - yang menekankan kepentingan dan fungsi insan atau individu dalam setiap perkara. Ia bukan menekankan sikap individualistik tetapi sebaliknya menekankan  kebertanggungjawaban peribadi demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Dewasa ini, untuk kekal kompetetif dan progresif, rakyat Tandek memerlukan insan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang pelbagai dan berguna. Modal insan ini bukan sahaja mempunyai ilmu semata-mata, tetapi bijaksana dalam merancang dan melaksanakan setiap agenda untuk kepentingan bersama. Setiap rakyat adalah modal insan yang amat berharga. Insan itu sudah tentu mempunyai intelektual yang rasional, positif dan kreatif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan inovasi yang membanggakan. Dalam hubungan ini, peranan institusi pendidikan amat penting dalam membina modal insan yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, dan berakhlak mulia. 

T (Telus dan Tulus)
Tulus dan Telus bukan sahaja merujuk kepada nilai positif semata-mata, tetapi merujuk kepada orientasi tindakan (action-oriented). Kegagalan sesuatu program terjadi kerana mereka yang terlibat tidak telus dan tulus. Perkara-perkara yang negatif tidak diakui, malah disembunyikan dengan pelbagai helah. Akibatnya, apabila pemimpin dan rakyat tidak telus dan tulus maka berlakulah kehilangan keyakinan dan kepercayaan. Organisasi lumpuh kerana tidak dipercayai. Individu hilang wibawa kerana tidak dipercayai dan diyakini.

Dalam konteks pelaksanaan projek pembangunan, misalnya, ketelusan dan ketulusan adalah mustahak. Nilai projek perlu dinyatakan dengan telus. Projek pembangunan perlu dilaksanakan secara telus dan tulus. Untuk kekal berdaya maju, rakyat Tandek, khususnya, dan Sabah amnya harus bertindak berasaskan prinsip undang-undang. Keadilan dalam melaksanakan pembangunan harus menjadi keutamaan. Dalam hal ini, hati yang rela diperbaharui dan dimurnikan adalah amat penting kerana hati merupakan teras bagi nilai ketelusan dan ketulusan ini.

A (Amanah / Integrity)
Integriti adalah merujuk kepada kejujuran. Setiap insan perlu mendokong nilai amanah atau integriti ini kerana nilai inilah yang akan memastikan sesuatu peranan, fungsi, dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan dedikasi. Pelbagai penipuan, rasuah, dan penyelewengan terjadi kerana tiadanya sikap amanah atau integriti dalam diri seseorang insan. Sehubungan ini, dalam membawa Wilayah Tandek ke mercu kecemerlangan pembangunan, setiap pemimpin dalam masyarakat, daripada wakil rakyat, pemimpin komuniti, dan rakyat keseluruhannya hendaklah berpegang teguh kepada integriti.

N (Nilai Tadbir yang Baik /Good Governance)
Urus Tadbir yang Baik (Good Governance) perlu dilaksanakan oleh setiap organisasi dan institusi, khususnya yang terdapat di Wilayah Tandek. Pihak pelaksana dasar perlu melaksanakan pengurusan pentadbiran dengan cekap dan berkesan. Etika kerja dan budaya kerja yang berteraskan kecemerlangan dan hasil harus dititikberatkan oleh setiap pekerja awam. Sistem penyampaian harus diperkemaskan dan diperbaiki untuk membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan. Inilah yang akan dilaksanakan untuk membawa Tandek dan rakyatnya menikmati kehidupan yang lebih baik.

D (Demokratik)
Demokratik merupakan nilai penting dalam masyarakat yang menekankan toleransi dan kesaksamaan dan keadilan. Tindakan demokratik akan memberi ruang dan peluang kepada setiap orang untuk berubah dan mencapai kemakmuran tanpa sekatan. Sesungguhnya, masyarakat Tandek terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Untuk kekal harmoni, makmur, dan berdaya saing, masyarakat Tandek harus berpegang kepada prinsip demokratik yang memberi penekanan kepada merit dan usaha. Kecemerlangan bangsa dan wilayah Tandek bergantung kepada usaha berterusan dan bersepadu oleh pelbagai lapisan masyarakat. Peluang sama rata untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang lebih tinggi haruslah dijadikan keutamaan. Dalam hal ini, masa depan rakyat perlu dilindungi dan dibangunkan.

E (Efektif dan Efisien)
Keberkesanan dan kecekapan kerja dituntut oleh setiap masyarakat moden. Masa harus dijimatkan dalam pelaksanaan pelbagai urusan. Perkhidmatan kepada rakyat harus berada pada tahap yang cemerlang. Untuk memberi kepuasan kepada pelanggan, iaitu rakyat, perkhidmatan yang cekap dan berkesan diperlukan. Sehubungan itu, pembangunan komuniti perlu dilakukan dengan efektif dan efisien.  Justeru, kepantasan bertindak dan berdaya saing dalam mendepani perubahan harus disubur dan dimekarkan.

Kebertanggungjawaban 
Kebertanggungjawaban adalah perkara yang signifikan dan relevan bagi individu dan organisasi. Pemimpin perlu bertanggungjawab dalam setiap perkataan mahupun tindakan. Kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik apabila semua pihak bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja dengan penuh dedikasi. Misalnya, jika berlaku rasuah atau penyelewengan, pelaku mesti bertanggungjawab. Kebertanggungjawaban itu harus menjadi nadi kepimpinan pemimpin.

7. Sesungguhnya, i-TANDEK merupakan tujuh teras nilai korporat yang akan digunakan untuk mereformasikan Tandek. Program i-TANDEK akan dirangka kerana program ini akan melengkapkan generasi Tandek seterusnya untuk berfikir dan bertindak dengan penuh wibawa dalam pelbagai wadah. Pelbagai projek boleh dirangka selaras dengan tujuh teras nilai pengupayaan insan ini.

Rumusan
Kesimpulannya, i-TANDEK bukan sahaja merujuk kepada akronim nilai, tetapi juga merujuk program bina upaya insan. Dalam hubungan ini, Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) berteraskan moral dan nilai yang tinggi amat diperlukan oleh Wilayah Tandek. i-TANDEK adalah salah satu inisiatif yang akan saya laksanakan kelak.

Dalam hal ini penubuhan institusi dan akademi bina upaya masyarakat Tandek akan dilakukan. Golongan yang lemah dibantu dan diupayakan melalui pelbagai program. Pelan Tindakan untuk Tandek yang Membangun sedang dan akan dirangka dan dilaksanakan. Beri peluang kepada saya untuk merealisasikan impian menjadi kenyataan.

Di depan kita, masa depan yang lebih cerah sedang menanti. Mari bersama saya dalam merealisasikannya. Ingat i-TANDEK ingat rakyat, ingat saya kerana i-TANDEK diilhamkan oleh rakyat, dari rakyat, dan untuk rakyat.

No comments:

Post a Comment