Friday, March 15, 2013

Satu Negara Dua Sistem (One Country Two System)



Sesungguhnya, perjuangan rakyat Sabah adalah untuk mendapatkan Satu Negara Dua Sistem atau lebih popular dikenali sebagai One Country Two System. Satu Negara Dua Sistem merujuk pada autonomi sepenuhnya ke atas Sabah dan bukan untuk menjadikan Sabah terpisah daripada Malaysia. Pemisahan Sabah daripada Malaysia tidak mungkin berlaku.

Ilustrasi: Sabah tidak merdeka daripada Malaya
2. Hal ini demikian kerana ketidakadilan terhadap Sabah telah berlaku sekian lama melalui pelbagai usaha politik yang dilakukan oleh pemerintah Malaya dengan berselindung di sebalik Kerajaan Persekutuan Malaysia. Sabah dan rakyatnya diperlakukan secara tidak adil, khususnya dari segi politik, ekonomi, dan sosial.

3. Dari segi politik, misalnya, kezaliman ke atas Sabah dan Sarawak berlaku apabila Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya dari sebuah negara kepada sebuah negeri. Ini menimbulkan akibat yang amat buruk kerana berlaku kawalan ke atas Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak, walaupun merdeka daripada British, tetapi tidak merdeka daripada kuasa Malaya.

4. Dari segi ekonomi pula, kezaliman dan penindasan ke atas Sabah dan Sarawak berlaku kerana agihan ekonomi yang tidak adil dan seimbang berbanding dengan negeri-negeri Malaya. Sungguh pun Sabah kaya-raya dari segi hasil alamnya, tetapi rakyatnya miskin kerana segala kekayaan Sabah dikawal dan dikaut oleh pemerintah Malaya dan kekayaan itu dibawa ke Malaya atas nama Persekutuan Malaysia. Dalam kajian Bank Dunia, Sabah didapati negeri miskin di Malaysia.

Ilustrasi: Dr. M akui kerakyatan diberi di Sabah
5. Manakala dari segi sosial pula, penindasan ke atas Sabah berlaku apabila manipulasi kependudukan dilakukan dengan penuh licik dan tidak patriotik apabila kewarganegaraan Malaysia diberi kepada pendatang asing tanpa memenuhi syarat. Ini jelas berlaku dalam Projek IC Mahathir yang melibatkan ratusan ribu pendatang asing – seperti mana yang diakui semasa pendengaran awam dalam RCI itu sendiri. Semua ini dilakukan untuk membolehkan UMNO BN kekal memerintah di Sabah. Kini, di Sabah penduduk asing (seramai 1.72 juta orang ) melebihi penduduk tempatan (seramai 1.5 juta orang).

6. Sesungguhnya, kita tidak boleh mengubah masa lalu yang telah kita tinggalkan ekoran daripada ketidakadilan dan kezaliman politik, ekonomi, dan sosial yang dilakukan ke atas Sabah. Kita tidak boleh mengubah sejarah. Namun, apa yang boleh kita ubah adalah sistem pemerintahan yang dilaksanakan di Sabah. Sistem pemerintahan inilah yang perlu diubah melalui pelaksanaan Satu Negara Dua Sistem.

7. Secara realitinya, selepas berlakunya penurunan taraf Sabah daripada negara kepada negeri, Sabah tidak mungkin lagi menjadi negara, seperti mana yang kita fahami tentang konsep negara itu sendiri. Sabah boleh menjadi negara apabila ia keluar dari Malaysia – dan hal ini tidak mungkin berlaku kerana dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 dinyatakan dengan jelas bahawa Sabah tidak boleh keluar daripada gabungan Persekutuan Malaysia.

8. Malaysia akan kekal sebagai kesatuan (unitary) dan bukan persekutuan (federation) seperti mana asalnya kerana sudah diubah oleh pemerintah Malaya yang zalim. Ini bererti Malaysia akan kekal sebagai gabungan negeri.

9. Dalam konteks ini, Sabah akan kekal sebagai “negeri” dan bukannya memaksa untuk mendapatkan status "negara" itu. Apa yang boleh dilakukan ialah pelaksanaan “satu negara dua sistem (one country two system)” seperti yang saya nyatakan di atas. 

10. Maksudnya, kita ada satu negara saja, iaitu negara Malaysia, tetapi Sabah melaksanakan sistem pemerintahannya sendiri mengikut acuan kerajaan Sabah. Contoh negara yang mengamalkan sistem ini ialah Hong Kong, Taiwan, dan Macau di China; United Kingdom (UK), dan USA.

11. Secara mudahnya, konsep “Satu Negara Dua Sistem” ini merujuk pada:
  1. Hanya ada satu negara sahaja, iaitu negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
  2. Sabah dan Sarawak mempunyai sistem pemerintahannya sendiri tanpa kawalan daripada Malaya.  Ini bererti Sabah dan Sarawak mempunyai sistem politik, ekonomi dan kewangan, perundangan, keselamatan dalam negeri, kerakyatan dan kewarganegaraan, serta mempunyai hak tertentu dalam urusan luar negeri.
  3. Negeri Sabah, Sarawak, dan Malaya adalah sama taraf dan mempunyai status sebagai rakan kongsa sama taraf dalam Persekutuan Malaysia.
  4. Perlembagaan Malaya dipakai di Semenanjung Malaysia; sementara Perlembagaan di Sabah adalah berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20.

12. Ini bererti kemerdekaan Sabah perlu dipulihkan. Rakyat Sabah harus benar-benar menikmati kemerdekaannya sendiri. Memandangkan Sabah telah merdeka daripada penjajahan British, maka Kemerdekaan Sabah perlu dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya.

13. Perjuangan ini dilakukan oleh rakyat Sabah kerana pemerintah UMNO (BN) yang kini menguasai Putrajaya memang tidak berhasrat untuk memberi sebarang autonomi kepada Sabah.

14. Sementara PKR (PR) pula berjanji memberikan autonomi – tetapi tidak jelas apa yang diperkatakan dengan konsep autonomi – dan hal ini tidak boleh dipercayai dan diyakini – kerana ia bercanggah dengan apa yang mereka sendiri perkatakan apabila dalam Buku Jingga Sabah (Perkara 2) dengan jelas menyatakan:  Menjunjung kedaulatan Sabah sebagai negeri yang sah di dalam Persekutuan Malaysia dengan mematikan sebarang tuntutan bertindih ke atasnya termasuk menghentikan bayaran kepada negara asing yang membuat tuntutan bertindih ke atas Sabah.

15. Marilah kita menggunakan kuasa undi kita untuk melihat hak kita dapat diperoleh. 

Thursday, March 14, 2013

Ketidakadilan Terancang

Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948 selepas Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada tahun 1946 gagal diteruskan ekoran daripada penentangan masyarakat pelbagai kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

Ilustrasi: Demi generasi  
2. Sebelum wujud Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, sebenarnya sudah wujud wilayah atau negeri pentadbiran British yang berasingan antara satu kawasan dengan kawasan yang lain di wilayah itu. Persekutuan Tanah Melayu atau dikenali juga sebagai Malaya adalah terdiri daripada gabungan 11 negeri, iaitu Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Selangor, Johor, Perak, dan Negeri Sembilan. Semua negeri ini berada di bawah jajahan British. 

3. Semua negeri yang berada di bawah Persekutuan Tanah Melayu serentak mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Pada tarikh inilah Hari Kemerdekaan Malaya diraikan.

4. Salah satu lagi negeri jajahan British di rantau ini ialah Singapura. Singapura tidak termasuk dalam Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk pada tahun 1948. Singapura merdeka daripada British pada 3 Jun 1959. 

5. Di wilayah Borneo, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) juga diberikan kemerdekaan yang berasingan. Walaupun Sarawak dan Sabah ini berada di bawah jajahan British, namun kuasa penjajah British di Sarawak dan Sabah tidak sama dengan kuasa British di Malaya. Sarawak di bawah kuasa Rajah Brooke; sementara Sabah pula berada di bawah Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU).

6. Sarawak mendapat kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963. Setelah mendapat kemerdekaan, status Sarawak ialah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

7. Sabah pula mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963. Seperti Sarawak, status Sabah adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

8. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya yang pertama mengambil inisiatif yang licik dan bijak dengan mengusulkan pembentukan persekutuan negara yang baru dengan nama Persekutuan Malaysia yang menggabungkan negara Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah.

9. Malaya sudah merdeka terlebih dahulu ketika usul itu dikemukakan kepada pemimpin tempatan Sabah dan Sarawak sedangkan kedua-dua wilayah Borneo itu belum lagi merdeka. Salah satu syarat utama yang dikemukakan pemimpin tempatan pada waktu itu, misalnya oleh Tun Fuad Stephen dari Sabah dan Stephen Kalong Ningkan dari Sarawak ialah Sarawak dan Sabah perlu merdeka terlebih dahulu daripada British sebelum bersama-sama Malaya dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia.

10. Dengan jaminan yang diberikan oleh Tunku Abdul Rahman bahawa status Sabah dan Sarawak, serta Singapura adalah rakan kongsi sama taraf dan sama rata dengan Malaya serta persetujuan terhadap Memorandum 20 Perkara bagi Sabah dan Memorandum 18 Perkara bagi Sarawak oleh semua pihak yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963, maka akhirnya Persekutuan Malaysia dibentuk.

11. Pada ketika Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, status Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah adalah negara yang berasingan, yang masing-masing merdeka dan berdaulat. Ini bererti Persekutuan Malaysia terdiri daripada gabungan negara yang berdaulat dan bukannya terdiri daripada gabungan negeri.

12. Singapura telah keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Apabila Singapura keluar dari gabungan Persekutuan Malaysia, maka Persekutuan Malaysia akhirnya hanya terdiri daripada gabungan tiga negara yang merdeka dan berdaulat, iaitu Negara Malaya, Negara Sarawak, dan Negara Sabah.

13. Ketidakadilan yang paling besar dilakukan ke atas Sabah dan Sarawak oleh pemerintah Malaya adalah apabila Sabah dan Sarawak yang merupakan sebuah negara diturunkan tarafnya daripada sebuah negara kepada sebuah negeri, iaitu sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya. Tindakan ini merupakan tindakan terancang yang dilakukan oleh pemerintah Malaya yang berselindung di sebalik nama Kerajaan Persekutuan Malaysia. Kerajaan Persekutuan Malaysia itu sebenarnya hanya merupakan Kerajaan Persekutuan Malaya. Inilah tindakan yang paling zalim dan menindas dalam sejarah politik di negara ini.  Inilah yang  disebut Ketidakadilan Terancang yang membawa implikasi yang amat buruk kepada Sabah dan Sarawak. Hal ini perlu ditentang habis-habisan oleh setiap rakyat yang berada di Sabah dan Sarawak, khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

14. Penurunan taraf ini dilakukan secara perlahan-lahan oleh pemerintah Malaya ke atas Sabah dan Sarawak yang tidak  berdaya kerana ketidaan dan kehilangan kuasa apabila 75% daripada 222 kerusi Parlimen berada di Malaya dan 75% daripada keseluruhan anggota Kabinet Persekutuan dikuasai oleh orang Malaya. 

15. Rakyat Borneo harus memupuk dan menyuburkan semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi. Perjuangan ini tetap diteruskan walau apa pun keputusan PRU 2013. Hal ini demikian kerana perjuangan ini merupakan perjuangan menuntut apa yang sepatutnya diterima oleh rakyat dengan adil. Status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama taraf dan negara harus dipulihkan; haknya dipulangkan; dan negara ini diperbaharui.

16. Semua agama, baik Islam, Kristian, Buddha, mahupun Hindu mengajar tentang keadilan. Islam merupakan agama rasmi di Malaysia. Di sinilah kita ingin melihat penganut pelbagai agama, di Malaysia menegakkan keadilan untuk Sabah.

17. Kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama, gunakanlah kuasa undi yang diamalkan 5 tahun sekali untuk mendapatkan hak kita. Mengundilah dengan bijak demi generasi kini dan akan datang.

Wednesday, March 13, 2013

Pilihan Rakyat Sabah

Politik Sabah unik dan istimewa. Sesungguhnya, rakyat membuat pilihan bagi menubuhkan kerajaan baru. Sejak Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, sudah sebelas (11) kali PRU negeri diadakan, iaitu pada tahun 1963, 1967, 1976, 1981,  1985, 1986, 1990, 1994, 1999, 2004, dan 2008.

2. Dalam tempoh 50 tahun (1963-2013), iaitu dalam 11 kali PRU negeri diadakan sudah empat kerajaan yang memerintah Sabah, iaitu Perikatan Sabah, Berjaya, PBS, dan UMNO / BN. Situasi politik ini berbeza di peringkat kerajaan pusat kerana peralihan kerajaan belum terjadi apabila gabungan parti Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah sejak 1957 selepas 12 kali PRU Parlimen diadakan.

3. Secara khususnya, Kerajaan Sabah yang dibentuk adalah seperti berikut: 

  1. Perikatan Sabah (yang merupakan gabungan USNO, UPKO, dan SIC) telah menubuhkan kerajaan dari tahun 1963 hingga 1975 (dalam tempoh 12 tahun – dalam 2 PRU yang diadakan, iaitu pada tahun 1963 dan 1967) yang menyaksikan Tun Fuad Stephen sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.
  2. Parti Berjaya pula menubuhkan kerajaan dari tahun 1976 hingga 1985 (dalam tempoh 9 tahun – dalam 2 PRU, iaitu pada tahun 1976 dan 1981) selepas mengalahkan Parti Perikatan Sabah - menyaksikan Datuk Harris Salleh sebagai Ketua Menteri. 
  3. Selepas mengalahkan Berjaya, PBS yang baru ditubuhkan dalam tempoh 2 minggu berjaya menubuhkan kerajaan baru apabila menang majoriti mudah dalam PRU pada tahun 1985. Kerajaan PBS memerintah Sabah dari tahun 1985 hingga 1994 (dalam tempoh 9 tahun – dalam 4 PRU, iaitu PRU 1985, 1986, 1990, dan 1994).
  4. Manakala UMNO BN pula menubuhkan kerajaan pada 17 Mac 1994 apabila 2 orang wakil rakyat daripada PBS pada waktu itu, iaitu Datuk Rubin Balang dan Datuk Lajim Hj. Ukin belot dan menyertai BN selepas beberapa insiden buruk dalam sejarah politik Sabah apabila ketua parti yang memenangi pilihan raya pada ketika itu, iaitu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dihalang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 1994. Dengan manipulasi kuasa dan pelbagai tindakan buruk yang dihalalkan (termasuk Projek IC) UMNO BN memerintah Sabah sehingga kini, sudah menjangkau tempoh 19 tahun (dalam 3 PRU, 1999, 2004, 2008) yang menyaksikan Ketua Menteri Tun Sakaran Dandai sebagai ketua menteri UMNO BN yang pertama.

4. Politik Sabah sememangnya menarik perhatian. Rumusannya mudah: Parti yang memerintah akan ditukar oleh rakyat apabila tiba masanya. Dari segi sejarah, parti yang memerintah Sabah akan ditukar dalam tempoh 3 kali PRU diadakan (secara purata). Berdasarkan pengalaman lepas, pertukaran kerajaan boleh diramal dengan jelas dan meyakinkan.

6. Persoalannya, adakah PRU 2013 ini akan menyaksikan kerajaan baru akan dibentuk di Sabah? Sejarah tidak pernah berbohong. PRU 2013 merupakan PRU yang paling sengit dalam sejarah PRU di Sabah. Pelbagai cabaran akan berlaku. Rakyat dahagakan pemulihan, pemulangan hak, pembaharuan ke atas Sabah.

7. Kerajaan UMNO BN yang memerintah dengan licik dan penuh dengan penipuan yang dihalalkan telah melalui 3 kali PRU. Sudah tentu berdasarkan pengalaman lepas, tiada sebab kenapa rakyat tidak menukar kerajaan. 

8. Secara peribadi, selepas meneliti perkembangan politik mutakhir, saya meyakini bahawa kerajaan baru di Sabah akan berjaya dibentuk pada tahun 2013 ini. Adakah Parti STAR / UBA yang dipimpin oleh Y.Bhg. Datuk Dr. Jeffrey Kitingan akan menubuhkan kerajaan baru? Landasan ke arah itu sedang dibina dengan penuh yakin melalui perjuangan murni yang disokong majoriti rakyat Sabah.   

9. Dalam semua hal ini, kita serahkan kepada rakyat Sabah untuk membuat pilihan sebaik yang mungkin. Pengundi di Sabah sudah matang. 

10. Marilah kita sama-sama menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kita masing-masing dalam memilih kerajaan baru di Sabah. 

Tuesday, March 12, 2013

Kebimbangan Bangsa Kimaragang

Kimaragang merupakan bangsa yang sedang gusar menemui pengesahan identiti diri. Kebimbangan dan kekesalan telah bertapak sekian lama apabila nama bangsa ini wujud, namun tidak direkodkan di Jabatan Pendaftaran Negara bagi setiap individu yang berbangsa Kimaragang apabila mendaftarkan kelahiran.

2. Saya, saudara, dan anak-anak saya tidak terkecuali daripada masalah ini. Saya Kimaragang tulen. Kedua-dua ibu bapa saya merupakan Kimaragang tulen. Namun, identiti bangsa saya yang berdaftar di Jabatan Pendafataran Negara ialah Kadazan. Bagaimana ini terjadi? Jawapannya mudah kerana ia ada kaitan dengan inisiatif politik yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Fuad Stephen, Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Ilustrasi: Gambar diambil dari Google
3. Tun Fuad Stephen telah mengambil tindakan politik yang drastik dengan memperkenalkan identiti baru bagi semua bangsa Momogun dengan nama baru iaitu Kadazan. Nama inilah yang diterima dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai nama bangsa yang baru yang merangkumi semua etnik Momogun.

4. Namun, usaha positif dan iltizam politik Tun Fuad Stepehen ini tidak mendapat sokongan padu daripada semua etnik berketurunan Momogun. Usaha pengekalan identiti etnik masing-masing diteruskan. Nama Dusun dan Kadazan ditonjolkan. Untuk mencari jalan penyatuan dan perpaduan bangsa Momogun, inisiatif baru dilakukan dengan melakukan penggabungan nama Kadazan dan Dusun menjadi Kadazan Dusun. Gabungan nama ini pun sebenarnya tidak sesuai dan tidak benar.

5. Identiti bangsa ini seharusnya tidak dicampur aduk. Identiti bangsa tidak seharusnya diganggu untuk bertumbuh dan berkembang dengan sempurna. Ia harus dibiarkan dengan penuh wibawa. Pengembangannya pula perlu dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan penuh komitmen.

6. Pengacauan politik terhadap identiti bangsa menimbulkan pelbagai implikasi buruk yang akan menjejaskan keutuhan bangsa.Inilah yang terjadi kepada bangsa Kimaragang. Wilayah Kimaragang pun tidak berupaya ditonjolkan kerana bangsa ini tidak dikenali.

7. Apabila saya mendaftarkan anak-anak saya, nama bangsanya bukan Kimaragang, tetapi Kadazan walaupun saya meminta supaya nama bangsa itu ditukar sesuai dengan identiti bangsa saya yang sebenar dan bukannya bangsa rekaan. Namun usaha itu gagal. Alasannya kerana rekod bangsa saya ialah Kadazan dan rekod itu tidak boleh diubah atau ditukar.

8. Saya tidak pasti sama ada semua individu Kimaragang yang tinggal di Wilayah Kimaragang ini didaftarkan atas bangsa Kadazan ataupun sebaliknya. Namun, saya percaya majoriti orang Kimaragang, bangsanya yang direkodkan ialah Kadazan ataupun Dusun.

9. Usaha pembetulan nama bangsa ini sedang dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan (khususnya oleh Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu dan Pertubuhan Kimaragang Malaysia, selain individu-individu tertentu). Secara peribadi saya sudah lama membangkitkan isu ini dan berusaha ke arah itu.
Ilustrasi: Gambar diambil dari Google

10. Usaha untuk mendaftarkan nama bangsa Kimaragang di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai satu bangsa yang wujud perlu disegerakan seperti mana yang telah dinyatakan oleh Presiden Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu, Sdr. Baintin Adun. Demikian juga dengan mana-mana orang Kimaragang yang berdaftar sebagai bangsa Kadazan dan Dusun perlu ditukar ke bangsa Kimaragang.

11. Saya menyokong inisiatif ini dan inilah yang saya perjuangkan sejak sekian lama. Justeru, mari semua Kimaragang, kita bersatu dalam hal ini.

Sunday, March 10, 2013

Ideologi dan Perjuangan

Setiap parti politik mempunyai ideologi masing-masing. Ideologi ini diketengahkan dan ditawarkan kepada rakyat untuk dinilai dengan harapan mendapat sokongan. Rakyat seharusnya mengetahui dengan jelas ideologi parti yang disokongnya atau yang bakal disokongnya. Hal ini demikian kerana, ideologi itu berfungsi sebagai pemersatu tindakan dan hala tuju pembangunan fizikal dan pembangunan insan yang lebih baik.

2. Setiap ideologi ada perjuangannya. Perjuangan itulah yang akan menentukan sama ada ideologi itu tercapai ataupun sebaliknya. Rakyat Sabah seharusnya mengetahui dengan jelas perjuangan mereka kerana hanya dengan perjuangan itulah setiap langkah dan tindakan akan dapat digerakkan dengan baik dan berkesan.
3. Perjuangan yang murni dan berguna mestilah berasaskan fakta dan kebenaran.  Dalam konteks perjuangan politik, fakta dan kebenaran itu pula seharusnya berteraskan kepada sejarah. Sesuatu fakta sejarah wajib didedahkan dan bukannya disembunyikan. Malangnya, rakyat Sabah tidak mendapat ilmu sejarah sepenuhnya. Hal ini berlaku kerana banyak fakta sejarah Sabah yang tidak didedahkan. Pada masa yang sama, sejarah Malaysia yang ditulis pula tidak menyeluruh dan ada pula yang sengaja direka untuk membenam kebenaran mengenai Sabah.

Ilustrasi: Gambar diambil dari Google
4. Rakyat Sabah perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapat hak mereka. Salah satu perjuangan yang perlu digerakkan secara menyeluruh ialah pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20. Inilah perjuangan yang tulen untuk Sabah kerana selama ini ada banyak perkara yang tidak dipatuhi. Akibatnya, dari segi politik dan ekonomi, rakyat Sabah ditindas dan dizalimi. Sehubungan itu, perjuangan menuntut hak ini tidak harus berhenti. Pemulihan, pemulangan hak, dan pembaharuan Sabah perlu dilakukan. Kemerdekaan Sabah seharusnya dinikmati oleh rakyatnya. Patriotisme dan nasionalisme Sabah dan rakyatnya harus diperkukuhkan.

5. Rakyat Sabah dan Malaysia seluruhnya, seharusnya matang dalam membuat penilaian dengan sepenuhnya. Penilaian yang benar dan tepat hanya boleh dilakukan seandainya maklumat yang diperoleh mencukupi. Dalam konteks PRU13 ini, peluang terbuka untuk seluruh rakyat Sabah telah terbuka untuk menuntut hak mereka kerana Sabah dan Sarawak benar-benar diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru di Putrajaya.

6. Sememangnya, setiap parti politik yang berdaftar boleh bertanding dalam PRU. Itulah sebabnya, sebelum mengundi, para pemimpin parti dan penyokongnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat sokongan daripada rakyat dengan harapan rakyat akan mengundi parti masing-masing. Tentu saja pelbagai cara digunakan untuk menarik sokongan pengundi. Parti-parti politik yang bertanding akan bersaing antara satu sama lain untuk mendapat sokongan.


7. Dalam PRU13 ini, seharusnya rakyat Sabah mengambil peluang ini untuk menyokong perjuangan menuntut hak mereka melalui undi. Undilah yang menentukan suara mereka. Undilah yang menentukan sama ada rakyat Sabah mendapat hak mereka atau sebaliknya.

8. Dalam hubungan ini, rakyat Sabah wajar dan perlu berjuang untuk mencapai Agenda Borneo yang diperjuangkan oleh parti-parti lokal di Sabah, khususnya parti STAR demi kebaikan Sabah dan rakyatnya. 

Saturday, March 9, 2013

Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar


Pendahuluan

“Sebenarnya, ramai orang tidak suka kepada BN, namun memandangkan pembangkang tidak satu hati untuk bertanding 1 lwn 1 dengan BN, maka rakyat terpaksa mengundi BN juga akhirnya.”

“Saya tidak suka BN, tetapi kerana tidak wujud pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang, saya tutup mata saja mengundi BN.”

“Kenapa pembangkang bersaing sesama sendiri dalam mendepani BN dalam PRU13 nanti? Pasti pembangkang kalah kerana tidak bersatu.”

Begitulah beberapa kenyataan yang saya ketahui daripada beberapa orang, baik secara bersemuka mahupun melalui forum di FB.

Dalam artikel saya yang berjudul, “Rekod Keputusan 1 lwn 1 dalam PRU12” yang saya terbitkan dalam FB, saya menyatakan analisis saya mengenai isu pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang. Post itu telah mendapat respons daripada pembaca yang amat menggalakkan.  

Peringkat Parlimen

Dalam PRU12 pada 2008, 8 daripada 25 (32%) kerusi Parlimen di Sabah berlaku pertandingan 1 lawan 1 antara BN dan PKR / Bebas. Kerusi tersebut ialah P167 Kudat, P169 Kota Belud, P177 Beaufort, P178 Sipitang, P184 Libaran, P185 Batu Sapi, P188 Silam dan P189 Semporna. Didapati bahawa tiada satu pun daripada kerusi tersebut yang dimenangi oleh PKR / Bebas walaupun berlaku pertandingan 1 lwn 1 dengan BN. Semua kerusi tersebut dimenangi oleh BN. Jadi teori yang dijaja bahawa dalam PRU13 ini, hanya pertandingan 1 lwn 1 akan memberi kemenangan kepada pembangkang tidak boleh diterima dengan meyakinkan. 


Peringkat DUN
Manakala, di peringkat DUN pula didapati bahawa daripada 60 kerusi yang dipertandingkan sebanyak 15 kerusi (25%) merupakan pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan PKR/DAP. Kerusi itu ialah N8 Usukan, N10 Sulaman, N11 Kiulu, N12 Karambunai, N15 Api-Api, N24 Membakut, N18 Petagas, N28 Sindumin, N30 Karanaan, N45 Elopura, N46 Tanjong Papat, N50 Lahad Datu, N51 Kunak, N52 Sulabayan, dan N55 Balung.  Daripada 15 kerusi berkenaan, semua kerusi tersebut dimenangi oleh BN. Tiada satu pun rekod yang menunjukkan bahawa pembangkang boleh menang dengan adanya pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang. Melalui pertandingan 1 lwn 1, kita tidak dapat membuat kepastian dengan jaminan 100 peratus bahawa pembangkang boleh memenangi pertandingan tersebut. Yang nyata, semua kerusi sebelum ini yang ada pertandingan 1 lwn 1, dimenangi oleh BN.

Sesuai dengan amalan demokrasi, setiap individu yang layak boleh bertanding dalam pilihan raya. Antara kelayakan menjadi calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ialah:

a. Seorang warganegara dan bermastautin di dalam negeri di mana ia ingin bertanding.
b. Berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada Hari Penamaan Calon.

Manakala, seseorang itu hilang kelayakan sebagai calon seandainya:
1. Didapati atau disahkan sebagai orang yang tidak sempurna akal.
2. Seseorang bankrap yang belum dilepaskan.
3. Seseorang yang memegang “jawatan berpendapatan”.
4. Seseorang itu apabila telah dicalonkan untuk pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau menjadi Ejen Pilihan Raya kepada orang yang telah dicalonkan, dia telah gagal untuk mengemukakan penyata pendapatan perbelanjaan pilihan raya seperti yang dikehendaki oleh Undang-undang dalam masa dan cara yang dikehendaki.
5. Seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan (atau sebelum hari Malaysia, di dalam kawasan-kawasan Sabah atau Sarawak atau Singapura) dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2000.00 dan belum menerima pengampunan.
6. Didapati telah mendapat kewarganegaraan atau telah menggunakan hak kewarganegaraan negara asing atau telah membuat pengakuan taat setia kepada mana-mana negara asing.
7. Seseorang akan hilang kelayakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
(Sumber: Buku Panduan Calon, SPR 2012).

Berdasarkan kepada syarat tersebut, bermakna pertandingan pelbagai penjuru merupakan amalan demokrasi yang perlu dihormati. Amalan demokrasi ini tidak menyekat sesiapa pun untuk bertanding dalam pilihan raya.

Apabila seseorang itu mengatakan, “Saya tidak suka UMNO BN, tetapi kerana tidak wujud pertandingan 1 lwn 1 antara BN dengan pembangkang, saya tutup mata saja mengundi BN,” sebenarnya tidak menghormati amalan demokrasi. 

Orang yang termasuk dalam kategori ini terperangkap secara paksa dengan penjajahan minda. Mereka memaksa diri membuat pilihan terhadap sesuatu yang mereka tidak suka. Minda, jiwa, dan roh mereka terbelenggu. Rakyat Sabah seharusnya keluar daripada penjara minda dan emosi begini.

Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar, demikianlah wujudnya sindrom terjajah dalam minda rakyat Sabah seandainya menerima secara tidak adil ideologi politik yang tidak mereka senangi.

Sehubungan itu, dalam mengatasi masalah ini, setiap pengundi harus menetapkan pendirian di dalam hati masing-masing siapa yang hendak disokong dan diundi. Teliti perjuangan dan manifesto parti-parti yang bertanding. Teliti kredibiliti dan kemampuan calon serta perjuangan masing-masing. Kemudian, dengan pendirian yang teguh itu, berapa orang pun yang bertanding, kita sudah membuat pilihan dengan tepat. 

Dalam konteks Sabah, rakyat Sabah perlu membuat pilihan yang tepat. Secara sedar, kita perlu membuat pilihan terbaik untuk menuntut hak Sabah dan rakyatnya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 - kerana kitalah yang patut membela hak kita yang selama ini tidak diperoleh.

9 Mac 2013: Care Taker Government?

Dalam PRU 12, Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008. Penamaan calon dibuat pada 24 Februari 2008, iaitu sebelas hari selepas dibubarkan. Sementara itu, hari pengundian pula dibuat pada 8 Mac 2008, iaitu 12 hari selepas penamaan calon.

2. Keputusan PRU12 masih memihak kepada Barisan Nasional kerana menang di peringkat Parlimen. Namun, tsunami politik berlaku apabila di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Selangor di tangan gabungan parti Pakatan Rakyat.


3. PRU12 menyaksikan bermulanya era sistem 2 parti di Malaysia dengan wujudnya gabungan BN di satu pihak dan Pakatan Rakyat di pihak yang lain.


4. Ini bererti 8 Mac 2013 merupakan tarikh terakhir tempoh lima tahun Parlimen kerana sudah mencukupi tempoh lima tahun sebaik sahaja pemilihan kerajaan baru bermula pada 8 Mac 2008. Secara roh dan moralnya, kerajaan yang ada pada masa ini (9 Mac 2013), sebenarnya sudah tamat tempoh. Hanya kerana undang-undang membenarkannya sehingga 28 April 2013, maka kerajaan yang ada sekarang masih sah. Tetapi rakyat sebenarnya sudah menolak. Kerajaan sekarang seharusnya sudah berakhir. Pemerintah Negara sebenarnya kehilangan roh dan maruah apabila membiarkan Parlimen masih belum bubar.


5. Belum pernah terjadi dalam sejarah PRU yang lalu, sejak 12 kali diadakan, tempoh Parlimen bubar benar-benar genap lima tahun.



Ilustrasi: Diambil dari Google
6. Sebenarnya, bermula pada hari ini (9 Mac 2013) dan bukannya 28 April 2013, tempoh 5 tahun itu berakhir. Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang telah mencipta sejarah menggunakan lima tahun tempoh Parlimen. Najib, sebagai Perdana Menteri gagal menunaikan kuasa Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh 5 tahun.

7. Sehingga kini (9 Mac 2013) Parlimen dan DUN masih belum dibubarkan. Parlimen akan bubar secara automatik pada 28 April 2013. Dari segi undang-undang, ini bererti tempoh sah Parlimen adalah pada 28 April 2013.


8. Bermula pada 29 April 2013, kerajaan sedia ada tidak lagi mempunyai sebarang kuasa. Saya percaya dalam tempoh 9 Mac sehingga 28 April 2013, Parlimen mesti dibubarkan.


9. Persoalannya, bilakah sebenarnya care taker government (kerajaan sementara) itu bermula, sama ada pada 9 Mac 2013 atau pada 29 April 2013? Sesungguhnya, pihak undang-undang (Peguam Negara) mempunyai jawapan kepada persoalan ini. Namun, dari segi kesedaran politik, rakyat juga boleh memberi pandangan mengenai hal ini


10. Walau apa pun pandangan yang diberikan, rakyat jelata boleh membuat rumusan mudah bahawa dari segi sejarah PRU, Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang paling lemah di Malaysia kerana gagal membubarkan Parlimen sebelum tamat tempoh 5 tahun (8 Mac 2008 – 8 Mac 2013).