Monday, April 22, 2013

Manifesto Calon STAR N5 Tandek



Manifesto merupakan gagasan yang ingin dicapai oleh calon. Sebagai pejuang dan calon STAR bagi kawasan DUN N5 Tandek, saya akan melaksanakan Manifesto Induk STAR seperti yang telah dimaklumkan. Sebagai tambahan, saya juga mempunyai manifesto sendiri. Berikut ini saya kemukakan Manifesto saya untuk diteliti dan diberikan pandangan. 

VISI 
N5 Tandek yang Progresif, Adil, Seimbang, dan Berdaya Maju

MISI 
Pulihkan Hak, Selesaikan Masalah, dan Majukan Tandek.

MATLAMAT

  • Memenangi kerusi N5 Tandek
  • Memperjuangkan hak-hak rakyat dan autonomi Sabah
  • Mengembalikan keyakinan rakyat
  • Melaksanakan pembaharuan, menyelesaikan masalah dan membangunkan Tandek

NILAI STRATEGIK
i-TANDEK
I: inovatif /intelektual
T: Telus dan Tulus 
A: Amanah 
N: Nilai Urus Tadbir yang Baik 
D: Demokratik
E: Efektif dan Efisien 
K: Kebertanggungjawaban. 

TERAS STRATEGIK 
  • Membina masyarakat Tandek yang inovatif dan berintelektual.
  • Mengupayakan masyarakat Tandek untuk bertindak secara telus dan tulus.
  • Menyuburkan nilai amanah atau integriti dalam diri setiap warga supaya lahir masyarakat yang mementingkan kejujuran, keikhlasan, dan kebertanggungjawaban.
  • Mewibawakan warga Tandek dengan urus tadbir yang baik di setiap organisasi dan institusi dengan penekanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berstandard. 
  • Memekarkan nilai-nilai demokratik dalam kalangan warga Tandek tanpa mengira latar belakang agama, kaum, dan budaya
  • Melonjakkan budaya dan etika kerja berteraskan kecemerlangan, usaha, dan merit, iaitu mewujudkan bangsa yang berorientasikan kecekapan, dan keberkesanan.
  • Memperkasakan nilai dan semangat kebertanggungjawaban dalam setiap warga Tandek.

FOKUS TINDAKAN STRATEGIK 
PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN
  • Memohon supaya Tandek dijadikan sebagai Daerah Kecil 
  • Mewujudkan pusat khidmat sehenti di N5 Tandek bagi mendengar dan menangani isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat di N5 Tandek.
  • Menuntut kepada kerajaan supaya kawasan pilihan raya (dahulunya N6 Langkon) diwujudkan semula.
  • Mencari penyelesaian dan melaksanakan penambahbaikan jalan raya yang sempit dan sesak khususnya di kawasan Pekan Kota Marudu.
  • Melaksanakan reformasi bagi memilih keanggotaan Ahli Majlis Daerah Kota Marudu melibatkan pelbagai lapisan kepimpinan dan profesional

EKONOMI
  • Menubuhkan Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) mengikut potensi ekonomi di lima zon iaitu Zon Utara, Tengah, Barat, Timur, dan Selatan dalam usaha meningkatkan keupayaan rakyat dalam kegiatan ekonomi.
  • Menggalakkan pelaburan dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan membangunkan tanah rakyat dalam pertanian tanaman kontan, getah, kelapa sawit, kelapa, dan lain-lain
  • Mengenal pasti dan menggalakkan pembinaan pusat-pusat pelancongan baru dan menaik taraf pusat pelancongan sedia ada;
  • Mengusulkan kepada kerajaan untuk mewujudkan pelabuhan Kastam di Kota Marudu dalam usaha untuk melonjakkan kegiatan ekonomi.

SOSIAL 
  • Sejajar dengan kedudukan bangsa Kimaragang sebagai bangsa majoriti di N5 Tandek, maka landmark Kimaragang dan masyarakat pelbagai kaum yang lain di N5 Tandek akan diwujud dan dipromosikan;
  • Mewujudkan Pusat Ilmu Komuniti dan menaiktaraf Perpustakaan yang sedia ada – dalam usaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
  • Menyalurkan bantuan kepada badan-badan agama, orang kurang upaya, warga emas, dan orang yang memerlukan sesuai dengan polisi Kerajaan STAR.
  • Memastikan syarat-syarat perlindungan alam sekitar seperti mana yang ditetapkan dalam undang-undang sedia ada dipatuhi.
  • Menambahbaik kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, dan kemudahan elektrik.
  • Menyelesaikan masalah permohonan tanah berdasarkan polisi tanah Kerajaan STAR.

TEKNOLOGI, INFORMASI, KOMUNIKASI, BELIA
  • Memperkasa produk dan perkhidmatan berasaskan ICT 
  • Mewujudkan Young Traders Market di peringkat N5 Tandek sejajar dengan Manifesto Induk STAR
  • Membuka pusat-pusat sukan mini dan rekreasi bagi belia dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan belia yang dinamik dan maju. 

AKADEMIK
  • Bekerjasama dengan pelbagai institusi dan organisasi pendidikan untuk memaju bidang pendidikan di N5 Tandek melalui penubuhan kolej komuniti, kolej swasta / kolej awam;
  • Mewujudkan dana pendidikan Rakyat Tandek

PELAN TINDAKAN (12 BULAN) YANG PERTAMA SELEPAS DIPILIH)
Pelan tindakan untuk memastikan manifesto mula dilaksanakan
  • Menubuhkan Majlis penasihat / think tank yang dianggotai pemimpin veteran, pemimpin masyarakat dan agama, golongan professional untuk meneliti pelbagai isu dan masalah serta polisi yang kurang berkesan dan mencadangkan penyelesaian
  • Menubuhkan dan mengaktifkan pangkalan data komunikasi untuk menggalakkan penglibatan NGO, pemimpin masyarakat, ahli perniagaan, dan komuniti keseluruhannya dalam membawa perubahan kepada N5 Tandek.
  • Melawat ke semua kampung di kawasan N5 Tandek untuk mendengar isu dan masalah rakyat dalam usaha untuk mendapatkan input bagi merangka pelan pembangunan (blueprint) 5-10 tahun N5 Tandek yang lebih menyeluruh.
  • Menubuhkan Program Pengupayaan Ekonomi Rakyat (PPER) di 5 zon.

Untuk mengetahui latar belakang saya secara ringkas dan padat, berikut saya nyatakan biodata saya:


BIODATA CALON
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1967 
Tempat Lahir: Kg. Longob, Kota Marudu
Status: Berkahwin ( 4 orang anak).

Kelulusan Akademik
  • Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan (UMS, 2002).
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam dengan kepujian (UUM, 1991).
  • Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah (Maktab Gaya, 1996).

Pengalaman Perkhidmatan 
  • Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih selama 3 tahun setengah (1992-1995);
  • Guru Siswazah Terlatih selama 6 tahun (1996-2002);
  • Penolong Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Sabah (Sektor Pengurusan Akademik dan Sektor Jaminan Kualiti) selama lebih 10 tahun (2002-2012); dan
  • Penolong Kanan Pentadbiran (1 Mac 2012- 28 Februari 2013).
  • Sebagai pemimpin NGO, beliau terlibat dalam pelbagai kegiatan, antaranya sebagai penceramah, pembentang kertas kerja, kolumnis surat khabar dan menulis beberapa buah buku;
  • Kini menerajui Kelab Penulis Kadazandusun Murut (Penulis KDM). 

Mengamalkan Kod Etika 
  • Memperkukuh dan mengamalkan etika dan integriti pada tahap yang tertinggi.
  • Komited kepada agenda rakyat.
  • Berjiwa rakyat dan mendahulukan rakyat
  • Melaksanakan keadilan sosial tanpa mengira kaum, agama, dan bahasa.

Sunday, April 21, 2013

Kimaragang dan Kerusi N5 Tandek dalam PRU 2013



Saya berbangsa Kimaragang. Kedua-dua ibu bapa saya anak jati Tandek yang berbangsa Kimaragang. Dilahirkan di Kg. Longob, Kota Marudu 46 tahun yang lalu. Berpeluang mendapat ijazah pertama dalam bidang Pentadbiran Awam dengan Kepujian dari UUM pada tahun 1991. Kemudian mendapat ijazah kedua dalam bidang Sarjana Pengurusan Pendidikan dari UMS pada tahun 2002, selain mendapat kursus ikhtisas dalam bidang perguruan dengan mendapat Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 1996.

2. Lebih 70% masyarakat di N5 Tandek terdiri daripada orang Kimaragang. Ini bererti Tandek merupakan tanah tumpah Kimaragang. Tandek merupakan sebahagian Wilayah Kimaragang.

3. Perlu saya tegaskan bahawa saya tidak pernah menonjolkan semangat kesukuan dan tidak akan memulakannya. Saya mewakili N5 Tandek yang terdiri daripada pelbagai kaum. Saya bukan hanya mewakili Kimaragang.

4. Namun begitu, sebagai salah seorang yang berbangsa Kimaragang, saya ingin katakan bahawa dalam PRU 2013 ini, hanya satu saja orang Kimaragang yang bertanding di DUN N5 Tandek. Selama ini, tuntutan supaya N5 Tandek diserahkan semula kepada orang Kimaragang kini sudah terbuka. Maruah politik orang Kimaragang perlu dipulihkan. Peluang tersebut sudah terbuka pada tahun 2013 ini.

5. Saya juga bersedia dan mampu mewakili rakyat berbilang kaum di N5 Tandek ini di DUN Sabah.

Terserahlah kepada orang Kimaragang dan masyarakat pelbagai kaum yang lain untuk membuat keputusan.

Ini kalilah
Kita ambil balik

Wednesday, April 3, 2013

Kenapa Wilayah Kota Marudu Miskin?

Keluasan Kota Marudu
Daerah Kota Marudu mempunyai keluasan 1,917 kilometer persegi. Ingin saya tegaskan untuk ke sekian kalinya, walaupun ia sudah diketahui dengan jelas, bahawa daerah ini terletak di Sabah, bukannya terletak di Semenanjung Malaysia. Dengan keluasan ini, pemerintah Malaya telah menilai dan memperlakukan rakyat Kota Marudu dengan begitu rendah, zalim dan menindas dari segi politik dan ekonomi kerana pemerintah Malaya hanya memperuntukkan dua kawasan ADUN (N4 Matunggong dan N5 Tandek) dan seorang 1 Ahli Parlimen (P168 Kota Marudu), walaupun keperluan lebih 100,000 rakyatnya sama dengan keperluan mana-mana rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia itu.

2. Jika Kota Marudu berada di Malaya, pasti dengan keluasan 1,917 kilometer persegi ini, pemerintah UMNO BN yang ada sekarang ataupun pemerintah baru (misalnya Pakatan Rakyat) yang menguasai Putrajaya Malaya, akan benar-benar memberi perhatian sepenuhnya kepada wilayah itu. Ini memang pasti dan jelas sekali.

3. Jika Daerah Kota Marudu berada di Malaya, pasti daerah ini akan mendapat sekurang-kurangnya 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen. Itu pun tidak cukup lagi. Pasti pemerintah Malaya akan memberikan tumpuan dari segi politik, ekonomi, dan sosial. Dengan keluasan 1,917 kilometer persegi, Daerah Kota Marudu akan mendapat dua orang Raja ataupun TYT, dan dua orang Menteri Besar ataupun Ketua Menteri selain daripada jumlah kerusi DUN dan Parlimen yang dinyatakan. Namun, Daerah Kota Marudu bukannya terletak di Malaya, tetapi di Sabah, dan kerana itu pemerintah Malaya tidak perlu memberi perhatian.
Peta Kawasan Parlimen P168 Kota Marudu

4. Rakyat Sabah tidak berdaya kerana mereka dikuasai oleh pemerintah Malaya. Hal ini demikian kerana rakyat Sabah mengizinkan dan membenarkan hal ini berlaku. Yang mengurus dan mentadbir Sabah ialah pemimpin yang dikuasai dan dikawal oleh pemerintah Malaya. Memandangkan minda rakyat Sabah dikuasai ataupun dijajah, pemerintah Malaya hanya perlu peduli sedikit saja untuk mengurus dan menangani rakyat Kota Marudu, Sabah ini.

5. Dengan polisi penjajahan yang diamalkan oleh Malaya, rakyat Sabah kekal dikuasai dan dikawal seperti penjajah mengawal tanah jajahannya. Malah UMNO BN mengatakan bahawa Sabah tetap berada dalam genggaman atau simpanan tetap mereka. Ini bererti Pemerintah Malaya boleh mengawal dan memperlakukan rakyat Sabah dengan sesuka hati mereka.

6. Persoalannya, pada ketika rakyat Sabah sudah mempunyai peluang keemasan dan harapan untuk mendapat hak mereka, adakah rakyat Sabah masih tidak menggunakan kuasa undi mereka yang amat berharga itu? Sudah tentu, rakyat Sabah berubah setelah mendapat pendidikan ini.

Kota Marudu Layak Mendapat 55 ADUN dan 18 Ahli Parlimen
Saya bukan bercakap secara teori ataupun berangan-angan. Penyataan saya ini benar berdasarkan kerangka pemikiran dan standard pemerintah Malaya.  Saya boleh memberikan bukti dengan jelas bahawa Kota Marudu layak mendapat 55 ADUN dan18 Ahli Parlimen.

Batu Sumpah Peringatan
yang tidak dipeduli Malaya
2. Malah dengan keluasan 1,917 kilometer persegi itu, Kota Marudu layak mendapat dua orang Raja/TYT dan dua orang Ketua Menteri / Menteri Besar.


Keluasan Daerah Kota Marudu Melebihi Gabungan Keluasan Perlis dan Pulau Pinang

Sedarkah kita bahawa keluasan muka bumi Wilayah Kota Marudu ini lebih besar daripada gabungan Perlis dan Pulau Pinang? Muka bumi Negeri Perlis mempunyai keluasan 821 km persegi dan Pulau Pinang pula mempunyai 1,039 km persegi. Jika keluasan kedua-dua Negeri ini digabungkan, maka keluasannya cuma 1,860 km persegi sahaja.

2. Perlis mempunyai seorang Raja, seorang Menteri Besar, 15 ADUN, dan 3 Ahli Parlimen. Sementara Pulau Pinang pula mempunyai seorang TYT Yang Dipertua Negeri, seorang Ketua Menteri, 40 ADUN, dan 15 Ahli Parlimen. Ini bererti dengan keluasan 1,860 km persegi di Semenanjung, pemerintah Malaya memberikan perhatian dengan memperuntukkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen.

3. Kenapa tidak perkara yang sama dilakukan ke atas Sabah? Kenapa tidak pemerintah Malaya mewujudkan 55 kawasan DUN dan 18 kawasan Parlimen di wilayah Kota Marudu ini? Mungkin angka ini terlalu besar dan kita mahu supaya ia dikecilkan lagi kepada separuh sahaja. Jika separuh saja pun, keluasan Kota Marudu boleh mendapat sekurang-kurangnya 22 kawasan DUN dan 9 kawasan Parlimen.

4. Inilah bukti yang cukup jelas betapa kuatnya penguasaan atau pengawalan Malaya ke atas Sabah sehingga seluruh wilayahnya menjadi miskin dan mundur padahal Sabah kaya-raya. Pemerintah Malaya, iaitu UMNO BN memang tidak adil, tidak peduli kepada hak-hak asasi rakyat Sabah.

Di Manakah Keadilan Untuk Sabah?
Di manakah keadilan parti UMNO BN ke atas rakyat Sabah? Jika di Semenanjung, UMNO BN akan memberikan perhatian bagi setiap inci tanahnya supaya rakyatnya menikmati pentadbiran dan pengurusan yang lebih cekap, tetapi di Sabah, UMNO BN memberikan perhatian terhadap setiap ringgit hasil bumi Sabah supaya kekayaan di Sabah itu dikaut dan dibawa ke Malaya supaya setiap inci wilayahnya dapat dibangunkan.

2. Demikian pula, walaupun Pakatan Rakyat belum menguasai Putrajaya, tetapi rakyat Sabah sudah mengetahui polisi mereka terhadap Sabah. Mereka akan tetap melaksanakan Agenda Malaya, iaitu agenda menguasai kekayaan Sabah untuk kepentingan Malaya. Rakyat Sabah harus menyedari hal ini dengan matang dan berjuang mendapat hak asasinya. Melalui kuasa undi, rakyat Sabah boleh mendapat hak mereka apabila kerajaan baru dibentuk di Sabah dalam PRU 2013 dan pembangunan akan dapat dijalankan dengan lebih baik.

Pengurusan dan Pembangunan Wilayah
Sedarkah kita bahawa Kerajaan Negeri Perlis menyediakan RM253.79 juta untuk Bajet 2013 membabitkan RM181.65 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM72.14 juta bagi pembangunan? Pulau Pinang pula menyediakan Bajet pada 2013 sebanyak RM1,133,946,841 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan?

Betapa teruknya jalan di Kota Marudu
2. Dengan keluasan 1,860 km persegi bagi negeri Perlis dan Pulau Pinang, jumlah keseluruhan bajet pada tahun 2013 adalah sebanyak RM1,387,736,841. Ini bermakna setiap satu kilometer persegi wilayah ini terdapat  peruntukan sebanyak RM746,095.00. Dengan peruntukan sebanyak itu apakah tidak mungkin wilayah itu membangun dengan baik? Kita boleh menjawabnya dengan mudah. Peruntukan ini belum mengambil kira peruntukan daripada Kerajaan Pusat. 

Apabila Peruntukan Wilayah Kota Marudu Sebanyak RM1,387,736,841
Menurut kajian Bank Dunia, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia. Kajian lain pula menjelaskan bahawa salah satu daripada 5 daerah termiskin di Sabah adalah Daerah Kota Marudu.

2. Persoalannya, kenapakah Wilayah Kota Marudu miskin? Kenapakah Kota Marudu lambat membangun dari segi fizikal dan modal insan? Tahukah kita bahawa kemsikinan di Wilayah Kota Marudu terjadi kerana polisi pemerintah Malaya yang memiskinkan Sabah? Tahukah kita bahawa Kota Marudu mundur kerana kurangnya peruntukan bagi program pembangunan dan peruntukan mengurus bagi Wilayah Kota Marudu?

3. Jika kita mengambil kira kayu ukur pemerintah Malaya yang memberi peruntukan kepada wilayahnya, maka ini bermakna sekurang-kurangnya bajet tahunan untuk Wilayah Kota Marudu adalah RM1,387,736,841. Namun ini tidak terjadi kerana pemerintah Malaya yang menzalimi Sabah yang mengaut ekonominya.

4. Apabila Wilayah Kota Marudu menerima bajet tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM1,387,736,841 apakah tidak mungkin Wilayah ini membangun dengan pesatnya? Pasti kita boleh memberikan pembangunan dengan sebaik-baiknya. Inilah kelebihannya apabila kita mendapat kuasa memerintah sendiri, dan bukannya berada di bawah jajahan Malaya.

5. Tahukah kita berapakah bajet negeri Sabah pada tahun 2013? Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Bajet 2013. Soalnya berapa peruntukan yang diberikan untuk Wilayah Kota Marudu? Sesungguhnya, Kerajaan UMNO BN tidak pernah menjelaskan bajet untuk Wilayah Kota Marudu. Malah penyediaan bajet tahunan tidak pernah berasaskan Wilayah tetapi berasaskan Kementerian.  

6. Mari kita lihat hal ini secara purata bagi setiap satu kilometer persegi. Jika mengambil kira jumlah keluasan Sabah secara keseluruhannya seluas 73,620 kilometer persegi, maka purata peruntukan bagi 1 km persegi di Sabah adalah sebanyak RM55,528.00 sahaja. Ini menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan untuk Wilayah Kota Marudu secara puratanya adalah RM106,447,921.76 kerana keluasannya sebanyak 1,917 km persegi. Perkiraan ini hanyalah purata sahaja. 

7. Bandingkan RM106,447,921.76 dengan Bajet Negeri Perlis dan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM1,133,946,841, berapa banyak bezanya?

Rumusan

Rakyat Sabah, khususnya rakyat Kota Marudu perlu bertindak untuk mendapatkan hak-hak asasi mereka. PRU 2013 ini amat penting dalam hal ini.

Sunday, March 31, 2013

Perjuangan, Parti, dan Calon

Kuasa rakyat amat penting diberikan perhatian kerana tanpa kuasa itu sesuatu pemerintah tidak dapat didirikan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Pilihan raya merupakan salah satu saluran khusus untuk membolehkan kerajaan dibentuk. Justeru, rakyat yang telah berdaftar sebagai pemilih akan menentukan siapakah kerajaan yang memerintah. Kerajaan baru dibentuk apabila parti yang bertanding dalam PRU itu memenangi kerusi terbanyak daripada semua kerusi yang dipertandingkan. Di Sabah, 60 kerusi DUN dipertandingkan, sementara di peringkat Parlimen pula 25 kerusi menjadi rebutan. 

2. Untuk mencapai hasrat murni ini, rakyat mengundi calon yang diketengahkan oleh parti-parti berdaftar selain calon tanpa parti yang disebut calon Bebas. Pilihan raya tersebut dikendalikan oleh sebuah  badan bebas dan berkecuali. Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan urusan pilihan raya di peringkat DUN dan Parlimen. Ini bererti, pemilih berdaftar bertanggungjawab dan berperanan untuk mengundi calon yang mewakili mereka di kawasan pilihan raya (DUN dan Parlimen). 

Politik Sabah
Politik Sabah penuh dengan kontroversi dan berliku sifatnya apabila sudah empat kali kerajaan baru dibentuk di Sabah sejak tahun 1963 lagi, iaitu bermula dari Perikatan Sabah (1963-1976), diikuti Berjaya (1976-1985), PBS (1985-1994), dan UMNO BN (1994 hingga kini). Ini sekali gus menunjukkan sifat kedinamikan rakyatnya dalam memilih kerajaan baru. Rakyat Sabah mempunyai cita rasa dan aspirasi tersendiri dalam memilih kerajaan yang memerintah mereka di Sabah. Penganalisis politik meramalkan PRU 2013 ini, sekali lagi kerajaan baru akan dibentuk di Sabah. 

2. Terdapat 3 aspek  utama yang boleh dijadikan panduan oleh setiap pengundi untuk memilih wakil rakyat yang sesuai dalam PRU 2013 ini, iaitu perjuangan, parti, dan calon. Diharapkan melalui perkongsian ringkas di bawah ini, panduan tersebut akan menjadi asas pertimbangan yang wajar sebelum mengundi kelak. Tumpuan perbincangan ini berkisar hanya di Sabah, khususnya di kawasan N5 Tandek dan Parlimen P168 Kota Marudu.

Perjuangan Parti
Perjuangan adalah perkara penting yang perlu diketahui oleh setiap pemilih. Perjuangan di sini merujuk secara khusus pada perjuangan parti dan perjuangan individu calon yang bertanding. Untuk itu, dalam PRU 2013 ini, setiap pengundi perlu mengetahui dengan jelas apakah perjuangan parti dan calon yang bertanding kelak. 

2. Rakyat berhak mengetahui dengan jelas perjuangan tersebut kerana perjuangan itu menunjukkan hala tuju parti yang membawa mereka ke arah kecemerlangan untuk lima tahun akan datang. Dalam hubungan ini, setiap parti yang bertanding berusaha memberikan kefahaman kepada rakyat dengan tujuan mendapat sokongan undi semasa pilihan raya. 

3. Setiap parti mendakwa bahawa perjuangan mereka sebenarnya berteraskan kepentingan rakyat. Berikut ini saya kemukakan pandangan saya sepintas lalu mengenai perjuangan beberapa parti.

Perjuangan UMNO BN di Sabah
Perjuangan UMNO BN di Sabah telah diketahui dengan jelas memandangkan parti ini telah menjadi kerajaan sejak tahun 1994 lagi. 

2. Rakyat Sabah pasti mengingat lagi bagaimana caranya UMNO BN di Sabah membentuk kerajaan selepas PRU 1994, iaitu melalui "rampasan kuasa" apabila  tiga orang wakil rakyat PBS (yang ketika itu merupakan pembangkang selepas parti itu keluar dari BN sebelum pilihanraya 1990) keluar daripada PBS dan menyertai UMNO, iaitu Datuk Rubbin Balang, Datuk Lajim Hj. Ukin, dan Hj. Zaini Mat Isa (Adun dilantik).  

3. Dalam konteks PBS, rakyat kini menilai bahawa PBS merupakan parti komponen BN yang kehilangan kepercayaan majoriti rakyat apabila parti politik tersebut keluar masuk BN yang membuktikan trend politik Sabah yang sentiasa berubah. Kepakaran lompatannya mencipta sejarah kerana menjadi peneraju dalam membawa sebuah parti keluar masuk BN. 

4. Sebagai kerajaan, UMNO BN telah berpeluang menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka untuk mentadbir negeri ini. Malangnya, pentadbirannya dipenuhi dengan pelbagai dakwaan penyelewengan, rasuah, kronisme, urus tadbir yang lemah, dan pelbagai masalah politik, ekonomi, dan sosial ekoran daripada penguasaan Malaya ke atas Sabah. 

5. Kerajaan UMNO kekal memerintah di Sabah kerana Projek IC Mahathir yang memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing yang telah memastikan undi mereka diberikan kepada UMNO BN. Kerajaan UMNO BN di Sabah pasca 1994 telah berjaya merosakkan dan memporakporandakan Sabah dalam banyak hal. Kerajaan UMNO ini akan tetap melaksanakan Agenda Malaya (yang berhasrat mengawal dan menguasai Sabah).

6. Untuk hal ini, rakyat Sabah perlu berfikir dengan matang sama ada terus mengundi UMNO BN dan mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan di Sabah pada PRU 2013 ini. Jika mereka mengundi UMNO BN, bererti mereka membenarkan dan mengizinkan kerosakan ke atas Sabah terus berlaku.

Perjuangan PKR / PR
PRU 2008 menunjukkan era bermulanya sistem dua parti di Malaysia, dengan wujudnya gabungan parti Pakatan Rakyat sebagai lawan bagi BN. Walaupun PR telah menunjukkan kemampuannya di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Selangor sebagai kerajaan baru menggantikan BN, namun di Sabah, Pakatan Rakyat yang diterajui PKR masih gagal menawan hati rakyat keseluruhannya. 

2. Dalam PRU 2013, ini PR dijangka akan bertanding di kesemua 60 kerusi DUN Sabah dan 25 kerusi Parlimen (seperti yang diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Keputusan ini menunjukkan minat dan keinginan yang begitu kuat (baca: ketamakan) PR ke atas Sabah.

3. Perjuangan Agenda Malaya merupakan teras perjuangan PKR / PR di Sabah. Walaupun pelbagai istilah digunakan untuk menawan hati rakyat Sabah, tetapi yang jelas parti ini akan meneruskan penguasaan Malaya ke atas Sabah. 

Perjuangan Parti STAR
Parti STAR yang berdaftar di Sarawak telah secara rasminya membuka Sabah Chapter pada 6 Januari 2012. Parti STAR Sabah Chapter diterajui Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Bapa Pejuang Hak-hak Rakyat Sabah walaupun baru setahun lebih beroperasi telah mendapat sambutan di luar dugaan daripada rakyat Sabah apabila lebih 300,000 keahlian diterima.

2. Perjuangannya adalah untuk menuntut hak-hak Sabah seperti mana yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, cadangan Suruhanjaya Cobbold, cadangan Jawatankuasa IGC, selain menuntut 7 Agenda Borneo. 

3. Parti STAR bekerjasama dengan USNO Baru membentuk Pakatan Borneo Bersatu (UBA). Parti STAR merupakan parti lokal yang bakal bertanding di kebanyakan kawasan DUN dan Parlimen yang boleh dimenangi. 

Perjuangan Calon
Calon yang bertanding dalam PRU sebenarnya bertanding atas tiket parti tertentu ataupun Bebas. Sudah pasti dalam hal ini, perjuangan calon adalah berteraskan perjuangan parti. Rakyat akan memilih calon berdasarkan perjuangan parti, selain perjuangan calon itu sendiri mengikut konteks kawasan yang ditandinginya.

2. Pada masa yang sama kredibiliti, keupayaan, dan kebolehan calon dinilai oleh rakyat dari semua segi. Walaupun ada kelebihan wakil rakyat sedia ada, apabila dipilih semula mempertahankan kerusi itu, namun rakyat sudah mengetahui apa yang dilakukan oleh wakil rakyat tersebut sebelum ini. Dengan sendirinya, segala kelemahan mahupun kecemerlangan yang dilakukannya akan kelihatan dengan jelas. Segala penyelewengan, rasuah, ketirisan, urus tadbir yang lemah akan terbuka dan rakyat akan menilai wakli rakyat berkenaan. 

3. Secara khusus di N5 Tandek dan P168 Kota Marudu,  pelbagai isu yang terjadi seperti isu tanah, pembangunan, ketidakadilan, dan kelemahan yang berlaku akan dinilai dengan saksama oleh rakyat. 

4. Harapan rakyat kepada calon baru yang berteraskan Agenda Borneo adalah amat tinggi untuk membawa perubahan seperti mana yang diperjuangkan oleh parti yang diwakilinya. 

Manifesto Pilihan Raya
Perjuangan parti dan calon boleh dilihat dalam manifesto parti masing-masing. 

Rumusan
Sesungguhnya, dalam PRU 2013 ini rakyat akan membuat pilihan. Daripada pemerhatian terhadap perkembangan politik semasa, pertandingan pelbagai penjuru akan berlaku di kebanyakan kawasan. Paling tidak, sekurang-kurangnya ada 3 penjuru akan bertanding, iaitu antara BN, PR, dan Star / UBA. Sekiranya, SAPP bersendirian tanpa bergabung dengan UBA, maka bertambah lagi pilihan rakyat semasa mengundi nanti. Rakyat perlu membuat pilihan dengan bijak.

PRU 2013 ini, pasti rancak dan sengit tentunya.

Saturday, March 30, 2013

Pemulihan Status Sabah Sebagai Negara

Usaha yang mesti dan wajar kita lakukan kini adalah untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Kita tahu bahawa sejak 27 Ogos 1976, iaitu lebih kurang 37 tahun yang lalu, status Sabah sebagai sebuah negara itu telah diturunkan tarafnya menjadi sebuah negeri, yang setaraf dengan negeri-negeri di Malaya. 

2. Tindakan zalim dan menindas oleh pemerintah Malaya ini pasti tidak boleh kita terima. Penurunan taraf itu tidak pernah dipersetujui oleh rakyat Sabah. Penurunan taraf itu juga tidak pernah dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah mahupun di Parlimen. 
Ilustrasi gambar diambil dari Google

3. Mari kita nilai hal ini dengan baik-baik. Pemerintah Malaya sememangnya zalim dan menindas Sabah dari segi politik apabila Perjanjian Malaysia 1963, Memorandum Perkara 20, Keputusan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), cadangan Suruhanjaya Cobbold tidak didaulatkan dan dipatuhi, padahal Malaysia mencanangkan Rukun Negara. Rukun Negara yang keempat menyebut "Kedaulatan Undang-undang". Di manakah kedaulatan undang-undang kita? Siapakah lagi yang menghormati dan menghargai perjanjian dan undang-undang jika bukan pemerintah yang kemudiannya diikuti oleh rakyat seluruhnya? 

4. Penurunan taraf ini pasti tidak mudah untuk diubah semula, dalam erti kata menjadikan Sabah sebagai  sebuah negara. Sabah akan kekal dalam Persekutuan Malaysia. Memandangkan sejak 27 Ogos 1976, Persekutuan Malaysia itu adalah terdiri daripada gabungan negeri dan wilayah persekutuan, maka konsep itu akan kekal. Namun, status dan kedudukan Sabah sebagai sebuah negara itu boleh dipulihkan melalui kerajaan baru yang bakal dibentuk dalam PRU 2013 ini. 

Persoalan Penting
Apabila kita bercakap mengenai pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara, banyak persoalan yang timbul. Misalnya, apakah maksudnya pemulihan status Sabah sebagai negara? Kenapakah status itu perlu dipulihkan? Siapakah yang memulihkan status itu? Bilakah masa yang sesuai untuk memulihkan status tersebut? Bagaimanakah status itu dipulihkan? 

Apakah maksudnya pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara?

Pemulihan Sabah sebagai sebuah negara, secara ringkasnya bermaksud mengembalikan erti "negara yang merdeka dan berdaulat" kepada Sabah. 

2. Negara merujuk pada suatu wilayah di bumi ini yang diperintah dan diatur oleh suatu kerajaan yang mempunyai kuasa dari segi politik, ekonomi, sosial, ketenteraan, keselamatan dalam ngeri, kerakyatan dan kewarganegaraan, kebudayaan, dan sebagainya. Kerajaan tersebut adalah bebas dan tidak terletak di bawah pemerintahan kerajaan lain. 

3. Secara ringkas, Negara boleh dilihat daripada tiga aspek, iaitu aspek budaya, aspek geografi dan aspek politik. Dalam bahasa Inggeris, kata yang digunakan untuk merujuk kepada negara ialah nation, country dan state. Ini bererti memberikan kemerdekaan sepenuhnya kepada Sabah tanpa kawalan daripada Malaya. 

4. Ia juga merujuk pada pemulihan rakan kongsi sama taraf dengan Malaya dalam Persekutuan Malaysia. Mahukah rakyat Sabah menikmati kemerdekaannya sendiri? 

Kenapakah status itu perlu dipulihkan?
Status Sabah perlu dipulihkan kerana Sabah kini seolah-olah dijajah oleh Malaya dengan menggunakan nama Persekutuan Malaysia. Kekayaan Sabah dikaut dan diangkut ke Semenanjung Malaysia kerana polisi Malaya yang ingin mendahulukan Malaya dan membelakangkan Sabah. Sabah tidak menikmati sepenuhnya kemerdekaannya kerana dikawal oleh Malaya, khususnya dari segi kewangan, sistem pemerintahan, sistem ekonomi, dan sebagainya. 

2. Lebih daripada itu, budaya Sabah / Borneo tidak sama dengan budaya Malaya. Sehubungan itu, tidak semua sistem yang digunakan di Malaya sesuai di Sabah. Jarak antara Sabah dengan Malaya terlalu jauh sehingga menyulitkan pengurusan dan pentadbiran. Sabah tidak bebas memerintah sendiri mengikut acuan Sabah dan keperluan rakyat Sabah. 

3. Seharusnya, Sabah memerintah sendiri tanpa kawalan penuh daripada Malaya kerana itulah jaminan yang diberikan ketika membentuk Persekutuan Malaysia.

Siapakah yang memulihkan status itu?
Tanggungjawab untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara itu adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat. 

2. Seperti yang kita alami sendiri, selama ini Kerajaan UMNO BN tidak melaksanakannya dan tidak akan melaksanakannya. Pakatan Rakyat yang juga dari Malaya mempunyai mentaliti yang sama. 

3. Harapan baru untuk rakyat Sabah tetap ada. Harapan itu disandarkan kepada parti-parti lokal yang memperjuangkan hak-hak Sabah seperti parti STAR dan parti-parti tempatan di bawah gabungan Pakatan Borneo (UBA). Ini bermakna rakyat Sabah harus membentuk kerajaan yang baru. 

4. Kerajaan yang baru dibentuk itu akan melaksanakan agenda pemulihan status Sabah sebagai sebuah negara. Maksudnya, rakyat Sabahlah yang bertanggungjawab dalam memilih kerajaan Sabah yang baru. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Bilakah masa yang sesuai untuk memulihkan status itu?
Kalau bukan sekarang bila lagi? Masa yang terbaik adalah masa ini, iaitu masa PRU 2013 ini. Rakyat Sabah harus mempertimbangkan dengan penuh matang akan peluang dan kesempatan yang ada untuk melakukan pembaikan. 

2. Kesilapan telah berlaku. Kesilapan itu perlu dibetulkan. Memilih kerajaan adalah tanggungjawab utama rakyat. Dalam hal inilah, rakyat Sabah perlu menyandarkan harapan kepada Parti STAR dan parti-parti gabungan dalam Pakatan Borneo (UBA) kerana parti-parti ini berjuang untuk mendapatkan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 dan berjuang memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. 

Bagaimanakah status Sabah dipulihkan?
Untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, kerajaan baru perlu dibentuk di Sabah pada PRU 2013 ini. Kerajaan baru ini seterusnya akan melaksanakan autonomi pemerintahannya sendiri seperti mana yang diperjuangkan oleh parti STAR dan parti-parti tempatan yang lain di bawah gabungan UBA. 

2. Autonomi itu dilaksanakan berdasarkan prinsip 1 negara 2 sistem, iaitu hanya ada satu negara (iaitu Malaysia), tetapi sistem pemerintahan di Sabah diatur dan dipilih oleh kerajaan Sabah sendiri. 

3. Apabila kerajaan STAR / UBA memerintah Sabah akan dibahagikan kepada 5 Wilayah seperti mana yang diamalkan semasa pemerintahan British dahulu. Wilayah-wilayah ini mempunyai sistem pemerintahannya sendiri.

Rumusan
Rakyat Sabah seharusnya berganding bahu dalam mencapai pemulihan bagi Sabah. Hal ini boleh dicapai melalui komitmen politik untuk mengubah kerajaan di Sabah. Hak rakyat Sabah harus dipulangkan. Sabah harus dibebaskan daripada kawalan Malaya melalui pemerintahan 1 negara 2 sistem.

Mari kita semua berperanan.

Friday, March 29, 2013

Sabah Sebagai Sebuah Negara: Satu Penjelasan


Gunung Kinabalu lambang semangat juang rakyat Sabah
Walaupun sejarah telah mencatat dengan jelas bahawa Sabah merupakan sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1963, namun masih ada pihak yang cuba menafikan kebenaran itu dengan menyatakan bahawa Sabah sebenarnya hanya merupakan sebuah negeri dalam erti kata sama taraf dengan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.

2. Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan pada tahun 1948 menggantikan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada tahun 1946. Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang,  Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan. Setiap negeri di bawah PTM ini mempunyai entiti yang berasingan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Hal ini demikian kerana semasa penjajahan British, negeri-negeri ini sudah wujud terlebih dahulu dan mempunyai pemerintahannya sendiri.  

3. Berikutan dengan itu, rakyat Sabah didedahkan dengan dua konsep yang saling bertentangan sehingga menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pihak yang kurang matang dan tidak jelas mengenai hal ini kerana kekurangan informasi. Pertama, Sabah sebagai sebuah negara dan kedua, Sabah sebagai sebuah negeri.

Konsep “Negara” dan “Negeri”
Untuk memahami isu ini dengan jelas, eloklah difahami maksud konsep “negara” dan “negeri” itu terlebih dahulu.

2. Dalam bahasa Inggeris dan beberapa bahasa Eropah lain, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada sebuah “negara” ataupun “negeri” adalah sama iaitu perkataan state. Jadi dalam keadaan ini, perkataan state akan diterjemahkan sama ada sebagai "negeri" atau "negara" mengikut konteks.

3. Di Malaysia, istilah “negara” dan “negeri” berbeza kerana “negara” merujuk pada “Persekutuan Malaysia”, sedangkan “negeri” merujuk pada negeri-negeri yang ada di Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak. Lebih daripada itu, di Malaysia konsep “negara” dan “negeri” ini mempunyai “tahap”, iaitu “negara” itu lebih besar (berada di atas), sedangkan “negeri” itu lebih kecil (berada di bawah).

Peta Malaysia: Terdiri dari Malaya, Sabah, Sarawak
4. Dengan itu, timbullah kekeliruan dalam kalangan rakyat kerana konsep “negara” dan “negeri” itu berasingan antara satu sama lain. Namun, berdasarkan kebenaran sejarah, ada pihak yang cuba mempersoalkan hal ini. Timbul dua persoalan utama, iaitu:

  •  Adakah Malaysia terdiri daripada gabungan negara ataupun terdiri daripada gabungan negeri?
  • Adakah Sabah dan Sarawak merupakan sebuah “negara” ataupun sebuah “negeri”?
5. Jika Malaysia terdiri daripada gabungan negara, maka kedengarannya janggal. Realiti ini tidak boleh diterima oleh akal yang waras kerana dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia (yang telah diajar sekian lama) mana mungkin wujud “negara” dalam “negara”.  Itulah sebabnya, status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara tidak dapat diterima kerana mana mungkin ada “negara” dalam “negara Malaysia”. Mari kita selidiki hal ini dengan saksama berdasarkan fakta Sejarah.

Status Sabah dan Sarawak Sebagai Negara
Sejarah membuktikan bahawa Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh empat pihak yang mewakili negara yang berasingan, iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Proklamasi pembentukannya dilakukan pada 16 September 1963 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

2. Keempat-empat negara ini mempunyai entiti yang berasingan, iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang terdiri daripada 11 negeri, iaitu negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang,  Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan; Singapura, Sarawak dan Sabah.

3. Berdasarkan Perjanjian Malaysia itu, memang jelas bahawa Persekutuan Malaysia yang baru dibina itu adalah terdiri daripada gabungan Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Empat pihak yang menandatangani perjanjian itu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mewakili Persekutuan Tanah Melayu ataupun Malaya; Lee Kuan Yew mewakili Singapura, Stephen Kalong Ningkan mewakili Sarawak; dan Tun Fuad Stephen mewakili Sabah.

4. Mari kita fahami dengan jelas bahawa Perjanjian Malaysia bukan ditandatangani oleh 11 ketua negeri / kerajaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak, dan Sabah. Persekutuan Tanah Melayu hanya satu.

5. Isu yang mengelirukan ialah nama bagi Sabah dan Sarawak pada ketika itu, iaitu sama ada “negara” ataupun “negeri” kerana Sabah dan Sarawak telah merdeka daripada British, tetapi belum ada kerajaan baru dibentuk berasaskan pilihan raya sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani di London. Berdasarkan sejarah, selepas Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, status Sarawak dan Sabah ini adalah sebuah "negara". Status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah “negara” itu boleh dilihat dalam pelbagai bukti dokumen.

6. Singapura kemudiannya dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 9 Ogos 1965 dan menjadi sebuah negara republik. Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia dengan alasan untuk menangani isu penentangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang sering menimbulkan isu rasa tidak puas hati terhadap keistimewaan Bumiputera.

Perjuangan Mendapatkan Hak
Dengan merebaknya pendidikan sejarah Sabah yang sebenar dalam kalangan masyarakat Sabah mutakhir ini, rakyat Sabah telah sedar bahawa status Sabah sebenarnya adalah “negara” dan bukannya “negeri”.

2. Dengan pendidikan sejarah Sabah yang diterima, kebangkitan rakyat menuntut hak yang sepatutnya mereka terima pasti membawa tsunami politik di Sabah dalam PRU 2013 ini. Rakyat meyakini bahawa Kerajaan Sabah yang baru akan dibentuk kelak.

Logo Parti STAR
3. Namun begitu, dengan jatuhnya taraf Sabah dan Sarawak daripada sebuah “negara” kepada “negeri” keadaan kita semakin bercelaru. Rakyat Sabah tidak seharusnya keliru dengan penggunaan istilah “negara” dan “negeri”.

4. Saya ingin menegaskan bahawa sama ada istilah “negara” ataupun “negeri” digunakan untuk Sabah dan Sarawak, istilah itu sebenarnya tidak akan mengubah status dan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah entiti yang berasingan yang berdaulat dan merdeka yang sama taraf dengan Malaya.

5. Sebelum Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, yang jelas kepada kita ialah Persekutuan Malaysia itu terdiri daripada empat bukan terdiri 13 (gunakan apa saja istilahnya, sama ada negara / negeri - itu tidak penting) – yang jelas Persekutuan Malaysia itu terdiri daripada Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Apabila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia, maka Persekutuan Malaysia itu kini terdiri daripada Malaya, Sarawak, dan Sabah.

6. Bermula daripada 27 Ogos 1976, status Sabah telah ditukar dari sebuah “negara” kepada sebuah “negeri”. Istilah “negeri” untuk Sabah terus digunakan sehingga kini.  Memandangkan  nama negeri sudah digunakan sebagai satu keselarasan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, namun  rakyat Sabah tidak boleh menerima bahawa Sabah sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya (Semenanjung Malaysia). Yang jelas ialah Sabah dan Sarawak dan Malaya adalah sama taraf dan sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia. 

7. Kepada rakyat Sabah, sama-samalah kita berjuang untuk mendapatkan hak kita. Hak kita ialah Sabah dan Malaya dan Sarawak adalah sama taraf. Sabah bukan sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya, walaupun Sabah itu telah diturunkan taraf dan namanya kepada negeri.

Sunday, March 24, 2013

Kesan Penurunan Taraf Sabah Sebagai Negara

Isu pemerintah Malaya yang menurunkan taraf Sabah dan Sarawak dari sebuah negara  kepada sebuah negeri pada 27 Ogos 1976 merupakan persoalan yang amat mustahak diselesaikan satu kali untuk selama-lamanya. 

DS Anwar tidak setuju Deklarasi Tambunan
2. Pungutan suara ke atas rakyat Sabah harus dibuat untuk mengetahui sama ada rakyat Sabah bersetuju di bawah kawalan ("penjajahan") Malaya ataupun bebas menentukan  pemerintahannya sendiri di bawah konsep "1 negara 2 sistem". Bagaimanakah hal ini boleh dilakukan? Salah satu caranya ialah melalui PRU. Justeru, PRU 2013 ini perlu dijadikan sebagai referendum (pungutan suara) bagi tujuan ini.

3. Apabila Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya dari sebuah negara ke sebuah negeri, penjelasan pemerintah Malaya tidak  lagi sesuai kerana sekalipun berjela-jela hujah diberikan untuk mewajarkan kezaliman dan penindasan politik itu, ia tidak berguna lagi kerana perkara itu sudah berlaku. 

4. Namun, setiap individu Sabahan harus menyedari kesan dan akibat daripada tindakan tersebut dengan tujuan setiap individu Sabahan bangkit mempertahan dan berjuang mendapatkan hak. 

5. Sesungguhnya, penurunan taraf itu telah menimbulkan pelbagai kesan dan akibat yang buruk ke atas Sabah sehingga hidup rakyatnya berada dalam kesengsaraan dan kemiskinan berterusan. Hasrat perbincangan ini sudah tentu bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bertindak untuk memulihkan kedudukan Sabah itu sendiri.  Berikut dinyatakan sebahagian kesan dan akibat daripada tindakan zalim dan menindas tersebut.

Kesan dan Akibat Penurunan Taraf Sabah Sebagai Negara
1. Sabah kehilangan kemerdekaan. 
Dengan penurunan taraf Sabah sebagai sebuah negara, Sabah sebenarnya kehilangan kemerdekaannya sendiri. Sabah kehilangan kuasa untuk menikmati kemerdekaannya dan menentukan pembangunan yang dihasratkan. Sebaliknya, Sabah dikawal oleh Malaya melalui pelbagai cara yang dibenarkan undang-undang, supaya Sabah  tidak mampu berdikari. Ini bererti, Sabah harus selamanya berada di bawah kawalan Malaya, pada hal, Sabah merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat seperti mana yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ini bererti Sabah mempunyai sistem pemerintahannya sendiri. Ia mempunyai autonomi dan autonomi itu perlu dipatuhi.

2. Ekonomi Sabah dikaut dan dibawa ke Malaya
Sabah dianugerahkan kekayaan oleh Tuhan. Bumi Sabah makmur dan subur. Sabah merupakan pengeluar utama minyak dan gas di Malaysia. Selain itu, hasil-hasil bumi yang lain begitu banyak keluar dari perut bumi Sabah. Malangnya, hasil kekayaan Sabah tersebut dikaut dan dibawa ke Malaya untuk menguntungkan Malaya yang terdiri daripada 11 buah negeri. Sabah menjadi miskin apabila kekayaannya diambil dan dibawa ke Malaya untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pengurusan. Melalui kajian Bank Dunia, Sabah didapati negeri yang paling miskin di Malaysia. Bagaimanakah hal ini terjadi sedangkan Sabah itu kaya-raya? Secara logiknya, dalam konteks ini kekayaan Sabah itu tidak dinikmati oleh rakyat Sabah tetapi dinikmati oleh Malaya.

3. Agihan ekonomi tidak adil
Melalui Persekutuan Malaysia, sesudah Sabah diturunkan tarafnya dari sebuah negara ke sebuah negeri, agihan ekonomi tidak adil dan setara telah berlaku. Jika menurut Perjanjian Malaysia 1963, taraf Malaya, Sabah, dan Sarawak itu adalah sama rata dan sama taraf, sedangkan apabila Sabah dan Sarawak turun tarafnya, ia terletak di bawah kuasa Malaya atas nama Persekutuan Malaysia. Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi dalam membentuk Persekutuan Negara Malaysia. Ini bermakna Malaysia terdiri daripada gabungan negara dan bukannya terdiri daripada gabungan negeri. Dengan pelaksanaan penurunan taraf ini, hanya sedikit peruntukan kewangan diberikan kepada Sabah. Bukan sahaja kerana jumlah negeri yang membahagikan Kumpulan Wang Yang Disatukan bertambah sehingga 13 negeri dan 1 wilayah persekutuan (berbanding 3 negara), tetapi juga kerana kewangan Malaysia dikawal oleh Malaya. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk mengawal dan mengurus kewangannya sendiri.

4. Fokus pembangunan tidak bertumpu di Sabah
Dengan berjayanya Malaya menurunkan taraf Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara menjadi sebuah negeri, maka segala pembangunan bertumpu dan berpusat di Semenanjung. Hasil kekayaan Sabah digunakan untuk membangunkan Malaya. Ini bererti fokus pembangunan tidak bertumpu di Sabah. Polisi pemerintah Malaya ialah Dahulukan Semenanjung Kemudiankan Sabah. Memang tidak dinafikan peruntukan kewangan diberikan kepada Sabah, namun berbanding dengan peruntukan yang dikhususkan untuk Semenanjung, peruntukan kewangan untuk Sabah adalah sedikit, padahal Sabah merupakan penyumbang hasil yang banyak. Tentu sekali tindakan ini tidak adil dan tidak patut dilakukan.

5. Pengenalan polisi tidak adil kepada Sabah 
Sesudah Sabah dan Sarawak diturunkan tarafnya menjadi setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung, Malaya memperkenalkan polisi pemusatan kuasa. Malaya berkuasa memperkenalkan pelbagai polisi, undang-undang, dan seumpamanya yang memberi faedah kepada mereka. Malaya, misalnya memperkenalkan dasar kabotaj, iaitu dasar pengangkutan yang tidak adil dan sesuai untuk Sabah dan Sarawak. Dasar ini  membuat ekonomi Sabah lembab; harga barang mahal di Sabah berbanding Semenanjung. Selain itu, Malaya berkuasa memperkenalkan dasar pembangunan yang tidak menguntungkan Sabah, sebaliknya menguntungkan Malaya kerana berhasrat mengukuhkan penguasaan Malaya ke atas Sabah. Ini termasuklah pengenalan agensi persekutuan di Sabah, seperti RISDA, FELCRA, Felda, dan sebagainya - yang fungsinya bertindih dengan agensi kerajaan negeri yang sudah sedia ada di Sabah. 

6. Pengekalan kuasa Malaya menjadi keutamaan
Projek IC Mahathir seperti yang diakui dalam RCI
Selain itu, dengan turunnya taraf Sabah dan Sarawak sebagai negara, maka kuasa berada di tangan Malaya atas nama Persekutuan Malaysia. Malaya harus memikirkan secara licik dan bijaksana untuk terus mencengkam dan menguasai Sabah kerana kekayaan ekonominya. Untuk mencapai hasrat tersebut pelbagai tindakan dilakukan. Ini termasuklah Projek IC yang bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing walaupun mereka baru sahaja berada di Sabah. Malah lebih teruk lagi Projek IC itu dilakukan untuk mengekalkan kuasa politik UMNO BN di Sabah . Selain itu, manipulasi kependudukan terus dilakukan apabila wujud bangsa baru yang disebut "Melayu", iaitu mereka yang diberi kerakyatan songsang melalui Projek IC. Untuk kekal berkuasa, Malaya (menerusi SPR) menambah kerusi parlimen (166 kerusi) dan DUN di Malaya (445 kerusi) sedangkan di Sabah dan Sarawak bilangannya sedikit, iaitu Sabah (kerusi Parlimennya hanya 25 dan kerusi DUN pula hanya 60), sementara Sarawak pula (kerusi Parlimennya hanya 31 dan kerusi DUN pula hanya 71).

Rumusan

Pemulihan status Sabah tidak mungkin dapat dicapai seandainya tiada usaha ke arah itu dilakukan. Usaha itu pula memerlukan komitmen politik rakyat Sabah kerana selama ini perkara tersebut tidak dilakukan oleh Kerajaan BN.  Pihak kerajaan yang dikuasai oleh UMNO BN  tidak mahu melakukan pemulihan tersebut kerana ini tidak akan menguntungkan mereka. 

Pemulihan status Sabah harus menjadi keutamaan rakyat Sabah seluruhnya. Rakyat Sabah harus sedar bahawa kuasa memilih berada di tangan mereka. Gunakanlah kuasa itu sebaik-baiknya semasa mengundi.